HUKUM BERDOA PADA NABI SAW

3 Views

Rasulullah ﷺ wafat dengan meninggalkan pelbagai doa.

Ramai tokoh mengumpulkan doa-doa Nabi ﷺ, antaranya ialah al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar, atau yang ringkas Hisnul Muslim karya Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani. Sudahkan kita amalkan?

Dan kita juga boleh berdoa walaupun bukan bersumber dari hadis Nabi ﷺ, dengan syarat tidak bertentangan dengan syarak.

Dan kita kena tahu, doa Nabi ﷺ yang tidak selari dengan syarak, Allah tidak perkenankan. Sebagai contoh diriwayatkan Nabi ﷺ bersabda:

“وَإِنِّي اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي الدُّعَاءِ لَهَا فَلَمْ يَأْذَنْ لِي، وَأَنْزَلَ عَلِيَّ: {مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى} فَأَخَذَنِي مَا يَأْخُذُ الْوَلَدُ لِلْوَالِدَةِ، وَكُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا، فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ”

Maksudnya: “Sesungguhnya aku meminta izin kepada Tuhanku untuk mendoakan ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkan aku melakukannya, dan diturunkanlah kepadaku firman Allah SWT yang mengatakan: ‘Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri…’ (At-Taubah: 113), hingga akhir ayat. Maka aku pun merasa sedih sebagaimana sedihnya seorang anak terhadap orang tuanya. Dan aku telah melarang kalian menziarahi kuburan, maka sekarang berziarahlah, kerana sesungguhnya ziarah kubur itu mengingat­kan kepada akhirat.”

Contoh kedua pada firman Allah SWT surah at-Taubah ayat 80, menceritakan kepada Nabi-Nya bahawa orang-orang munafik itu bukanlah orang-orang yang layak dimohonkan ampunan bagi mereka. Sekalipun Nabi ﷺ memohonkan ampun bagi mereka sebanyak tujuh puluh kali, Allah tetap tidak akan mengampuni mereka. (Tafsir Ibn Katsir)

Dari dua contoh ini, dapat kita simpulkan bahawa doa Nabi ﷺ pun ada ditapis oleh Allah.

Syarak menetapkan bahawa hanya Allah ada kuasa mengabulkan doa, maka doa mesti kepada Allah. Ini kerana doa adalah ibadah, dan ibadah hanya boleh kepada Allah SWT semata. Firman Allah SWT:

{وَلا يَأْمُرَكُمْ أَنْ تَتَّخِذُوا الْمَلائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا}

Maksudnya: “Dan tidak wajar pula baginya menyuruh kalian menjadikan malaikat dan para Nabi sebagai tuhan-tuhan.” (Ali Imran: 80)

Imam al-Zahabi berkata:

فأكبر الْكَبَائِر الشرك بِاللَّه تَعَالَى وَهُوَ نَوْعَانِ أَحدهمَا أَن يَجْعَل لله نداً ويعبد غَيره من حجر أَو شجر أَو شمس أَو قمر أَو نَبِي أَو شيخ أَو نجم أَو ملك أَو غير ذَلِك وَهَذَا هُوَ الشرك الْأَكْبَر

Maksudnya: “Dosa terbesar ialah syirik kepada Allah, ia terbahagi kepada dua jenis. Pertama, menyeru dan mengabdikan pada selain Allah, iaitu pada batu, pokok, matahari, bulan, Nabi, guru, bintang, malaikat atau selainnya. Semua ini termasuk syirik besar.” (Al-Kabair)

Secara lebih spesifik, Ibn al-Taimiyah berkata:

فَأَمَّا مَا لَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ إلَّا اللَّهُ تَعَالَى فَلَا يَجُوزُ أَنْ يُطْلَبَ إلَّا مِنْ اللَّهِ سُبْحَانَهُ ، لَا يُطْلَبُ ذَلِكَ لَا مِنْ الْمَلَائِكَةِ ، وَلَا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ ، وَلَا مِنْ غَيْرِهِمْ ، وَلَا يَجُوزُ أَنْ يُقَالَ لِغَيْرِ اللَّهِ: اغْفِرْ لِي ، وَاسْقِنَا الْغَيْثَ ، وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ ، أَوْ اهْدِ قُلُوبَنَا ، وَنَحْوَ ذَلِكَ … فَأَمَّا مَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ الْبَشَرُ فَلَيْسَ مِنْ هَذَا الْبَابِ

Maksudnya: “Adapun perkara-perkara yang hanya mampu dilakukan oleh Allah, maka hanya boleh memintanya kepada Allah Ta’ala semata. Bukan meminta kepada malaikat, para nabi dan selain mereka. Tidak boleh memohon kepada selain Allah misalnya dengan mengucapkan, ‘Ampunilah aku’, ‘Curahkanlah hujan kepada kami…’” (Majmu’ al-Fatawa)

Kita boleh minta pertolongan Nabi ﷺ, namun mestilah semasa baginda hidup dan perkara kita minta adalah relevan.

Ada riwayat menyatakan sahabat jumpa Nabi ﷺ mengadu tempatnya tak turun hujan, dan minta Nabi ﷺ berdoa agar turun hujan.

Namun setelah Nabi ﷺ wafat, di zaman Umar al-Khattab, para sahabat tidak berdoa kepada Nabi ﷺ atau minta Nabi doakan, sebaliknya minta orang masih hidup, untuk doakan supaya turun hujan.

Sepatutnya bukti cinta Nabi ﷺ dimanifestasikan dengan mengikut ajaran baginda, bukan citarasa sendiri, antara sabda Nabi ﷺ:

…إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ…

Maksudnya: “…Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah…” (HR. Tirmidhi)

Nabi ﷺ sendiri ajarkan supaya kita minta kepada Allah, maka wajarkah kita melanggar arahan Nabi ﷺ kerana menuruti hawa nafsu? Dalam solat kita ulang 17 kali sehari semalam ayat:

{ إِیَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِیَّاكَ نَسۡتَعِینُ }

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” [Surah Al-Fātihah: 5]

Namun, diluar solat kita pula doa kepada Nabi ﷺ yang telah wafat dengan perkara yang tidak wajar diminta kepada Nabi ﷺ?

Abu Hurairah RA berkata, “Katakanlah wahai Rasulullah, siapa yang berbahagia kerana mendapat syafaatmu di hari Kiamat nanti?” Nabi ﷺ menjawab:

يَا أَبَا هُرَيْرَةَ أَنْ لَا يَسْأَلُنِي عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَحَدٌ أَوَّلُ مِنْكَ لِمَا رَأَيْتُ مِنْ حِرْصِكَ عَلَى الْحَدِيثِ أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Wahai Abu Hurairah, aku merasa tidak ada yang bertanya kepadaku tentang hal ini selain engkau. Yang aku lihat, ini kerana semangatmu mempelajari hadis. Mereka yang berbahagia dengan syafaatku pada hari Kiamat nanti adalah yang mengucapkan laa ilaha illallah dengan ikhlas dalam hatinya.” (HR. Bukhari)

Ibn al-Qayyim menghuraikan hadis ini dengan katanya:

“Inilah sebab utama (paling besar) yang membuat seseorang boleh mendapatkan syafaat Nabi ﷺ, iaitu dengan memurnikan tauhid.

Perbuatan orang-orang musyrik yang meyakini bahwa syafaat itu diperoleh dengan menjadikan para wali dan para hamba selain Allah sebagai syafi’ (pemberi syafaat). Dalam hadis ini, Nabi ﷺ membalikkan sangkaan mereka (orang-orang musyrik) yang dusta.

Nabi ﷺ menyatakan bahawa sebab memperoleh syafaat adalah dengan memurnikan tauhid. Dengan melakukannya, barulah Allah mengizinkan pemberi syafaat (syafi’) untuk memberikan syafaat.

Sungguh ini adalah kebodohan orang-orang musyrik. Mereka berkeyakinan bahawa siapa yang menjadikan para wali sebagai pemberi syafaat, maka para wali tersebut akan memberi manfaat (dengan menolong mereka) di sisi Allah.

Sebagaimana mereka menyangka bahawa para raja boleh menolong mereka kerana adanya jaminan dari pembantu mereka. Padahal tidak ada yang dapat memberi syafaat kecuali melalui izin Allah. Tidak ada izin dari-Nya selain kepada orang yang Dia redhai perkataan dan amalnya.” (Madarijus Salikin)

Dapat dirumuskan bahawa kita boleh minta tolong pada Nabi ﷺ, sekiranya Nabi ﷺ masih hidup dan ada dengan kita, termasuk minta Nabi ﷺ doakan sesuatu, yang mampu dilakukan oleh baginda Nabi ﷺ.

Pun begitu, baginda tidak dapat ampun dosa, tidak ada kuasa kabulkan doa, tidak ada kuasa masukkan orang ke dalam Syurga, tiada kuasa ghaib memberikan perlindungan kepada orang. Ini kerana semua ini adalah hak mutlak Allah.

Rasulullah ﷺ telah wafat dengan meninggalkan agama yang sempurna. Usahlah kita cacatkan ajaran Islam atas nama Nabi ﷺ, atas cinta yang buta.

Editor: Loha
22 Rabi’ulawal 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *