HAWA SALAH PILIH BUAH ATAU KITA SALAH PETIK CERITA

HAWA SALAH PILIH BUAH ATAU KITA SALAH PETIK CERITA

Dinyatakan oleh sebahagian “ustaz selebriti” bahawa sebab manusia turun ke muka bumi adalah kerana salah Hawa. Ada beberapa perkara perlu diperhalusi pada kenyataan tersebut.

Pertama, Islam tidak pernah salahkan Hawa dalam isu keluarkan manusia (Adan dan Hawa) dari syurga. Al-Quran tidak menyalahkan gender sebaliknya firman Allah SWT:

فوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ

Maksudnya: “Lalu syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi.” -1-

فَأَكَلا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا}

Maksudnya: “Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu tampaklah bagi keduanya aurat-auratnya.” -2-

Ibn al-Katsir menafsirkan ayat tersebut dengan katanya:

“Iblis terus-menerus menggoda dan merayu keduanya sehingga keduanya memakan buah terlarang itu. Buah terlarang itu berasal dari pohon khuldi.” -3-

Ali al-Shabuni turut menafsirkan ayat tersebut dengan katanya:

“Syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpah. Adam menyangka bahawa tidak seorang pun berani berdusta dalam bersumpah dengan nama Allah lalu syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpahnya.” -4-

Jelas dalam al-Quran dan penjelasan mufassir menyatakan bahawa Iblis yang menggoda Adam dan Hawa sekaligus, tidak diskriminasi gender wanita sama sekali.

Kedua, kisah “Hawa pujuk Adam makan buah”, terdapat dalam riwayat Israiliyat, bahawa kononnya “Iblis masuk ke dalam perut ular dan menyelinap masuk ke dalam syurga. Selepas itu Iblis menggoda Hawa agar makan buah tersebut. Kemudian Hawa pula menggoda Adam supaya makan buah tersebut.” -5-

Kisah di atas dikritik oleh Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, dengan katanya:

“Sumber ambilan kisah ini adalah dari Wahab bin Munabbih dan Ahli Kitab yang memeluk Islam. Alangkah baiknya sekiranya beliau (Jarir al-Tabari) tidak meriwayatkan apa-apa dari kisah seperti ini.

Alangkah baiknya mufassir selepas beliau, yang menjaga tafsir mereka dari kisah Israiliyat seperti ini.

Semua ini merupakan kisah-kisah Bani Israil yang mereka telah tambah dan mencampurkan antara hak dan batil.” -6-

Ustaz Mustafar Mohd Suki turut berkata: “Ada yang mengatakan Hawa menghasut Nabi Adam AS supaya memakan buah daripada pohon itu. Ini tidak benar. Iblis yang menghasut mereka berdua, ini berdasarkan firman Allah pada surah al-Baqarah (36) dan surah al-A’raf (22).” -7-

Maka seharusnya seseorang perlu perhatikan sumber riwayat yang ia ambil, bukan nukil apa saja yang dia dapat. Ingatlah semua yang gugur itu bukanlah buah, tahi monyet juga gugur, oleh itu perhatikan sebelum kutip dan makan.

Ketiga, selain kisah Qathurah iaitu isteri ketiga Nabi Ibrahim yang terdapat dalam Bible, kisah menyalahkan Hawa juga terdapat dalam Bible. Dalam New Testament dinyatakan:

“And Adam was not deceived, but the woman being deceived was in the transgression.” -8-

Dan dalam Old Testament pula lebih jelas dinyatakan:

“And when the woman saw that the tree was good for food, and that it was pleasant to the eyes, and a tree to be desired to make one wise, she took of the fruit thereof, and did eat, and gave also unto her husband with her; and he did eat.” -9-

Jelas Bible iaitu rujukan agama Kristian kelihatan menyalahkan Hawa kerana makan dan pujuk pula Nabi Adam suruh makan buah tersebut. Seakan-akan Hawa bersalah dan penyebab lelaki bernama Adam keluar dari syurga.

Sepatutnya kita perlu ajarkan kandungan isi dalam al-Quran dan kisah yang sahih, bukan menggunakan nama pendakwah Islam namun cedok kisah dari Bible.

Sudah habiskah riwayat sahih dalam kitab tafsir, hadis dan syarahan hadis sampai nak petik dari Bible tanpa disedari, tanpa mengkaji.

Tak salah bergurau dalam Islam, bahkan Nabi SAW juga bergurau, tapi berguraulah dengan tidak berdusta. Definisi dusta menurut al-Nawawi:

“Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang.” -10-

Mu’awiyah bin Jaydah al-Qushayri bahawa Nabi SAW bersabda :

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksudnya: “Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa dengan dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.” -11-

Imam al-Shan’ani berkata: “Hadis ini merupakan dalil ke atas pengharaman berbohong untuk membuat sesuatu kaum itu ketawa, dan ini adalah pengharaman yang khas.

Diharamkan juga ke atas para pendengar untuk mendengarnya, apabila mereka mengetahui yang dia sedang berbohong. Ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai ikrar (mengakui) perkara yang mungkar.

Bahkan wajib ke atas mereka untuk mengingkari perbuatan tersebut, atau bangun dari tempat duduk. Sesungguhnya perbuatan berbohong dianggap sebahagian dari dosa besar.” -12-

Wallahualam

_________________________________

1. QS: Al-A`raf: 20
2. QS: Taha: 121
3. Tafsir al-Quran al-Adzhim
4. Safwah al-Tafasir
5. Tafsir al-Tabari (secara ringkas)
6. Israiliyat dan Hadith Palsu Dalam Kitab-Kitab Tafsir
7. 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur
8. Timothy (1) 2:14
9. Genesis 3:6
10. Syarah Sahih Muslim
11. HR Abu Daud
12. Subul al-Salam

Editor: Loha
8 Zulhijjah 1445H

Pelawat: 426
Hari ini: 5
Jumlah: 337332

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X