BACA SURAH AL-MASAD NABI SEDIH?

BACA SURAH AL-MASAD NABI SEDIH?

BACA SURAH AL-MASAD NABI SEDIH?

Surah al-Masad atau lebih dikenali dengan nama surah Tabbat. Iaitu surah ke-111 dalam al-Quran.

Surah ini mengisahkan kecaman Allah pada Abu Lahab, atau nama sebenarnya Abdul Uzza bin Abdul Muttalib. Dia salah seorang pakcik kepada Nabi SAW.

Ada banyak pengkhianatan dan penyeksaan baik sudut rohani mahupun fizikal yang Abu Lahab lakukan terhadap Nabi SAW.

Ketika anak Nabi Muhammad SAW bernama Ibrahim meninggal dunia, Abu Lahab mendapat berita kematian itu dan dia telah keluar dari rumahnya sambil menari dan meraikan kematian cucu saudaranya itu.

Anak perempuan Nabi SAW iaitu Ummu Kalsom diceraikan oleh suaminya Utaibah, dan Ruqayyah diceraikan oleh suaminya Utbah. Mereka ialah anak-anak kepada Abu Lahab. Perceraian dilakukan dengan kejam.

Bahkan Abu Lahab pernah cuba membunuh Nabi SAW dengan menghempaskan batu ke kepala Nabi ketika Nabi solat. Tetapi ia dihalangi malaikat.

Dan pelbagai lagi kekejaman Abu Lahab bersama isterinya terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Hingga akhirnya, kematian Abu Lahab sungguh epik, bilamana “Ummu Fadhl mengambil salah satu tiang penyangga bilik, lalu digunakannya untuk memukul Abu Lahab sehingga kepalanya luka parah.

Dia hanya hidup tujuh hari selepas itu, sehingga Allah menimpakan pada lukanya bernanah yang biasanya membuatkan orang ramai Arab berasa jijik, lalu kesan itu membunuhnya.

Tidak ada saudaranya yang mahu mengurusnya, sehingga mayatnya dibiarkan begitu sahaja selama tiga hari tanpa dikuburkan.

Disebabkan khuatir akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, maka barulah mereka menggalikan liang kubur untuknya. Kemudian mereka menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu, lalu melemparnya dengan batu-batu dari jauh sehingga jasadnya tertimbun.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum)

Manusia yang hidupnya memusuhi agama Allah dan Nabi-Nya, sehingga Allah merakam laknat untuknya.

Hairan, apabila manusia sekejam itu dibela oleh sebahagian manusia dengan mengatakan; ‘supaya surah al-Masad ini jangan dibaca dalam solat, takut Nabi tersinggung.’

Kemungkinan, yang tersinggung itu bukan Nabi SAW tapi golongan penyambut maulid. Kerana sunah Abu Lahablah ikon yang mereka turuti.

Pada hari kelahiran Nabi SAW, Abu Lahab menyembelih 100 ekor unta dan memerdekakan seorang hamba. Namun seluruh kehidupannya digunakan untuk melawan agama yang dibawa oleh Nabi SAW.

Tak jauh beza ahli bidaah juga enggan kalah dengan Abu Lahab, pada hari maulid mereka begitu gembira, kenduri dan bersedekah, namun sepanjang tahun diisi dengan pelbagai ritual bidaah.

Mungkinkah kerana wujud persamaan antara Abu Lahab dan Aswaja ini, yakni bergembira pada hari kelahiran Nabi SAW, namun sepanjang hayat melawan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW, maka mereka (Aswaja) tersentap bila kita baca ayat al-Quran mengecam ikon mereka itu?

Ketahuilah, tiada larangan membaca surah al-Masad, bahkan cerita lebih kejam dirakam dan dibaca dalam al-Quran iaitu kisah ayah kepada Nabi Ibrahim.

Jauhilah penceramah yang menyatakan bahawa membaca surah al-Masad membuat Nabi SAW kecil hati, dan paksalah mereka bawakan dalil atau tinggalkan mereka, kerana merekalah raja berdalih yang sebenarnya.

Editor: Loha
5 Zulhijjah 1445H

Pelawat: 252
Hari ini: 2
Jumlah: 337617

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X