BENARKAH SYAIR IMAM AL-SYAFIE?

7 Views

Tentu ramai tahu atau mesti pernah dengar sebuah syair mendayu-dayu liriknya, iaitu:

اِلهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ اَهلاً, وَ لاَ اَقْوَي عَلَي النَّارِ الْجَحِيْمِ…

Maksudnya: “Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga-Mu, tetapi aku tidak pula sanggup ke neraka-Mu…”

Syair ini acap kali disandarkan kepada Imam al-Syafie. Namun, ia bukanlah syair Imam al-Syafie.

Tiada rekod bertulis beliau (Imam al-Syafie) melantunkan syair tersebut dalam mana-mana karya beliau. Juga tiada dalam kitab-kitab biografinya.

Sumber syair tersebut kita temui berasal dari Abd al-Wahab al-Sya’rani yang berkata: “Sesiapa yang mengamalkannya dan membacanya pada setiap hari Jumaat, maka dia akan dimatikan di dalam Islam tanpa syak lagi.” (‘Iaanah al-Tholibin)

Diharapkan kita dapat betulkan penisbahan, dari disandar kepada Imam al-Syafie, (disandarkan) kepada Imam al-Sya’rani.

Selain itu, fadhilat yang disertakan iaitu “akan dimatikan di dalam Islam” amatlah karut dan tidak masuk akal.

Andai fadhilat syair itu mampu memastikan seseorang “mati dalam keadaan Islam”, pasti Nabi SAW telah ajarkan syair itu, tapi tidak! Dan adakah syair lebih berfaedah dari al-Quran dan zikir Sunnah? Jauh panggang dari api!

Bila kita teliti isi kandungan syair tersebut, ia tidak menepati ajaran Nabi SAW. Ini kerana Nabi SAW bersabda:

فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ

Maksudnya: “Apabila kamu memohon syurga kepada Allah, maka mohonlah al-Firdaus.” (HR al-Bukhari)

Nabi SAW ajarkan kita untuk minta syurga tertinggi, bukan merendah tak kena tempat.

Diharapkan selepas ini kita tidak lagi menisbahkan, berdusta, menjual nama Imam al-Syafie untuk syair (اِلهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ) ini.

Terlalu banyak hadis sahih Nabi SAW ajar pelbagai doa, sudahkah kita amalkan? Jika belum, amalkan dahulu doa dari hadis sahih sebelum terfikir nak berdoa dengan bait-bait syair.

Wallahualam

Editor: Loha
4 Zulkaedah 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *