BIDASAN BUAT SYEIKH NURUDDIN ISU: AKU TERIMA NIKAH

4 Views

BILA AL-MARBU MULA MERAPU

(Bidasan Buat Syeikh Nuruddin, Isu: Aku Terima Nikah)

Dalam sepotong video, syeikh al-Marbu menyatakan bahawa perkahwinan antara Sabri Yunus dan Angelina Tan tidak sah dan dikira berzina.

Beliau memberikan dua sebab, pertama kerana ada waktu/tempoh antara ijab dan kabul. Dan kedua kerana kabul tidak sempurna.

Bab undang-undang nikah cerai tertakluk di bawah enakmen negeri. Dan negeri Perlis tidak meletakkan syarat merapu seperti diwariskan di sebahagian tempat.

Maka nak tanya, syeikh al-Marbu mufti negeri mana? Di negara sendiri pula, adakah syeikh al-Banjari memegang jawatan mufti?

TEMPOH IJAB DAN KABUL:

Pertama, tempoh yang wujud antara ijab dan kabul tidak sampai 10 saat, bahkan di dalam majlis yang sama. Dinyatakan oleh ulama al-Syafieyyah dalam bab ini seperti berikut:

لوجود الفاصل الطويل بين الإيجاب والقبول، مما يجعل أمر رجوع الوليّ في هذه المدة عن الزواج أمراً محتملاً، أما السكوت اليسير: كتنفس، وعطاس، فإنه لا يضرّ في صحة العقد

Maksudnya: “Sekiranya wujud pemisah antara tempoh ijab dan kabul kerana sesuatu urusan… seperti diam yang sekejap antara ijab dan kabul, seperti bernafas atau bersin, tidaklah merosakkan akad nikah tersebut.” (Al-Fiqh al-Manhaji Ala Mazhab al-Syafie)

Bahkan dalam mazhab Hanafi dan Hanbali dinyatakan tidak mengapa berlaku pemisahan yang lama antara ijab dan kabul jika sekiranya masih dalam majlis dan tidak disibukkan dengan perkara yang lain.

Hal ini bukanlah isu, tetapi sengaja dijadikan isu secara berulang dalam video yang sama. Maka dalam hal ini diharapkan syeikh banyakkan membaca dari dok asyik ratib wahabi! wahabi! Andai ia bukan isu, jangan pula di-isukan.

Sepatutnya syeikh al-Marbu utarakan isu berkaitan pernikahan berlainan agama, upacara maulid dengan menari joget dan bermacam-macam lagi perkara yang berlaku di Indonesia. Jangan seperti ayam kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

LAFAZ KABUL NIKAH:

Kedua, isu berkaitan lafaz kabul “saya terima dengan seperti apa yang disebut”. Isu ini turut dimainkan oleh beberapa orang beraliran aswaja.

Semasa awal PKP dulu, ramai yang terkejut bila dengar lafaz azan (صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ). Ini berlaku kerana para penceramah lebih bercakap bab ‘wahabi’ berbanding memandaikan umat dengan hukum-hakam kontemporari, hingga umat terlihat seperti rusa masuk kampung.

Berapa ramai tidak tahu bahawa nikah tak perlu berjabat tangan, ketahuilah akad kabul tidak mesti dengan “aku terima nikahnya fulanah binti fulan dengan mas kahwin RM sekian tunai”, sebaliknya menurut maktamad mazhab al-Syafie memadai dengan lafaz kabul:

وقبول بأن يقول الزوج (ومثله وكيله) تزوجت أو نكحت، أو قبلت نكاحها. انتهى.

Maksudnya: “Kabul daripada pengantin lelaki dengan menyebut “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan menikahinya”. (Fiqh al-Manhaji)

Bahkan dalam Ensiklopedia Fiqh al-Kuwait dinyatakan:

وعند جمهور الفقهاء – الحنفية والمالكية والحنابلة وقول عند الشافعية – يكفي أن يقول الزوج: قبلت أو رضيت وينعقد النكاح بذلك.

Maksudnya: “Di sisi jumhur (majoriti ulama) fuqaha daripada al-Hanafiah al-Malikiah al-Hanabilah dan satu qaul daripada Syafieyah, memadai (sah) sekiranya pengantin lelaki menyebut “aku terima” atau “aku redha”. Nikah tersebut sah.” (Al-Mausuah al-Fiqhiyyah Al-Kuwait)

Berapa ramai orang masih belum tahu bahawa pernikahan sah hanya dengan menyatakan “aku terima” atau “aku terima nikahnya”. Kenapa tidak tahu?

Mungkin sebab ramai ustaz/ustazah menganggap masyarakat sebebal mereka hingga mereka enggan ajar benda baru selain bahaya ‘wahabi’, kerana ‘wahabi’ terkedepan memberi informasi dan ilmu yang menyebabkan periuk tahlil mereka tergugat!

PANDANGAN MUKTAMAD:

Ketahuilah, banyak pendapat kita tidak menggunakan pendapat maktamad dalam mazhab al-Syafie.

Pernah tak kita suruh anak-anak untuk belikan apa-apa barang? Pandangan muktamad dalam mazhab Syafie tidak membenarkan kanak-kanak sama ada belum ataupun sudah mumayyiz untuk melakukan transaksi jual beli selagi dia belum lagi baligh dan belum mampu mengurus hartanya dengan baik.

Hukum jual beli atas talian yang tiada ijab kabul, hukum zakat menggunakan mata wang, hukum tidak batal wudhu jemaah haji yang bersentuhan lelaki dan wanita, hukum mendengar muzik dan pelbagai lagi, masyarakat yang dibimbing oleh ustaz yang meraikan kepelbagaian hukum fekah telah bawa keluar dari pendapat muktamad mazhab al-Syafie bahkan sebahagiannya terkeluar terus dari mazhab al-Syafie.

Maka janganlah seperti limau masak sebelah, sebaliknya jika mahu agar hanya pandangan muktamad saja digunakan, gunakan segenap aspek yang ada, hingga mengimejkan Islam agama jumud.

AKAD NIKAH CARA NABI ﷺ:

Pernahkah kita terfikir bagaimana akad nikah cara Nabi ﷺ? Dalam sirah, Nabi ﷺ pernah nikahkan sahabat, antara diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad, al-Sa’idi berkata:

“Aku pernah berada di suatu kaum yang sedang berada di sisi Rasulullah ﷺ. Tiba-tiba berdirilah seorang wanita seraya berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia telah menyerahkan dirinya untuk engkau, kerana itu berilah keputusan untuknya.”

Namun baginda tidak memberi jawapan apapun. Kemudian wanita itu berdiri dan berkata lagi, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia telah menyerahkan dirinya untuk engkau, kerana itu berilah keputusan untuknya.”

Ternyata baginda belum juga memberi keputusan apa-apa. Kemudian wanita itu berdiri lagi ketiga kalinya seraya berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia telah menyerahkan dirinya untuk engkau, kerana itu berilah keputusan untuknya.”

Maka berdirilah seorang lelaki dan berkata, “Wahai Rasulullah, nikahkanlah aku dengannya.” Baginda pun bertanya, “Apakah engkau memiliki sesuatu (untuk dijadikan mahar)?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Beliau bersabda, ”Pergi dan carilah sesuatu meskipun hanya sebentuk cincin dari besi.” Kemudian lelaki itu pergi dan mencari sesuatu untuk dijadikan mahar. Ia pun kembali dan berkata, “Aku tak dapatkan apa-apa walau hanya sekadar cincin dari besi.”

Lalu baginda bertanya, “Apakah engkau mempunyai hafalan Al-Qur’an?” Lelaki itu menjawab, “Tentu, aku hafal surah ini dan itu.” Akhirnya baginda bersabda:

اذْهَبْ فَقَدْ أَنْكَحْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآن

“Pergilah, aku nikahkan engkau dengan wanita tersebut dengan mahar hafalan al-Qur’anmu.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Tiada teks khusus dalam ijab dan kabul seperti: “Aku terima nikahnya fulanah binti fulan dengan mas kahwin berjumlah RM sekian tunai.”

KESIMPULAN:

Sebagai kesimpulan, kita ucapkan alhamdulillah, kita terhutang budi serta berterima kasih kepada Mufti Perlis dan saudara Sabri Yunus kerana telah menunjukkan contoh sunnah yang baik, semoga negeri lain juga mengadaptasi kaedah mudah nikah ini.

Selain amalan bid’ah hasanah yang dipertahankan, cuba-cubalah amalkan juga hadis mudahkan jangan susahkan:

يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا، وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا

Maksudnya: “Permudahkan dan jangan menyusahkan, khabarkan kegembiraan dan jangan buat orang lari (menjauh diri).” (HR. al-Bukhari)

Jika dalam bab akidah sebahagian golongan aswaja amat longgar sehingga minta pada pokok juga dibenarkan, namun bab fekah pula jadi terlalu ketat sampai tersendat umat. Semoga Allah membimbing kita untuk istiqomah di atas jalan hidayah.

Editor: Loha
1 Rabi’ulakhir 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *