ADAKAH KUBUR RASULULLAH SAW, ABU BAKAR DAN UMAR TERMASUK DARI KUBUR YANG DIBINA MASJID DI ATASNYA?

4 Views

Adakah kubur Rasulallah SAW, Abu bakar dan Umar termasuk dari kubur yang dibina masjid di atasnya?? Jawapannya TIDAK.

1. Diketahui bahawa ketika Nabi s.a.w. wafat di dalam bilik Aisyah r.a, di saat beliau sedang dikafankan, para Sahabat berselisih pendapat tentang tempat pemakaman baginda s.a.w. Dari Aisyah ra, beliau berkata:

“Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, mereka berselisih pendapat tentang pengebumian baginda. Abu Bakar berkata: Aku mendengar daripada Rasulullah s.a.w sesuatu yang aku tidak lupa akannya, baginda bersabda: “Allah tidak mengambil seorang nabi kecuali di tempat yang Dia kehendaki untuk dikuburkan.” Kuburkan dia di tempat tidurnya.” (Sahih riwayat Al-Tirmizi)

Oleh sebab itu, Rasulullah saw, dikebumikan di bilik Aisyah, tempat kematiannya. Maka, kubur itu terletak bersebelahan dengan masjid. Ini kerana rumah Aisyah bukan sebahagian daripada masjid.

2. Masjid Nabawi diperluaskan pada pemerintahan Umar ra dan juga pada zaman Uthman ra dari tiga penjuru, di samping ruang yang menghadap ke kubur ditinggalkan. Masjid itu telah diperluaskan tapi tidak diluaskan dari sisi sebelah kubur, sehingga kubur itu tetap jauh dari dinding masjid.

Kemudian perluasan berlaku pada tahun 88 Hijrah apabila Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik memerintahkan gabenor Madinahnya, Umar bin Abdul Aziz untuk meluaskan masjid dari semua penjuru hingga memasuki rumah-rumah di tepi masjid. Ini menyebabkan kubur kelihatan dikelilingi oleh masjid dari semua sisi.

Umar bin Abdul Aziz mengumpulkan para ulama dan penduduk Madinah dan memberitahu mereka, tetapi mereka sukar untuk membuat keputusan. Lalu Umar bin Abdul Aziz menulis kepada Al-Walid tentang hal ini, namun khalifah berkeras dengan apa yang diperintahkan kepadanya, maka Umar bin Abdul Aziz patuhi saja perintahnya (Bidayah wa Al-Nihayah).

Lalu mereka menutup pintu rumah dan membina dinding lain di atasnya, kemudian mereka bina di sekeliling kubur itu dinding yang tinggi dan bulat agar tidak kelihatan di dalam masjid.

3. Dari konteks ini dapat dilihat bahawa masjid nabawi tidak dibina di atas kubur, dan kubur itu tidak digali di dalam masjid. Masjid Nabawi pada asalnya tidak ada kaitan dengan kubur, dan kubur pada asalnya tidak ada kaitan dengan masjid nabi. Sekalipun masjid kelihatannya seperti mengelilingi kubur dari semua sisi kerana perluasan, tetapi kubur tidak masuk ke dalam masjid. Kerana tanah yang dikuburkan oleh Nabi s.a.w telah ditetapkan baginya hukum kubur, dan tanah yang didirikan masjid itu terbukti untuk masjid dan mengikut hukum masjid.

Maka jelaslah bahawa Masjid Nabawi bukanlah masjid yang berkubur, walaupun nampak seperti masjid yang berkubur, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Justeru, tidak ada dalil bagi sesiapa pun untuk menggunakan nama Masjid Nabawi sebagai dalil dihalalkan pengebumian dalam masjid atau membina masjid di atas kubur.

Mungkin ada yang akan bertanya, “Mengapa tak pindahkan saja kubur-kubur itu?”

Jawapan: Tempat pemakaman Nabi s.a.w adalah tauqifi (terikat dengan dalil) dan tidak ada ruang untuk berijtihad mengenainya, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Kedua kerana kesuciannya.

4. Andai kata kita menerima saja bahawa Masjid Nabawi telah menjadi masjid yang berkubur dalam kes ini, namun ia tetap tidak boleh disamakan dengan masjid perkuburan lain kerana dua sebab:

Pertama: Masjid Nabawi tidak seperti masjid-masjid yang lain, Allah telah membezakannya dengan fadhilat yang tidak ada pada masjid lain kecuali Masjidil Haram, iaitu misalnya solat di dalamnya menyamai seribu kali solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram.

Kedua: Masjid Nabawi dan kubur di situ tidak boleh dipindahkan ke mana-mana lagi dan ini tidak boleh berlaku di mana-mana tempat selain daripada tempat khusus ini sahaja. Tidak seperti masjid berkubur yang lain, kerana tidak ada masalah untuk memindahkan kubur di dalamnya, kerana tiada sebarang keistimewaan khusus masjid itu daripada yang lain. Maka dengan hujah syarak ini tiada tempat lain yang boleh disamakan/diqiaskan.

5. Jika ditanya, “Bagaimana Aisyah r.a solat di dalam biliknya sedangkan Nabi s.a.w dimakamkan di dalamnya?”

Jawaban: Dia membahagikan rumahnya kepada dua bahagian dan meletakkan dinding di antaranya. Satu bahagian yang di dalamnya terdapat kubur nabi s.a.w dan satu bahagian lagi ruang dia menetap dan solat. Ibn Saad menyebut dari Malik ibn Anas bahawa dia berkata: “Rumah Aisyah terbahagi kepada dua bahagian: bahagian kuburnya Nabi s.a.w, bahagian di mana Aisyah berada, dan di antara mereka itu dinding”. (Tabaqat Al-Kubra)

Abu Soleh.
Terjemahan dari artikel salaf centre bertajuk هل المسجد النبوي الشريف مسجد مبنيّ على قبر؟.

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *