FAHAMI METOD SALAFI
- 22/05/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Hadis, Ibadah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sastrawan Islam, Sejarah Islam, Sunnah
Jangan terkejut apabila ada orang yang digelar salafi, tapi tidak ikut beberapa pendapat Ibn al-Taimiyyah atau berbeza dengan Ibn al-Qayyim.
Kerana salafi memilih untuk mengikuti (metod) Ibn al-Qayyim lah menyebabkan salafi tak ikut (sebahagian pendapat) Ibn al-Qayyim.
Ibn al-Qayyim sendiri memilih untuk tidak taklid membabi buta kepada gurunya (Ibn al-Taimiyyah), kata beliau (Ibn al-Qayyim):
شيخ الإسلام حبيب إلينا، ولكن الحق أحب إلينا منه! وكل من عدا المعصوم ـ صلى الله عليه وسلم ـ فمأخوذ من قوله ومتروك
Maksudnya: “Ibn al-Taimiyyah kami sayangi, tetapi kebenaran itu lebih kami cintai darinya. Hanya Rasulullah SAW saja maksum, selain darinya boleh diambil dan ditolak pendapat mereka.”
Untuk menjadi salafi tak perlu memuja Ibn al-Taimiyyah atau Muhammad bin Abdul Wahhab, sebaliknya cukup sekiranya kita menepati definisi “salafi” itu sendiri, iaitu:
من يرجع في الأَحكام الشرعية إلى الكتاب والسنة…
Maksudnya: “(Salafi adalah) siapa yang pada hal berkaitan hukum syariat merujuk pada al-Quran dan al-Sunnah…”
Inilah tunjang menyebab tidak menggelupur apabila dibawa pendapat dari tokoh “kami” yang berbeza dengan pendapat kami.
Jika ada yang sikit-sikit “kibar kata”, “ini pendapat Syeikh Soleh al-Fauzan”, dan sebagainya, maka anda bukan salafi, tapi mungkin al-Fauzaniy.
Maka orang di atas tiada beza dengan sebahagian manusia yang sikit-sikit “Maulana Ilyas kata”, “ini pendapat ‘eldes’” dan sebagainya, anda mungkin ‘khuruj’ (keluar) dari dakwah Nabi kepada Maulana- al-Ilyasiy.
Salafi sebenar tidak mentaqdiskan tokoh, tidak juga menghakis para imam. Sebaliknya salafi mencontohi imam al-Syafie, yang berani berbeza dengan gurunya (imam Malik) dan menghormati perbezaan dengan muridnya (imam Ahmad).
Kembali pada al-Quran dan al-Hadis bukanlah bermakna mencampakkan tokoh ke dalam longkang, bahkan salafi sebenar menjadikan tokoh sebagai wasilah.
Seumpama sungai yang mengalir, dimanfaatnya airnya, dimakan ikannya dan mensucikan diri dengannya. Tapi tidak sesekali mengikutinya ke hilir (sekiranya) yang tercemar.
Wallahualam.
Editor: Loha
15 Zulkaedah 1445H