AIR-AIR UNTUK BERSUCI DARI HADAS
- 11/01/2024
- admin
- Comment: 0
- Fiqh, Hadis, Ibadah, Keluarga, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama, Sunnah
“Air yang boleh digunakan untuk bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air dan air salji.” (Fiqh al-Manhaji)
Semua jenis air tadi terbahagi kepada 4 bahagian: air mutlak, musta’mal, musyammas dan bernajis. Ia dapat dihuraikan secara ringkas seperti berikut:
1. Air Mutlak
-Air yang asal, belum digunakan.
2. Air Musta’mal
-Air mutlak yang telah digunakan.
-Atau telah bercampur dengan sesuatu seperti kopi dan seumpamanya. Yang kedua ini ia suci tapi tidak mensucikan.
3. Air Musyammas
-Air yang telah terdedah dengan sinaran matahari hingga terlihat seperti minyak di permukaannya.
-Sah bersuci dengannya, namun makruh menggunakan air ini untuk manusia dan haiwan, kerana dikhuatiri akan membawa mudarat.
4. Bernajis
-Air yang sedikit atau banyak yang telah berubah warna, bau atau rasa kerana terjatuh najis ke dalamnya.
Hukum berwuduk atau mandi hadas adalah sah dengan menggunakan air mutlak dan air musta’mal, selama masih tidak berubah bau, warna dan rasanya.
“Hukum berwuduk adalah sama dengan hukum mandi, kerana kedua-duanya mengandungi makna mengangkat hadas.” (Fiqh al-Manhaji)
Ramai antara kita yang memahami bahawa hanya air mutlak saja sah dibuat wuduk dan mandi (hadas).
Dan air musta’mal yakni air yang telah digunakan, misalan kita wuduk dan titisan itu jatuh ke dalam bekas (kurang 2 kolah) maka tidak boleh guna air dalam bekas itu untuk wuduk dan mandi (hadas).
Kefahaman sebegini adalah tidak benar, kerana yang benar ialah, air mutlak dan musta’mal boleh digunakan untuk wuduk dan mandi (hadas).
Dalil sahnya wuduk atau mandi hadas dengan air musta’mal adalah berdasarkan hadis Abu Hudzaifah R.A, beliau berkata:
خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – بِالْهَاجِرَةِ ، فَأُتِىَ بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَأْخُذُونَ مِنْ فَضْلِ وَضُوئِهِ فَيَتَمَسَّحُونَ بِهِ
Maksudnya: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah keluar bersama kami di al-Hajiroh, lalu beliau didatangkan air wuduk untuk berwuduk. Kemudian para sahabat mengambil bekas air wuduk beliau. Mereka pun menggunakannya untuk mengusap.” (HR al-Bukhari)
Ibn al-Hajar al-‘Asqalani berkata: “Dapat difahami dari hadis ini bahwa air bekas wuduk tadi adalah air yang mengalir dari anggota wuduk Nabi SAW. Maka ini adalah dalil yang sangat jelas bahwa air musta’mal adalah air yang suci.” (Fath al-Bari)
Imam al-Bukhari membawa sebuah bab:
(باب استعمال فضل وضوء الناس وأمر جرير بن عبد الله أهله أن يتوضئوا بفضل سواكه)
Maksudnya: “Menggunakan (sisa air) bekas wuduk orang. Dan pernah Jabir bin Abdillah memerintahkan keluarganya supaya berwuduk dengan bekas yang beliau guna untuk mencuci kayu suginya.”
Imam al-Syafie ketika membahas hukum air kurang dua kolah memberi pandangan bahawa air musta’mal adalah suci. Al-Rabi’ berkata:
“Dan termasuk kata-kata al-Syafie ialah apabila seseorang meletakkan air, lalu dia mengerjakan perbuatan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu ke dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, pasti dia dapat berwuduk dengan air itu.
Kerana yang terdapat pada sugi itu adalah air liurnya. Dan kalau dia meludah atau berdahak atau mengeluarkan hingus ke dalam air, nescaya ia tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka ia tidak menajiskan air kecuali anjing dan babi.
Begitu juga kalau berpeluh, lalu peluhnya terjatuh ke dalam air, nescaya tidak menajiskan. Ini kerana, peluh manusia dan binatang ternak itu tidak najis dan sama sahaja dari mana tempat peluh itu keluar sama ada dari bawah bahu atau lainnya.” (Al-Umm)
Sayid Sabiq berkata: “Hukumnya (air musta’mal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa ada perbezaan walau sedikit. Hal itu disebabkan asalnya yang suci sedangkan tidak ditemui satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu.” (Fiqh Sunah)
Berkata Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim: “Pendapat yang lebih kuat, air musta’mal termasuk air muthohhir (mensucikan, bererti ia boleh digunakan untuk berwuduk dan mandi) selama ia tidak keluar dari nama air mutlak atau tidak menjadi najis disebabkan tercampur dengan sesuatu yang najis sehingga berubah bau, rasa atau warnanya.
Inilah pendapat ‘Ali bin Abi Tholib, Ibnu ‘Umar, Abu Umamah, sekelompok ulama salaf, pendapat yang masyhur dari Malikiyah, merupakan salah satu pendapat dari Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad, juga pendapat Ibn al-Hazm, Ibn al-Mundzir dan Syaikhul Islam Ibn al-Taimiyah. (Shahih Fikih Sunnah)
Dapat disimpulkan bahawa air mutlak dan air musta’mal dapat digunakan untuk wuduk dan mandi hadas, selama tidak berubah bau, warna dan rasa.
Wallahuaklam
Editor: Loha
29 Jamadilakhir 1445H