1 UBAT UNTUK 300 PENYAKIT?
- 17/07/2024
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Dakwah, Ekonomi Islam, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama, Sunnah
Pelbagai ubat, air jampi (alias: al-ruqyah), makanan tambahan yang dihasilkan oleh golongan agamawan (terutamanya). Dan dijual dengan “harga Yahudi”.
Misalan, air mineral botol kecil mungkin sekitar RM2:00, tapi air paip yang didakwa telah di”mandrem” boleh dijual dengan harga sekitar Rm10-RM100.
Lebih melampau bila mereka mendakwa bahawa “air” atau “makanan tambahan” tersebut mampu merawat/menyembuhkan beberapa jenis penyakit.
Golongan ini, boleh didakwa atas Seksyen 4 (1)(f), Akta Makanan 1983.” Kegagalan pihak terlibat mematuhi peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Selain itu, produk air jampi juga dikategorikan sebagai air minuman berbungkus yang tertakluk pada Peraturan 360B(1A), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Pembukaan hospital dan klinik kini seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ini salah satu bukti kedustaan produk air jampi. Andai benar bagai didakwa, tentu hospital sedia ada telah ditutup.
Ruqyah telah ada pada zaman Nabi SAW dan sahabat. Namun apa terjadi ialah pembukaan Negara-Negera Islam berlaku.
Bahkan pada zaman para salafussoleh termasuk imam 4 mazhab dan zaman kemudian, yang berlaku ialah empayar Islam makin meluas.
Namun, tidak ada riwayat mereka menjual air jampi seperti hari ini, sebaliknya mereka maju mentamadunkan dunia.
Janganlah sikit-sikit cari air penawar, air penerang hati dan sebagainya, bahkan tindakan ini ditegur oleh “Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, bagaimanapun menasihati masyarakat khususnya umat Islam supaya tidak terlalu bergantung kepada penggunaan air jampi atau penawar untuk mendidik anak.” -1-
Seandainya air penawar, penerang hati ini wujud, pasti Nabi SAW telah baca dan sulub hati nurani pakcik-pakcik Nabi SAW. Tapi tidak berlaku!
Maka, apakah kita telah tahu fungsi ayat al-Quran berbanding Nabi SAW? Kenapa tidak dibaca terus pada empangan air agar seluruh peminum mendapat hidayah?
Suka untuk dinukilkan kenyataan Dr. Zulkifli al-Bakri yang “menyeru orang ramai agar tidak memasarkan produk yang diruqyah, sama ada dijampi secara lisan mahupun secara elektronik, agar tidak mendatangkan fitnah kepada agama.” -2-
Kenyataan Jabatan Mufti Negeri Perlis telah “memutuskan bahawa penggunaan ruqyah pada sesuatu produk untuk tujuan komersial adalah dilarang sama ada untuk tujuan pelabelan, pengiklanan atau promosi.” -3-
Bersama kita nasihatkan diri dan keluarga serta semua agar jangan terpedaya dengan dakyah para peruqyah yang menjual air, dan wajar diboikot projek pemandulan akal umat melalui air jampi ini.
_____________________________
1. Berita Harian Online. February 5, 2018
2. Al-Kafi Li al-Fatawi : Soalan 397
3. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis. Kali Ke-20 & 21/2016
Editor: Loha
12 Muharram 1446H