Daripada Ibn Umar RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ ـ يَعْنِي الثُّومَ ـ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا

Maksudnya: Sesiapa yang makan dari pohon ini – iaitu bawang putih – maka janganlah dia mendekati masjid kami. [Riwayat Al-Bukhari].

Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menyebut:

وَلاَ يُؤْذِيَنَّا بِرِيحِ الثُّومِ

Maksudnya: Janganlah dia menyakiti kami dengan bau bawang tersebut. [Riwayat Muslim].

Fiqah dan faedah yang boleh dikeluarkan dari hadis ini adalah, dilarang bagi seseorang yang memakan makanan yang berbau busuk kemudian menghadirkan diri ke masjid bagi solat berjemaah. Ini kerana, solat berjemaah bukan semata melibatkan hubungan seseorang dengan Allah SWT, bahkan dalam masa yang sama ia melibatkan hubungan manusia sesama manusia.

Larangan di dalam hadis tersebut tidaklah merujuk kepada bawang putih atau bawang merah sahaja, bahkan turut meliputi segala makanan lain atau selain makanan seperti bau badan, rokok yang menghasilkan bauan yang busuk yang boleh menyebabkan gangguan kepada para jemaah yang lain.

#SuaraSunnah
#Ashujaa