DOSA FITNAH LEBIH BESAR DARI MEMBUNUH?

DOSA FITNAH LEBIH BESAR DARI MEMBUNUH?

Firman Allah SWT:

{ … وَٱلۡفِتۡنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلۡقَتۡلِۚ …}-1-

Terjemahan secara ‘literal’ ayat ini ialah “fitnah itu lebih dasyat dari membunuh.” Namun menterjemahkan sebegitu adalah silap.

Memahami perkataan (ٱلۡفِتۡنَةُ) terhadap ayat tersebut sebagai “membunuh” adalah jauh menyimpang dari maksud sebenar yang dikehendaki.

Fitnah dalam ayat tersebut bukan merujuk pada “tuduhan jahat yang sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan seseorang.”

Sebaliknya perkataan “fitnah” pada ayat itu bermaksud “syirik.” Ini sebagaimana dinyatakan oleh Abul Aliyah, Mujahid, Qatadah, Sa’id ibnu Jubair, Ikrimah, Al-Hasan, al-Dahhak dan Ar-Rabi’ ibnu Anas. Mereka semua berkata: Maksud (الشِّرْكُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ.) ialah:

الشِّرْكُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: “Kesyirikan itu bahayanya lebih besar daripada pembunuhan.” -2-

Bagi semua orang terutamanya yang memetik ayat al-Quran di atas, diharapkan lebih peka selepas ini agar tidak tersalah pandu ayat menyimpang dari makna asal wahyu.

“Agamawan” kini seperti cendawan tumbuh selepas hujan, namun usahlah jadi cendawan beracun yang membinasakan umat.

Nasihat imam al-Bukhari dalam bab di kitabnya (العلم قبل القول والعمل) “berilmu sebelum bercakap dan beramal.” -3-

Usahlah lidah mendahului akal serta bicara ke depan dari pengetahuan. Kerana bicara agama ibarat senjata yang jika salah ia boleh makan tuan.

Oleh itu, jangan terikut ‘trend’ mengulas bab agama sebelum ada pengetahuan. Sekurang-kurangnya kena ada asas atau rujuk dahulu fatwa serta kitab, dan cari guru yang benar-benar berilmu dalam rangka menuntut ilmu.

Bagus semangat dan usaha, tapi petik buah sebelum masak hanya merugikan, biarlah ranum baru enak dimamah. Jangan merendahkan ‘title’ ustaz/ustazah dengan watak yang murah serta ilmu yang mentah.

_________
1. QS al-Baqarah: 191
2. Tafsir Ibnu Katsir
3. Sahih al-Bukhari

Editor: Loha
7 Zulhijjah 1445H

Pelawat: 175
Hari ini: 3
Jumlah: 336600

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X