BIDAAH ANTARA KERETA DAN UNTA

BIDAAH ANTARA KERETA DAN UNTA

Bila sebut bidaah ramai yang rasa tergugat dan pertahankannya, namun enggan mengaku diri “ahli bidaah”. Dan alasan untuk buat bidaah yang selalu mereka gunakan antaranya:

“Naik kereta tak bidaah ke? Sebab Nabi tak naik kereta. Naiklah unta baru sunnah!”

Orang yang berkata sebegitu mungkin dia rasa dirinya bijak. Tapi sebenarnya ‘better to remain silent and be thought a fool than to speak and to remove all doubt.’

Perlu untuk kita fahami makna bidaah sebelum nak hukum perbuatan itu bidaah atau tidak. Bidaah yang dilarang hanya dalam bab ibadah sahaja, manakala dalam urusan duniawi tidak termasuk dalam bidaah yang dilarang.

Imam al-Nawawi meletakkan bab dalam sahih Muslim dengan judul:

وُجُوبِ امْتِثَالِ مَا قَالَهُ شَرْعًا دُونَ مَا ذَكَرَهُ مِنْ مَعَايِشِ الدُّنْيَا عَلَى سَبِيلِ الرَّأْيِ

Maksudnya: “Wajib mengikuti apa yang diucapkan berkaitan syarak bukan apa yang diucapkan mengenai kehidupan dunia dengan akalnya.” -1-

Kemudian diikuti dengan hadis dari ‘Aisyah dan dari Tsabit dari Anas bahawa Rasulullah SAW pernah mendatangi suatu kaum yang sedang mengahwinkan pohon kurma lalu baginda bersabda:

“Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik.”

Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Hingga suatu saat Nabi SAW mendatangi mereka lagi dan melihat hal itu lantas baginda bertanya:

‘Kenapa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu? Baginda lalu bersabda:

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ.

Maksudnya: “Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.” -2- (HR Muslim). Atau dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda:

…إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku manusia. Apabila aku perintahkan sesuatu berkaitan urusan agama maka terimalah dariku! Dan sekiranya aku perintah sesuatu dengan fikiran aku maka aku hanyalah manusia.” -3 –

Jelas bahawa sekiranya sesuatu dari urusan dunia, maka kita bebas melakukankan apa sahaja menurut kemampuan dan kreativiti kita. Tetapi jika datang urusan berkaitan agama, semestinya diambil dari Rasulullah SAW sahaja.

Ada dua kaedah hukum yang penting dan perlu ditekankan kepada masyarakat. Pertama, kaedah fiqh dalam urusan ibadah:

فالأصل في العبادات البطلان حتى يقوم دليل على الأمر

Maksudnya: “Asal dalam ibadah adalah tertolak (tidak diterima) sehingga adanya dalil yang memerintahkan untuk melakukannya.” -4-

Solat sunat dhuha asalnya tidak boleh, namun kerana adanya dalil Nabi SAW melakukannnya, maka ia boleh dilakukan.

Itu ibadah, yang mesti kena ada dalil untuk buat, berbeza apabila berinteraksi kaedah fiqh berkaitan urusan dunia:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: “Asal sesuatu itu harus, sehingga datang dalil pengharamannya.” -5-

Maknanya, makan apa saja adalah harus pada asalnya, selama tiada larangan. Termasuk makan babi, adalah harus pada asalnya. Namun kerana telah ada larangan, maka ia ditegah.

Secara mudah, dapat disimpulkan kedua-dua kaedah di atas seperti berikut:

الأصل في العبادات المنع إلا لنص، وفي العادات الإباحة إلا لنص

Maksudnya: “Asal dalam ibadah adalah dilarang melainkan dengan adanya dalil yang menyuruh. Dan dalam hal adat/dunia adalah harus, melainkan adanya dalil yang melarang.” -6-

Maka dalam setiap urusan, kita fikirkan apakah ia hal dunia atau ibadah. Sekiranya ia hal dunia, maka lakukanlah selagi mana tiada larangan.

Sebaliknya jika ia hal ibadah, sila lihat apakah ada sandaran dari dalil dan nas syarak. Jika tiada, maka jangan lakukan.

Maka janganlah loyar buruk kata ‘naik kereta sebagai bidaah’, kerana ia adalah urusan dunia. Jangan sampai kita terlihat seperti unta yang tak dapat berfikir dalam membezakan antara urusan dunia dan urusan ibadah.

Wallahualam.

__________________________________
1. Imam al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim.
2. Ibid
3. Ibid
4. Zakariyah bin Ghulam Qadir. Usulil Fiqh ‘Ala Minhaj Ahli al-Hadith.
5. Al-Suyuthi. Asybah wa al-Nazhaahir.
6. Ibn al-Qayyim. I’lamul Muwaqqi’in

Editor: Loha
18 Zulkaedah 1445H

Pelawat: 678
Hari ini: 2
Jumlah: 221258

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X