BOLEHKAH SOLAT TANPA SEJADAH?

27 Views

SOLAT TANPA SEJADAH
(Hukum Menggunakan Sejadah)

Sejadah ditakrifkan sebagai “tikar sembahyang (yang biasanya dibuat daripad baldu).” -1-

Sejadah amat sinonim dengan orang yang hendak solat, namun menjadi persoalan, apakah hukum solat tanpa sejadah? Zaman Nabi SAW guna sejadah yang bagaimana?

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa Nabi SAW solat tanpa alas atau sejadah. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” -2-

Rasulullah SAW sendiri pernah solat atas tanah, Abu Said al-Khuri RA berkata:

مُطِرْنَا لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فِي مُصَلَّى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَظَرْتُ إِلَيْهِ وَقَدْ انْصَرَفَ مِنْ صَلَاةِ الصُّبْحِ وَوَجْهُهُ مُبْتَلٌّ طِينًا وَمَاءً

Maksudnya: “Pada malam 21 (Ramadan) kami dibasahi hujan, dan masjid (Nabawi) bocor di kawasan Nabi SAW solat. Setelah selesai dari solat Subuh kami nampak pada wajah baginda ada lumpur.” -3-

Terdapat sekurang-kurangnya tiga faedah yang dapat kita ambil dari hadis ini.

Pertama, adalah Nabi SAW solat tanpa alas. Kerana jika ada alas tentu tidak terpalit lumpur ke wajahnya.

Kedua, lumpur atau tanah tidak najis dan sah solat di atasnya tanpa perlu beralas.

Ketiga, Nabi SAW tidak usap wajah setelah beri salam dalam solat. Bahkan Imam al-Nasa’i meriwayatkan hadis ini dalam bab (ترك مسح الوجهة بعد التسلبم) “Meninggalkan Menyapu Wajah Setelah Salam.”

Inilah keistimewaan Nabi Muhammad SAW dan umatnya, sebagaimana dinyatakan oleh Sheikh Izzuddin Abdul Aziz bin Abd al-Salam al-Sulami, katanya:

انه احلت له الغنائم ولم تحل لاحد قبله وجعلت صفوفامته كصفوف الملائكه وجعلت له الارض مسجدا وترابها له طهورا وهذه الخصائص تدل على علو مرتبته ، والرفق بامته.

Maksudnya: “..Allah SWT menjadikan bumi sebagai masjid dan debu/tanah untuk bersuci (tayamum). Dan ini adalah kesitimewaan yang menunjukkan keutamaan dan ketinggian umat ini.” -4-

Namun tidaklah menjadi kesalahan untuk menggunakan sejadah atau alas, ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn al-Abbas katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي عَلَى الْخُمْرَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas al-Khumrah.” -5- Abu Isa (Imam al-Tirmidhi) berkata “al-Khumrah (الْخُمْرَةِ) adalah tikar kecil.” -6-

Imam al-Bukhari membawa riwayat ini iaitu riwayat solat atas tikar kecil dari beberapa sahabat.

Diikuti riwayat Nabi SAW solat atas kayu, yakni atas mimbar ketika mengajarkan orang ramai tatacara solat. Dan ada riwayat Nabi SAW solat atas alas tidur.

Ada juga riwayat Nabi SAW solat atas pelepah kurma dan sahabat meletakkan alas di tempat sujud dengan pakaian mereka untuk mengelak panas.

Tiada kontradik antara solat tanpa sejadah atau solat menggunakan sejadah. Sebaliknya ia memudahkan urusan ibadah dengan tidak mengehadkan tempat khusus sujud, sebaliknya sujud khusus kepada Tuhan.

Kita harap jangan ada yang beralasan tiada sejadah untuk dia elak dari menunaikan solat atau menunggu sejadah selesai digunakan individu lain, baru dia nak solat atas sejadah itu.

Serta, jangan pula bazirkan wang yang banyak untuk beli sejadah, kerana tiada nilai pada sejadah itu, tapi nilainya pada sujud yang kita lakukan.

Sebagai peringatan, kita ditegah untuk menunaikan solat pada beberapa tempat, Ibn al-Abbas berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏”‏ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang solat di tujuh tempat: tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah” -7-

Imam al-Shan’ani ketika mengulas hadis larangan solat di tempat tertentu ini, dia berkata:

“Seluruh bumi boleh digunakan untuk solat, kecuali kubur orang mukmin atau orang kafir. Alasannya adalah untuk memuliakan jenazah mukmin serta bagi kubur orang kafir pula agar tidak turuti sikapnya.

Solat di bilik mandi pula menurut mazhab al-Syafie adalah makruh, sebagaimana ditegaskan oleh al-Nawawi namun imam Ahmad menganggap ianya haram. Hal ini khusus untuk tandas yang ada najis.

Adapun larangan solat di tempat sampah dan penyembelihan, kerana dikhuatiri terkena najis. Dan larangan solat di jalanan kerana mengganggu lalu lintas.

Tempat duduk (kandang) unta pula dikatakan ia merupakan tempat berhuninya syaitan.

Jumhur ulama menyatakan solat sah (sah sekiranya yakin tidak terkena najis), akan tetapi hukumnya makruh.” -8-

Sekadar tambahan, syeikh Sayyid Sabiq berkata: “Sekiranya semasa solat baru kita sedar terdapat najis, maka bersihkan atau buang najis tersebut dengan kadar termampu serta teruskan solat tanpa perlu ulang solat semula atau membatalkannya.” -9-

Begitu juga jika terdapat najis di bawah sejadah, maka solat sah, seperti dinyatakan oleh al-Syairazi:

فإن صلى على أرض فيها نجاسة فإن عرف موضعها تجنبها وصلى في غيرها وإن فرش عليها شيئا وصلى عليه جاز لأنه غير مباشر للنجاسة ولا حامل لما هو متصل بها

Maksudnya: “Jika seseorang melaksanakan solat di atas dataran yang terdapat najis, jika tempat najis diketahui olehnya maka hindari najis tersebut dan solat di tempat lain. Jika di atas najis tersebut ada alas, lalu ia solat di atas alas tersebut maka hal ini dibolehkan, kerana ia tidak bersentuhan dengan najis dan tidak membawa sesuatu yang menempel pada najis.” -10-

Maka jelaslah kepada kita bahawa boleh menggunakan alas ketika menunaikan solat, atau sebaliknya. Dan solat sah tanpa sebarang syak selagi mana suci badan, pakaian dan tempat solat.

Dan sah solat sekiranya terdapat najis di bawah sejadah. Kerana kita tidaklah bersentuhan dengannya.

Oleh itu usahlah paksa orang menggunakan sejadah tanpa sebab-sebab tertentu, atau tanpa arahan dari pemerintah. Dan janganlah pula larang tanpa sebab, untuk orang menggunakan sejadah.

Wallahualam

Editor: Loha
6 Syawal 1445H

_____________________
1. Kamus Dewan
2. HR al-Bukhari
3. HR Bukhari, Muslim dan Nasa’i
4. Bidayat al-Sul fi Tafdhil al-Rasul
5. HR al-Tirmidhi
6. Ibid
7. HR al-Tirmidhi (dhaif)
8. Subul Salam (dengan suntingan)
9. Fiqh Sunah (dengan diringkaskan)
10. Al-Muhadzzab

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *