AL-QURAN SEBAGAI PERHIASAN
- 20/05/2024
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Dakwah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Seni & Kebudayaan, Sunnah
Menjadi budaya sebahagian masyarakat menggantungkan ayat al-Quran sebagai perhiasan di rumah atau di kenderaan. Contohnya ayat seribu dinar, ayat Kursi dan sebagainya.
Tahukah kita bahawa Nabi SAW dan sahabatnya, tidak pernah menjadikan al-Quran sebagai perhiasan di rumah mahupun tunggangan mereka?
Apakah tujuan orang menggantungkan ayat al-Quran? Kenapa tidak jadikan Nabi SAW dan para sahabat RA sebagai pedoman?
Sesungguhnya kita telah diajar sunnah berdoa masuk dan keluar rumah serta doa menaiki kenderaan. Tidak perlu kepada sebarang tangkal atau azimat sama sekali!
Al-Quran diturunkan bukanlah untuk dijadikan perhiasan, yang kadangkala diselaputi habuk. Tapi untuk ditadabbur makna dan menjadikan ia sebagai panduan hidup. Firman Allah SWT:
{كِتَابٌ أَنزلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الألْبَابِ}
Maksudnya: “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu, -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” -1-
Imam al-Qurtubi menukilkan:
رأى عمر بن عبد العزيز ابناً له يكتب القرآن على حائط فضربه
Maksudnya: “Umar bin Abdul Aziz pernah melihat anaknya menulis ayat al-Quran di dinding, lalu beliau pun memukulnya.” -2-
Sekiranya menulis al-Quran sebagai hiasan adalah sesuatu yang baik, tentu sahaja dilakukan oleh Nabi SAW, dan semestinya khalifah Umar bin Abdul Aziz suka, namun terjadi sebaliknya.
Imam al-Nawawi yang bermazhab al-Syafie mengulas bab ini dengan katanya:
مذهبنا أنه يُكره نقش الحيطان والثياب بالقرآن , وبأسماء الله تعالى. وتُكره كتابته على الجدران عندنا.
Maksudnya: “Madzhab kami (syafieyyah), dibenci menuliskan al-Quran atau nama Allah di tembok atau kain. Dan tidak boleh menuliskan al-Quran dengan tinta najis. Dan dibenci menuliskan al-Quran di dinding, menurut madzhab kami.” – 3-
Selain itu, fuqaha terkenal dalam mazhab al-Syafie iaitu Muhammad Khatib al-Syirbini turut berkata:
ويُكره كتبُ القرآن على حائط ولو لمسجد , وثياب , وطعام , ونحو ذلك
Maksudnya: “Dibenci menuliskan al-Quran di dinding, meskipun milik masjid, atau di baju atau makanan, atau semacamnya.” -4-
Salah seorang mufassir agung mazhab Maliki, iaitu Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr al-Ansari, yang lebih dikenali sebagai al-Qurtubi al-Maliki, berkata:
ومِن حرمته ألاَّ يُكتب على الأرض ولا على حائط كما يُفعل به في المساجد الْمُحدَثة
Maksudnya: “Di antara kehormatan al-Quran, tidak boleh ditulis di tanah atau di atas tembok, sebagaimana yang terjadi pada masjid-masjid zaman kini.” -5-
Rujukan dalam mazhab Hanafi, iaitu Ibn al-Abidin berkata:
وتُكره كتابة القرآن , وأسماء الله تعالى على الدرهم , والمحاريب , والجدران , وما يُفرش , والله تعالى أعلم
Maksudnya: “Dibenci menuliskan ayat al-Quran atau nama-nama Allah di mata wang, mihrab, dinding, atau semua benda yang dibentangkan.” -6-
Ramai lagi ulama yang melarang, antaranya Syeikhul Islam al-Imam Ibn al-Taimiyyah yang berkata:
وأما كتابة القرآن عليها : فيُشبه كتابة القرآن على الدرهم , والدينار , ولكن يمتاز هذا بأنها تُعاد إلى النار بعد الكتابة , وهذا كلُّه مكروه , فإنه يُفضي إلى ابتذال القرآن , وامتهانه , ووقوعه في المواضع التي يُنزَّه القرآن عنها
Maksudnya: “Adapun hukum menulis al-Quran di pinggan / bekas perak mata wang, bezanya, tulisan di bekas perak dibakar dahulu barulah diukir. Dan semua ini dibenci, kerana boleh menjadi sebab merendahkan al-Quran dan tidak menghormatinya, atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.” -7-
Sebagai kesimpulan dalam bab ini, renungkanlah apa yang dikatakan oleh Syeikh Nasir bin ‘Abd al-Rahman al-Judai’:
لقد نص جماعة من علماء السلف عند كلامهم على الآداب الخاصة بالقرآن الكريم على كراهة كتابة القرآن الكريم على الجدران، في المسجد وغيرها، أو على الثياب ونحوها، على سبيل الاطلاق، ولم يستثنوا ما كان من ذلك لتبرك.
“Sebahagian ulama salaf (terdahulu), ketika memperkatakan berkenaan adab-adab yang khusus terhadap al-Quran al-Karim, mereka menetapkan secara mutlak dibencinya menulis al-Quran di dinding-dinding, di dalam masjid, dan selainnya, atau pada pakaian dan seumpamanya.
Dan tidak terkecuali juga (menulis ayat al-Quran pada dinding) jika bertujuan untuk mencari keberkatan.
Menulis ayat-ayat al-Quran di dinding dan semacamnya atau menulisnya di atas daun, papan, bekas atau semacamnya, kemudian menggantungnya kerana mengharapkan kebaikan atau menolak bahaya, ia tidak disyariatkan.
Bahkan ia termasuk perkara bidaah dan bertentangan dengan petunjuk Rasulullah SAW, para sahabat dan para imam salaf.
Sama halnya dengan menggantung sesuatu yang ditulis zikir-zikir disyariatkan, hadis-hadis Nabi SAW, nama-nama dan sifat-sifat Allah untuk tujuan mendapat keberkatan dengannya, maka hal ini tidak wajar dilakukan.”-8-
Walaupun ada pandangan yang berbeza, utamakan menyerupai perbuatan Nabi SAW perlu kita usahakan. Ini sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Soleh al-Utsaimin, katanya:
تعليق الآيات القرآنية على الجدران وأبواب المساجد وما أشبهها- هو من الأمور المحدثة التي لم تكن معروفة في عهد السلف الصالح الذين هم خير القرون…ولو كان هذا من الأمور المحبوبة لله عز وجل لشرعه الله تعالى على لسان رسوله صلى الله عليه وسلم…ولو كان هذا من الخير لكان أولئك السلف الصالح أسبق إليه منا…والخلاصة: أن تعليق هذه الآيات إلى الإثم أقرب منه إلى الأجر، وسلوك طريق السلامة أولى بالمؤمن وأجدر.
Maksudnya: “Menggantung ayat al-Quran pada dinding dan pintu masjid atau seumpamanya merupakan perbuatan baru yang tidak wujud pada generasi terbaik, iaitu zaman salafussoleh.
Seandainya perbuatan menggantung ayat al-Quran dicintai oleh Allah SWT, sudah pasti ia disyariatkan melalui lisan Rasulnya Muhammad SAW.
Sekiranya perbuatan menggantung ayat al-Quran itu baik, tentulah para salafussoleh akan melakukannya.
Dapat disimpulkan bahawa menggantung ayat al-Quran lebih hampir kepada dosa daripada pahala, maka menghindarinya (dari menggantung ayat al-Quran) adalah lebih utama.” -9-
Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Rasulullah SAW dan beliau adalah ikon kita serta diutus untuk kita mengikutinya. Maka contohilah Rasulullah SAW sebagai bukti tanda cinta kita kepada agama yang dibawa olehnya.
Wallahualam
_____________________________
1. QS Shad: 29
2. Al-Jami’ al-Ahkam al-Quran
3. Al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran
4. Al-Iqna’
5. Al-Jami’ al-Ahkam al-Quran
6. Hasyiyah Ibn al-Abidin
7. Majmu al-Fatawa
8. Al-Tabarruk ‘Anwa’uhu wa Ahkamuhu
9. Fatawa Nur ‘ala Darb
Editor: Loha
12 Zulkaedah 1445H