FATWA PUASA USTAZ DON YANG GANJIL?
- 19/06/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Fiqh, Hadis, Ibadah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sastrawan Islam, Sunnah
Melalui siaran radio suria FM, ustaz Don mengatakan “tidak mengapa puasa pada hari-hari tasyrik (iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah).”
Hal ini jelas bercanggah dengan hadis, sekaligus dengan fatwa para imam. Rasulullah ﷺ bersabda:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari-hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minun.” -1-
Berdasarkan hadis ini, imam al-Nawawi berkata: “Ini (hadis) adalah dalil tidak boleh sama sekali berpuasa pada hari tasyriq.” -2-
Selain hadis tersebut, terdapat juga banyak hadis lain yang melarang puasa pada hari tasyrik.
Antaranya hadis larangan bilamana Abu Murrah (hamba Ummu Hani`) bersama Abdullah bin ‘Amr menemui ayahnya iaitu ‘Amr bin al-‘Ash, kemudian ia (Amr al-Ash) memberi makanan kepada keduanya lalu berkata, makanlah.
Lalu Abu Murrah berkata, sesungguhnya saya sedang berpuasa. Mendengar itu, Amr al-Ash berkata:
كُلْ فَهَذِهِ الْأَيَّامُ الَّتِي كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا بِإِفْطَارِهَا وَيَنْهَانَا عَنْ صِيَامِهَا قَالَ مَالِكٌ وَهِيَ أَيَّامُ التَّشْرِيقِ
Maksudnya: “Makanlah, ini adalah hari yang kami diperintahkan Rasulullah ﷺ agar berbuka dan melarang kami untuk melakukan puasa padanya. Malik berkata, hari-hari tersebut adalah hari-hari Tasyrik.” -3-
Kitab-kitab fiqh turut melarang puasa pada hari tasyrik.
Abu Syuja’ berkata:
وَيَحْرُمُ صِيَامُ خَمْسَةِ أَيَّامٍ : العِيْدَانِ وَأيَاَّمُ التَّشْرِيْقِ…
Maksudnya: “Diharamkan berpuasa pada 5 hari: Dua hari raya dan hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah)…” -4-
Syekh Zainuddin Al-Malibari berkata:
تتمة: يحرم الصوم في أيام التشريق والعيدين
Maksudnya: “Puasa pada hari tasyrik dan dua hari raya id haram.” -5-
Syekh Abu Zakariya al-Anshari berkata:
قوله (وَكَذَا أَيَّامُ التَّشْرِيقِ) وَهِيَ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ بَعْدَ يَوْمِ الْأَضْحَى لِلنَّهْيِ عَنْ صِيَامِهَا فِي خَبَرِ أَبِي دَاوُد بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ وَفِي خَبَرِ مُسْلِمٍ أَنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلّ
Maksudnya: “(Demikian juga hari tasyrik), iaitu tiga hari setelah Aidiladha kerana larangan puasa pada hadis riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih dan pada hadis riwayat Muslim, ‘Bahawa itu semua adalah hari makan, minum, dan zikir kepada Allah SWT.” -6-
Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad Al-Husaini Ad-Dimasyqi berkata: “Menurut qaul qadim (pendapat terdahulu) dari Imam Syafie masih boleh berpuasa pada tiga hari tasyrik bagi orang yang berhaji tamattu’ dan tidak memiliki haiwan untuk disembelih. Sedangkan qaul jadid (pendapat terbaru), berpuasa pada hari tasyrik tetap terlarang. Jika kita memilih qaul qadim (pendapat terdahulu), itu bukan bererti kita membolehkan untuk orang selain haji tamattu’ untuk puasa saat itu. Bahkan berpuasa saat itu dihukumi haram.” -7-
Imam al-Nawawi berkata:
واعلم أن الأصح عند الأصحاب هو القول الجديد أنها لا يصح فيها صوم أصلا , لا للمتمتع ولا لغيره .
Maksudnya: “Ketahuilah, yang asoh (tepat) menurut pendapat mazhab al-Syafie ialah qaul jadid (pendapat barunya), bahawa tidak sah puasa pada hari tasyrik, kepada orang berhaji tamattu mahupun selainnya.” -8-
Walau terdapat tiga pendapat berkaitan puasa hari tasyrik iaitu:
“Tidak sah puasa pada hari tersebut kecuali puasa bagi pelaksana ibadat haji secara tamattu’ dan qiran kerana ketiadaan binatang hadyu.
Tidak sah puasanya secara mutlak sama ada tamattu’, qiran dan lain-lainnya.
Harus puasa tamattu’ dan qiran dan semua puasa yang mempunyai sebab seperti nazar dan kifarah. Tetapi tidak sah puasa yang tidak mempunyai sebab.” -9-
Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al Bassam berkata: “Yang sahih daripada pendapat di atas bahawa puasa mereka diharamkan dan tidak sah kecuali kerana tamattu’ dan qiran.”-10-
Pendapat muktamad mazhab al-Syafie yang diwakili oleh al-Nawawi, al-Ghazali, Ibn al-Munzir dan Khattib al-Syarbini menyatakan tidak sah puasa sunat melainkan puasa wajib kerana Hadyu
Ibn al-Qudamah menyatakan bahawa pendapat muktamad mazhab Hanbali bahawa tidak sah puasa sunat melainkan puasa wajib kerana Hadyu.
Ibn Abd al-Barr al-Maliki menyatakan tidak sah puasa pada hari tasyrik.
Katanya, beliau hanya mencetus mahu, namun kenapa keluarkan hukum dan tidak minta orang ramai rujuk kepada mufti?
JAKIM sendiri telah menyatakan bahawa: “Diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik. Hari-hari Tasyrik ialah 11,12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 18,19 dan 20 Jun 2024.”
Kalau ini bukan lawan pemerintah, entah apa lagi baru dikatakan lawan pemerintah. Kalau perintah Nabi SAW melarang hadis palsu pun dilanggar, apalah sangat perintah manusia lain kan?
Bukan hanya RTM wajar rehatkan beliau, bahkan semua saluran sudah perlu memboikot ustaz sebegini kerana berulang kali melakukan pelbagai kesalahan, baik sudut fiqh, mahupun aspek hadis.
Kita juga mengharapkan mana-mana pihak yang menyokong ustaz Don, perlu membiayai beliau belajar di institusi yang diiktiraf, bagi menaik taraf kadar pemikirannya, sebelum membiarkan beliau menabur perkataannya berkeliaran.
Hairan, kerana tiada pihak “aswaja” bangkit melawan isu ini, jelas kebanyakan mereka lebih gemar sokong kawan, bukan mencari benar.
Semoga masyarakat lebih peka terhadap hukum dan kisah disampaikan oleh para ustaz/ustazah. Serta agamawan tidak pekak bila kesilapan berulang melibatkan hadis palsu dan hukum bercanggah dengan nas.
Wallahualam.
_____________________________________
1. HR Muslim
2. Minhaj Syarah Sahih Muslim
3. HR Abu Daud
4. Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib
5. Fath al-Mu’in
6. Asnal Mathalib
7. Kifayah Al-Akhyar
8. Majmu’ Syarh al-Muhadzab
9. islamweb.net
10. Taudhih al-Ahkam Syarah Bulughul Maram
Editor: Loha
12 Zulhijjah 1445H