10 PENDAPAT IMAM AL-SYAFIE YANG TIDAK TEPAT?

2 Views

Sebenarnya banyak pendapat imam al-Syafie yang tidak diikuti oleh masyarakat terutama di nusantara.

Di sini kita hanya nukil 10 sahaja, sedangkan ada lebih banyak khilaf antara pendapat al-Imam al-Syafie dan masyarakat.

Maka apakah imam al-Syafie tidak tepat sehingga masyarakat berbuat berlawanan dengan pendapat mazhab yang konon mereka anuti.

1. TIDAK BACA YASIN MALAM JUMAAT

Imam Al-Syafie berkata:

وَأُحِبُّ الِاسْتِكْثَارَ مِنْ قِرَاءَةِ الْكَهْفِ فِي لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ ،

Maksudnya: “Aku suka membaca (surah) al-Kahfi pada malam Jumaat.” (Al-Umm)

Imam al-Syafie menyarankan agar kita baca surah al-Kahfi, namun kita pula membaca surah Yasin.

Apakah pendapat imam al-Syafie tidak tepat atau kita rasa lebih hebat sehingga sanggup berbeza dengan beliau?

2. AZAN SEKALI UNTUK SOLAT JUMAAT

Al-Imam al-Syafie berkata:

وأيهما كان – يعني أن الأذان أحدثه عثمان أو معاوية – فالأمر الذي على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم أحب إلي

Maksudnya: “Siapapun yang memulakannya – sama ada ‘Uthman atau Mu‘awiah – perkara tersebut (azan Jumaat) seperti yang ada di zaman Rasulullah SAW adalah lebih daku sukai.” (al-Umm)

Ini bermakna azan hanya sekali itu lebih disukai oleh imam al-Syafie. Berapa masjid di hari ini azan sekali? Atau berapa kali hendak kita tidak menepati pendapat imam al-Syafie?

4. TIADA KENDURI ARWAH

Imam al-Syafie rahimahullah berkata:

وأكره النياحة على الميت بعد موته وأن تندبه النائحة على الانفراد لكن يعزى بما أمر الله عزوجل من الصبر والاسترجاع وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن

Maksudnya: “Aku tidak suka niyahah (peratapan) pada mayat setelah kematiannya, begitu juga aku tidak suka jika bersedih tersebut dilakukan seorang diri. Seharusnya yang dilakukan adalah seperti yang Allah Ta’ala perintahkan iaitu dengan bersabar dan mengucapkan istirja’ (innalillahi wa inna ilaihi rooji’un). Aku pun tidak suka dengan acara mat’am iaitu berkumpul di kediaman si mati walau di sana tidak ada tangisan. Kerana berkumpul seperti ini hanya membuat keluarga si mati mengungkit kesedihan yang menimpa mereka.” (Al Umm)

Tepat atau tidak pendapat imam al-Syafie ini? Kerana yang terjadi adalah berlawanan dengan pendapat imam al-Syafie.

5. PAHALA TIDAK SAMPAI PADA SI MATI

Imam al-Syafie berkata:

يلحق الميت من فعل غيره وعمله ثلاث حج يؤدي عنه ومال يتصدق به عنه أو يقضى ودعاء فأما ما سوى ذلك من صلاة أو صيام فهو الفاعله دون الميت

Maksudnya: “Yang sampai kepada si mati berupa amal ibadah hanya tiga sahaja: Iaitu haji yang dilaksanakan bagi pihaknya, sedekah atau hutang dibayar bagi pihaknya dan doa. Adapun selain itu seperti solat, puasa tidak sampai, kerana itu bukan amalnya.” (Al-Umm)

Kitab al-Azkar selain untuk benteng beramal dengan hadis dhaif, dalamnya juga imam al-Nawawi berkata:

فالمشْهورُ مِن مذهب الشافعي وجماعةٍ، أنّه لا يَصِل.وذهب…

“Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafie dan para ulama yang lain, ia (pahala) tidak sampai (kepada si mati)…” (Al-Azkar)

6. DILARANG BUAT BINAAN ATAS KUBUR

Imam al-Syafie berkata:

ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس

Ertinya: ..“Aku melihat pembesar di Mekah meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan aku tidak melihat para ulama mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.” (Al-Umm)

Bagaimana sebahagian kubur masyarakat kita pada hari ini? Bukan binaan atas kubur, bahkan dibuat macam pondok dan dinamakan makam itu sehingga saiznya mengalahkan saiz kubur “Cina”. Besar mana lagi kita hendak menyelisihi pendapat imam al-Syafie?

7. TIADA “SAIDINA” DALAM SELAWAT

Tahu atau tidak, bahawa imam al-Syafie ketika meriwayatkan tatacara selawat dalam solat, beliau tidak menggunakan tambahan “saiyyidina” pada nama (Nabi) Muhammad.

Sebaliknya beliau kekalkan ajaran Nabi SAW dalam sifat selawat.

Bahkan, pada mukadimah pembuka bicara kitabnya, beliau turut tidak menambah lafaz saidina pada penyebutan nama Nabi.

Pendapat beliau dalam hal ini tepat atau silap atau salah? Jika tepat ayuhlah ikut, jika tak ikut, bermakna beliau salah atau bermaksud kita lebih betul?

8. ZAKAT BUKAN MAKANAN ASASI

Zakat yang biasa dibayar dengan wang adalah tidak sah menurut imam al-Syafie. Disebutkan:

ومذهب الإمام الشافعي أنه لا تجزئ القيمة، بل لا بدّ من إخراجها قوتاً من غالب أقوات ذلك البلد.

Maksudnya: “Dalam mazhab imam al-Syafie ia tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilaian. Bahkan mestilah dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri.” (Fiqh al-Manhaji)

Kita tidak bincang pendapat mana lebih kondusif, sebaliknya hanya ingin agar masyarakat mula membuka tempurung dan lihat dengan lensa helang bukan lagi katak.

Itu belum lagi bab cara bayar zakat fitrah yang perlu bersalaman, hal ini juga tiada dalam pendapat imam al-Syafie.

9. PEHA LELAKI ADALAH AURAT

Ramai rakyat Malaysia mengaku bermazhab Syafie, namun ramai juga di stadium menonton bola sepak. Imam al-Syafie berpendapat bahawa paha lelaki adalah aurat.

Bagaimana para penonton menjaga pandangan agar tidak terlihat aurat pemain atau mengganggap pendapat imam al-Syafie tidak tepat dalam bab ini sampai sanggup tidak mempraktikkannya?

Terdapat perkataan dari Imam al-Syafie dalam Al Umm dan Al Imla’ bahawa:

وَعَوْرَةُ الرَّجُلِ مَا بَين السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ. وَالسُّرَّةُ وَالرُّكْبَةُ لَيْسَتَا مِنَ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Aurat laki-laki termasuk budak laki-laki adalah antara pusat dan lutut, pusat dan lutut tidak termasuk aurat.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab)

Bahkan pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie:

حدود عورة الرجل ما بين السرَّة والركبة بالنسبة للرجال أيَّاً كانوا، وبالنسبة لمحارمه من النساء. أما عند النساء الأجنبيات فما عدا الوجه والكفين على المعتمد. أي لا يجوز للنساء الأجنبيات أن ينظرن إلى ماعدا وجه الرجل الأجنبي وكفيه، فإن كان النظر بشهوة حرم بالنسبة للوجه أيضاً

Maksudnya: “Sempadan aurat bagi lelaki ialah antara pusat dan lutut di mana sahaja mereka berada. Hukum ini adalah ketika mereka berada sesama mereka atau mahram mereka (perempuan yang diharamkan kahwin dengan mereka).

Manakala ketika berada dengan perempuan-perempuan ajnabi (yang halal kahwin), aurat lelaki dengan mereka menurut pendapat yang muktamad ialah selain dari muka dan dua tapak tangan. Maksudnya ialah perempuan ajnabi tidak diharuskan melihat selain daripada muka dan dua tapak tangan lelaki ajnabi. Jika penglihatan tersebut dengan syahwat maka muka juga haram dilihat.” (Fiqh al-Manhaji)

Pandangan imam al-Syafie adalah tidak tepat atau kita pandang lebih dari had ditetapkan itu adalah tidak tepat?

10. AKIDAH IMAM AL-SYAFIE

‘Mainstream’ akidah diakui oleh masyarakat ialah sifat 20. Namun imam al-Syafie tidak pernah belajar atau ajarkan sifat 20. Bahkan bercanggah antara fahaman imam al-Syafie dengan aliran aswaja.

Fahaman aswaja menakwil (menukar) sifat Tuhan kepada sesuatu yang lain dari apa disebutkan. Sedang imam al-Syafie berkata:

الحمد لله الذي هو كما وصف به نفسه، وفوق ما يصفه به خلقه

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah sebagaimana Dia mensifati diriNya dan berada di atas (lebih tinggi dari) apa yang disifatkan untukNya oleh makhlukNya.” (Al-Risalah)

Aswaja juga mengingkari bahawa Allah beristiwa atas arasy. Sedang imam al-Zahabi menukil pendapat imam al-Syafie yang berkata:

القول في السنة التي أنا عليها ورأيت عليها الذين رأيتهم مثل سفيان ومالك وغيرهما الإقرار بشهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله، وأن الله على عرشه في سمائه، يقرب من خلقه كيف شاء، وينزل إلى السماء الدنيا كيف شاء

Maksudnya: “Pendapatku tentang sunnah,di mana aku berpegang kepadanya dan juga berpegang kepadanya oleh orang-orang yang aku lihat semisal Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa Allah itu di atas Arasy-Nya yang ada di langit-Nya. Dia mendekat makhlukNya menurut apa yang Dia kehendaki dan turun ke ke langit terendah menurut apa yang Dia kehendaki.” (Al-‘Uluw lil-‘Aliy al-Ghaffar)

Persoalannya apakah pendapat imam al-Syafie tidak tepat sehingga dalam bab akidah? Ataukah mazhab yang kita sandarkan diri sebenarnya tidak tepat dengan pendapat imam l-Syafie?

Sebagai kesimpulan, cukup jika ditutup dengan 5 baris ayat ini:

“Bacalah di bucu serambi, agar kenal mazhab sendiri, jangan semua salah wahhabi, buku ada, akal diberi, kedaluwarsa dari buta membabi.”

Editor: Loha
22 Rejab 1445

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *