DILARANG BUDAYA “KEJUT SAHUR”

21 Views

Dalam bahasa Arab ia disebut (التسحير) “al-Tasheer”, yang bermaksud mengejutkan orang ramai bersahur dengan laungan “ayuh sahur-sahur” atau seumpamanya.

Budaya ‘tasheer’ kini dengan pelbagai cara digunakan, seperti “pukul rebana, seawal 3:30 pagi”-1-. “Penunggang, motosikal mengetuk buluh seawal 4:00 pagi.”-2-

Apakah acara ini masih relevan di zaman teknologi canggih? Telefon bimbit siap ada jam penggerak (alarm), jam penggerak juga telah canggih.

Lebih menghairankan, bila pasukan penggerak sahur lebih ramai dari jemaah hadir di masjid.

Berapa ramai yang berjaya masuk Islam kesan dari ‘tasheer’ ini? Atau berapa banyak orang bencikan Islam kerana salah laku (seperti tasheer ini) dilakukan oleh muslim?

Apakah pula hukum ‘tasheer’ ini? Secara umum, adalah dilarang melakukan ‘al-tasheer’. Ini sebagaimana dikatakan oleh Ibn al-Hajj al-Maliki (Wafat 737 Hijrah), katanya:

وينهى المؤذنين عما أحدثوه في شهر رمضان من ‌التسحير لأنه لم يكن في عهد النبي صلى الله عليه وسلم ولا أمر به ولم يكن من فعل من مضى، والخير كله في الاتباع لهم. اعلم أن ‌التسحير لا أصل له في الشرع الشريف ولأجل ذلك اختلفت فيه عوائد أهل الأقاليم فلو كان من الشرع ما اختلفت فيه عوائدهم

Maksudnya: “Dilarang ke atas para muazzin apa yang diada-adakan dalam bulan Ramadan daripada at-Tasheer, kerana ia tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi SAW dan tidak pernah diperintahkan serta tidak pernah dilakukan golongan yang terdahulu. Kebaikan itu keseluruhannya dalam mengikuti mereka.

Ketahuilah bahawa at-Tashir tiada asal baginya dalam syarak yang mulia, disebabkan itu telah berbeza-beza perlaksanaan penduduk pelbagai daerah. Seandainya ia daripada syarak, mereka tidak akan berbeza-beza pada perlaksanaan mereka.”-3-

Budaya ‘tasheer’ ini tidak pernah wujud zaman Nabi SAW walaupun ada sahabat yang terlewat makan sahur. Apa yang tidak dicontohkan oleh Nabi dan salaf, janganlah kita lakukan agar tidak terjerumus dalam kancah kesalahan.

Makan sahur adalah sunat, namun mengganggu orang hukumnya haram. Abu Sa’id al-Khudri berkata:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: «أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi SAW berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat”-3 –

Imam Ibn al-Jauzi mengkritik budaya mengganggu orang ini sebagai salah satu muslihat iblis, katanya:

“Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. -4-

Sekiranya bacaan al-Quran yang menyebabkan orang terganggu adalah dilarang, apakah lagi dengan pekikan ‘tasheer’ ini?

Kita juga perlu sedar bahwa bukan semua orang berpuasa,ada wanita uzur, orang tua atau sakit, bayi, anak-anak kecil, orang kafir. Jadi tindakan ‘tasheer’ ini akan mengganggu semua golongan (jiran) sekaligus.

Amaran Nabi SAW bagi mereka membuat jiran terganggu sebagaimana diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.”-5-

Oleh itu, usahalah menjadi muslim yang baik, sebagaimana sabda Nabi SAW:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”-7-

Berkata Imam Ibn Battal ketika mensyarahkan hadis ini,:

والمراد بهذا الحديث الحض على ترك أذى المسلمين باللسان واليد والأذى كله

Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.”-8-

Wallahualam

Editor: Loha
20 Ramadan 1445H

____________________________________

1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/952593/palu-rebana-kejut-sahur
2. https://www.kosmo.com.my/2024/03/14/ketuk-buluh-kejut-orang-bangun-sahur/
3. Al-Madhkal
4. HR Abu Daud
5. Talbis Iblis
6. HR Muslim
7. HR al-Bukhari
8. Syarah Sahih al-Bukhari

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *