HUKUM BERKAITAN KUCING
- 24/04/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Fiqh, Hadis, Kehidupan Rasulullah, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama
Untuk memiliki kucing, ia boleh didapati di jalanan. Ada sebahagiannya perlu di beli. Namun kita perlu sedar, ada hadis larangan jual beli kucing, Jabir RA, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- نَهَى عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang dari hasil penjualan anjing dan kucing.” -1-
Ada sebahagian ulama seperti Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid -2-, Ibn al-Qayyim -3- melarang jual beli kucing. Namun, jumhur (majoriti) membenarkan, sebagaimana dinyatakan oleh al-Nawawi, katanya:
وَأَمَّا النَّهْيُ عَنْ ثَمَنِ السِّنَّوْرِ فَهُوَ محمول على أنه لا ينفع أو عَلَى أَنَّهُ نَهْيُ تَنْزِيهٍ حَتَّى يَعْتَادَ النَّاسُ هِبَتَهُ وَإِعَارَتَهُ وَالسَّمَاحَةَ بِهِ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَإِنْ كَانَ مِمَّا يَنْفَعُ وَبَاعَهُ صَحَّ الْبَيْعُ وَكَانَ ثَمَنُهُ حَلَالًا هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ العلماء كافة.
Maksudnya: “Adapun larangan (memakan) harga (jualan) kucing, maka itu atas andaian ia tidak bermanfaat, atau larangan tanzih (makruh tidak haram) agar orang ramai terbiasa dengan memberi dan meminjamkan kucing, serta bertolak ansur dengan hal itu seperti yang menjadi kebiasaan. Sekiranya ia termasuk dalam yang memberikan manfaat lalu menjualnya, maka sah jual beli dan harga jualannya halal. Inilah mazhab kita dan mazhab ulama keseluruhannya.” -4-
Keunikan kucing adalah dimaafkan air liur dan bulunya sekiranya terkena pada kita. Ini berdasarkan riwayat Kabsyah binti Ka’ab bin Malik isteri kepada Ibnu Abu Qatadah.
Bahawa Abu Qatadah masuk menemuinya, (Kabsyah) berkata, “Aku menuangkan air untuknya, tiba-tiba seekor kucing masuk dan minun air tersebut, Abu Qatadah kemudian mengiringkan bekas tersebut agar kucing dapat minum.”
Kabsyah berkata, “Abu Qatadah tahu bahawa aku sedang memerhati tindakannya itu, maka dia pun berkata, “Apakah engkau hairan wahai putri saudaraku?” Aku menjawab, “Ya.” Dia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ أَوْ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Kucing tidak najis. Ia merupakan haiwan yang berkeliaran di sekeliling manusia.” -5-
Imam Abu Daud meriwayatkan bahawa ketika Aisyah isteri Nabi SAW sedang solat, seekor kucing telah makan makanan yang disediakan untuk Aisyah. Selesai solat Aisyah terus makan sisa makanan itu dan menyebutkan hadis di atas.
Imam al-Tirmidzi berkata: “Ini adalah pendapat kebanyakan ulama dari kalangan sahabat Nabi SAW, tabi’in dan orang-orang setelah mereka seperti Syafie, Ahmad dan Ishaq. Mereka berpendapat bahwa sisa minum kucing tidak najis.” -6-
Imam al-Shan’ani ketika menghuraikan hadis ini beliau berkata:
وَفِي التَّعْلِيلِ إشَارَةٌ إلَى أَنَّهُ تَعَالَى لَمَّا جَعَلَهَا بِمَنْزِلَةِ الْخَادِمِ فِي كَثْرَةِ اتِّصَالِهَا بِأَهْلِ الْمَنْزِلِ وَمُلَابَسَتِهَا لَهُمْ وَلِمَا فِي مَنْزِلِهِمْ خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى عِبَادِهِ بِجَعْلِهَا غَيْرَ نَجَسٍ رَفْعًا لِلْحَرَجِ. وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ الْهِرَّةِ وَسُؤْرِهَا.
Maksudnya: “Sebab yang diberikan memberi petunjuk bahawa ketika mana Allah menjadikan kucing seperti khadam yang banyak berinteraksi dengan penghuni rumah, bersentuhan dengan anggota badan mereka serta barang perkakas mereka, maka Allah meringankan buat para hambaNya dengan menjadikan kucing bukan najis bagi mengelakkan kesukaran. Dan dalam hadis menunjukkan bahawa kucing dengan air liurnya adalah suci.” -7-
Adapun bulu kucing, walaupun ia terpisah dari tubuh kucing, juga hukumnya tidak najis. Ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri, katanya:
وخرج بالمأكول غيره كالحمار والهرة فشعره نجس لكن يعفى عن قليله بل وعن كثيره فى حق من ابتلى به كالقصاصين
Maksudnya: “Dan (rambut atau bulu haiwan) yang tidak halal dimakan, seperti keldai dan kucing. Maka bulu dari haiwan tersebut dihukum najis. Namun najis ini dihukumi ma’fu (dimaafkan) jika dalam jumlah sedikit, bahkan dimaafkan juga dalam jumlah banyak bagi orang yang sukar mengelakkan diri daripada bulu tersebut, seperti bagi para tukang pemotong bulu.” -8-
Menyebut hal yang sama (bulu kucing bukan najis) ialah salah seorang tokoh mazhab al-Syafie, iaitu al-Khatib al-Syirbini, katanya:
وَعَنْ يَسِيرِهِ عُرْفًا مِنْ شَعْرٍ نَجِسٍ مِنْ غَيْرِ نَحْوِ كَلْبٍ
Maksudnya: “Dimaafkan bilangan yang sedikit secara adat (menurut ‘uruf) pada bulu-bulu yang najis haiwan selain daripada anjing.” -9-
Walaupun bulunya tidak najis, tetapi najis atau air kencing kucing tetap dihukum sebagai najis, Syeikh al-Utsaimin berkata:
“Yang tidak najis adalah air liur, sesuatu yang keluar dari hidungnya, keringat, jilatan atau bekas makan dan minumnya. Adapun untuk kencing dan kotoran kucing tetaplah najis. Begitu juga darah kucing juga najis. Kerana setiap haiwan yang haram dimakan, maka kencing dan kotorannya dikategorikan najis. Kaedahnya, segala sesuatu yang keluar dari dalam tubuh haiwan yang haram dimakan, maka ia dihukum haram. Contohnya adalah kencing, najis, dan muntahnya.” -10-
Dapat kita simpulkan bahawa hukum jual beli kucing adalah sah dan tidak berdosa. Dan air liur serta bulunya adalah tidak najis. Sah solat walaupun terkena pada pakaian kita. Namun najis yang umum seperti tahi, air kencing dan muntah adalah dihukum najis.
Semoga kita tidak menjadi golongan yang membuatkan agama kelihatan rigid tak bertempat. Kerana masalah fiqh amat luas dan mudah, berbeza dengan akidah yang tegas dan jelas.
Wallahualam
_______________________________
1. HR Abu Daud & al-Tirmidhi
2. Imam al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim
3. Zaad al-Ma’ad
4. Imam al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim
5. HR al-Tirmidzi
6. Ibid
7. Subul al-Salam
8. Hasyiyah al-Baijuri ala Ibni Qasim al-Ghazi,
9. Mughni al-Muhtaj
10. Fath al-Dzul Jalal wa al-Ikram, Syarah Sahih al-Bukhari
Editor: Loha
15 Syawal 1445H