HUKUM BUNUH DAN MAKAN SEMUT

42 Views

1. Pendahuluan
2. Kisah Semut Dari Kitab
3. Hukum Bunuh Semut
4. Hukum Makan Semut
5. Makan Semut Punca Lupa
6. Kesimpulan

1. PENDAHULUAN

Ada gula ada semut, yakni tempat mudah mendapat rezeki. Namun diharapkan ilmu ini ibarat gula dan kita adalah semutnya, yang menghurung ilmu tanpa tahu erti kenyang.

Semut didefinasikan sebagai “sejenis serangga yang merayap” -1- Penulisan ini membahas hukum-hakam berkaitan semut secara ringkas.

2. KISAH SEMUT DALAM KITAB.

Terdapat satu surah dalam al-Quran namanya (النَّمْلِ) Naml, yang bermaksud Surah Semut, dalamnya terdapat kisah mengenai semut, sebagaimana firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ﴿١٨﴾ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”. Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. -2-

Apabila Allah menyebutnya dalam al-Quran, bermakna ada iktibar penting untuk manusia dari kisahnya.

Untuk lebih lanjut, kitab-kitab tafsir ada menghuraikan dari pelbagai sudut yang boleh kita rujuk.

Perlu diingatkan bahawa amalan membaca surah al-Naml untuk menghalau semut di rumah atau semisalnya adalah dilarang. Ini sebagaimana dikatakan oleh Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid:

ولم ينزله لمحاربة حشرات البيوت والتخلص منها .
ولا نعلم في السنة ، ولا في كلام أحدٍ من السلف ، أو فعله : استحباب قراءة سورة النمل أو بعضها للتخلص من النمل ، فهذا فعلٌ مُحدَث ، وفيه توظيف للقرآن لغير ما أُنزل لأجله ، فلا يشرع .

Maksudnya: “Al-Quran tidaklah diturunkan untuk mencegah serangga di rumah.

Kita tidak ketahui ada dalam sunnah amalan sebegitu, tidak juga wujud perkataan mana-mana salaf atau perbuatan mereka sebegitu, yakni membaca surah al-Naml atau ayat dari surah tersebut untuk menghalau serangga.

Perbuatan tersebut (baca surah al-Naml atau seumpamanya untuk halau serangga) adalah bidaah dan itu adalah perbuatan memperlakukan al-Quran untuk bukan maksud ia diturunkan.” -3 –

3. HUKUM MEMBUNUH SEMUT

Terdapat larangan jelas membunuh semut, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn al-Abbas RA, dia berkata:

نَهَى عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ النَّمْلَةُ وَالنَّحْلَةُ وَالْهُدْهُدُ وَالصُّرَدُ.

Maksudnya; “Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk membunuh empat binatang: semut, lebah, burung Hud-hud dan burung Shurad (Shrike).” -4-

Manusia pun haram untuk dibunuh tanpa sebab, namun boleh dibunuh atas sebab hudud, peperangan dan sebagainya. Maka serangga jika bunuh bersebab, tentulah boleh.

Imam al-Munawi mengulas larangan membunuh semut di atas dengan katanya:

والنهي في الأربعة للتحريم لكن مقيد في النمل بالكبار كما تقرر أما الصغير فلا يحرم قتله كما عليه البغوي وغيره من الشافعية. انتهى

Maksudnya: “Dilarang membunuh empat jenis tersebut. Namun diperincikan pada semut, semut yang besar adalah dilarang, adapun jenis semut yang kecil, maka tidak haram untuk membunuhnya.” -5-

Semut yang dimaksudkan harus dibunuh mungkin adalah semut yang jenis gigitannya menyakitkan manusia dan biasa bersifat ganas.

Cara membunuhnya pula mengikut kaedah paling mudah dan paling ihsan serta sesuai mengikut peredaran zaman dan kemajuan teknologi.

Adapun hukum membunuh dengan membakar dengan api terdapat riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

نزَل نبيٌّ منَ الأنبياءِ تحتَ شجرةٍ ، فلدَغَتْه نملةٌ ، فأمَر بجهازِه فأُخرِج من تحتِها ، ثم أمَر ببيتِها فأُحرِق بالنارِ ، فأَوحى اللهُ إليه فهلَّا نملةً واحدةً

Maksudnya : “Terdapat seorang nabi daripada nabi-nabi telah singgah di bawah sebuah pohon, kemudian baginda telah digigit oleh seekor semut,. Maka baginda memerintahkan agar mengeluarkan semut tersebut dari bawah pohon itu lalu memerintahkan agar membakar sarang semut tersebut. Kemudian Allah SWT mewahyukan kepada Nabi tersebut : “Apakah hanya kerana seekor semut (yang menggigitmu lalu kamu membakar kesemuanya)”. -6-

Berdasarkan hadis tersebut, Imam al-Nawawi berkata:

قال العلماء هذا الحديث محمول على أن شرع ذلك النبي كان فيه جواز قتل النمل, وجواز الإحراق بالنار, ولم يعتب عليه في أصل القتل والإحراق بل في الزيادة على النملة الواحدة، وأما في شرعنا فلا يجوز الإحراق بالنار للحيوان إلا إذا أحرق إنسانا فمات بالإحراق فلوليه الاقتصاص بإحراق الجاني, وسواء في منع الإحراق بالنار القمل وغيره للحديث المشهور { لا يعذب بالنار إلا الله}.

Maksudnya: “Berdasarkan hadis ini ulama menyimpulkan bahawa dibolehkan membunuh semut bagi syariat nabi tersebut. Begitu juga, dibolehkan membunuh semut dengan menggunakan api.

Ini kerana, asal dalam membunuh dan membakar adalah tidak berlaku kekerasan (penyeksaan) padanya, bahkan ia (di dalam hadith ini) membakar lebih dari seekor semut (sarang).

Adapun di dalam syariat kita tidak dibolehkan membakar haiwan dengan menggunakan api melainkan dalam masalah Qisas yang mencukupi syaratnya.

Begitu juga, tidak dibolehkan disisi kami membunuh semut berdasarkan sebuah hadis mashyur, iaitu yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA katanya:

Baginda SAW melihat sebuah sarang semut yang telah kami bakar dan baginda SAW bersabda: Siapakah yang membakar sarang ini? Kami menjawab: Kami (yang membakarnya). Baginda SAW bersabda lagi:

إنَّهُ لا ينبَغي أن يعذِّبَ بالنَّارِ إلَّا ربُّ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak layak untuk menyeksa dengan api melainkan Allah SWT kerana Dia adalah penguasa api”. -7-

Hukum membakar semut adalah makruh, ini sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Khattabi:

وفيه دلالة على أن تحريق بيوت الزنابير مكروه. وأما النمل فالعذر فيه أقل وذلك أن ضرره قد يمكن أن يزال من غير إحراق

Maksudnya: “Membakar sarang serangga adalah makruh. Adapun semut terdapat keuzuran baginya amat sedikit. Ini kerana, kemudaratannya boleh dihilangkan tanpa menggunakan api.” -8-

Namun begitu, hukum membunuh semut atau serangga dengan cara menggunakan api (membakar) terdapat perbezaan pendapat dikalangan sarjana. Sebahagian membenarkan metod ini sekiranya ia cara paling efektif dan sesuai.

Dalam isu serangga, dapat disimpulkan dengan suatu kaedah, iaitu:

كل مؤذي من الحيوانات والحشرات أنه يُقتل أو يُتخلص منه

Maksudnya: “Setiap binatang yang mengganggu itu boleh dibunuh dan disingkirkan.”

4. HUKUM MAKAN SEMUT

Ibn al-Rusyd berkata: “Bangkai binatang yang tidak memiliki darah seperti serangga, adalah tidak najis, demikian pula kotorannya. Ini adalah pendapat Hanafiyah, Malikiyah, Hanbali, dan salah satu pendapat al-Syafie. “-9-

Pendapat kedua dalam mazhab al-Syafie, memandang najis bagi asal sesuatu bangkai, walaupun tiada darah mengalir seperti serangga.

Serangga melata dilarang untuk dimakan, menurut Dr. Wahbah Zuhaili, katanya:

ويحرم أكل حشرات الأرض صغار دوابها كالعقرب والثعبان والفأرة والنمل والنحل لسُّميتها واستخباث الطباع السليمة لها

Maksudnya: “Haram makan serangga di tanah, iaitu binatang-binatang kecil, seperti kalajengking, ular, tikus, semut, dan lebah, kerana bahaya bisanya dan tabiat manusia yang jijik dengannya.” -10-

Dan semut bukan sahaja termasuk sebagai binatang melata di bumi, bahkan serangga yang haram untuk dibunuh. Imam al-Nawawi berkata:

قال الشافعي والاصحاب: مَا نُهِيَ عَنْ قَتْلِهِ حَرُمَ أَكْلُهُ؛ لِأَنَّهُ لَوْ حَلَّ أَكْلُهُ، لَمْ يُنْهَ عَنْ قَتْلِهِ – فَمِنْ ذَلِكَ النَّمْلُ وَالنَّحْلُ فَهُمَا حَرَامٌ

Maksudnya: “Imam al-Syafie dan para pengikut mazhabnya berkata, ‘haiwan yang dilarang dibunuh haram untuk dimakan, sebab seandainya haiwan tersebut halal dimakan tentu tidak haram membunuhnya. Di antaranya ialah semut dan lebah, keduanya haram untuk dimakan.”-11-

Terdapat pengecualian makan semut iaitu, sekiranya semut ada dalam gula atau termasuk dalam minuman, hukum makan makanan tersebut sekaligus dengan semut itu adalah harus. Ini antara pendapat Imam al-Syafie, kata beliau:

فَأَمَّا مَا كَانَ مِمَّا لَا نَفْسَ لَهُ سَائِلَةٌ، مِثْلُ الذُّبَابِ، وَالْخَنَافِسِ وَمَا أَشْبَهَهُمَا فَفِيهِ قَوْلَانِ أَحَدُهُمَا أَنَّ مَا مَاتَ مِنْ هَذَا فِي مَاءٍ قَلِيلٍ أَوْ كَثِيرٍ لَمْ يُنَجِّسْهُ

Maksudnya: “Adapun haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir, seperti lalat, kumbang dan yang seumpamanya ada dua pendapat, salah satu pendapat ialah sekiranya haiwan tersebut mati dalam air yang sedikit mahupun air yang banyak, ia tidak menjadikan air itu najis.” -12-

Pendapat ini adalah hasil qias dari hadis berikut, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً وَفِي الْآخَرِ دَاءً

Maksudnya: “Jika seekor lalat terjatuh dalam bekas milik kalian, maka celuplah lalat tersebut ke dalam minuman tersebut, kemudian buangnya, kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap lainnya terdapat penawar.” -13-

Ibn Hajar al-Asqalani mensyarahkan hadis ini dengan katanya:

وَاسْتَدَلَّ بِهَذَا الْحَدِيْثِ عَلَى أَنَّ الْمَاءَ القَلِيْلَ لَا يَنْجُسُ بِوُقُوْعِ مَا لَا نَفْسَ لَهُ سَائِلَةٌ فِيْهِ

Maksudnya: “Berdalilkan hadis ini bahawa air yang sedikit tidak menjadi najis sekiranya terjatuh dalamnya bangkai haiwan yang tidak mengalir darahnya.” -14-

Lalat, kumbang dan serangga disamakan dengan semut, bahkan secara lebih spesifik dan jelas tentang semut yang termasuk dalam bekas makanan telah disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini, katanya:

ولو وقع في العسل نمل وطبخ جاز أكله، بخلاف اللحم لأنه لا مشقة في تنقيته عنه، ولو وقعت نملة واحدة أو ذبابة في قدر طبيخ وتهرت أجزاؤها فيه لم يحرم أكل ذلك الطبيخ لأنه لا يستقذر، ومثل الواحدة الشئ القليل من ذلك فيما يظهر.

Maksudnya: “Jika terjatuh ke dalam madu seekor semut lalu dimasak maka harus hukum memakannya, berbeza dengan hukum daging (bila terdapat ulama maka hendaklah diasingkan) kerana tidak sukar untuk membersihkan daging itu daripadanya. Jika termasuk seekor semut atau lalat ke dalam periuk yang sedang dimasak, kemudian berkecai tubuhnya dalam periuk, maka tidak diharamkan makan masakan itu, kerana ia tidak dianggap sebagai jijik. Begitu jugalah jika kuantiti lebih daripada satu, selagi mana zahirnya merujuk kepada bilangan yang sedikit.” -15-

5. MAKAN SEMUT PUNCA LUPA

“Satu mitos yang cukup popular mengenai penyakit lupa berpunca daripada individu itu makan semut.” -16-

Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata: “Tentang persoalan makan semut akan menjadi pelupa dan selainnya, tiada dalil yang jelas berkenaan perkara itu.” -17-

Bukan sekadar tiada dalil menyokong mitos itu, bahkan “tiada bukti saintifik yang mengaitkan punca lupa akibat termakan semut.” -18-

6 KESIMPULAN

Dapat disimpulkan bahawa semut termasuk serangga yang tidak harus dimakan sebagai hidangan.

Namun sekiranya ia termasuk dalam makanan, bukan dimasukkan sebagai lauk atau perisa tambahan, maka hukum makan makanan tersebut adalah harus.

Tiada dalil mahupun bukti saintifik menyokong mitos makan semut punca lupa. Tidak menjadi kesalahan untuk membunuh semut yang memudaratkan/akan memudaratkan kita, menggunakan apa-apa teknologi yang sesuai mengikut zaman dan kesesuaian.

Wallahualam.

______________________________

1. Kamus Dewan
2. QS al-Naml: 18-19
3. https://islamqa.info/amp/ar/answers/220204
4. HR Abu Daud
5. Faidh al-Qadir
6. HR al-Bukhari
7. Majmu’ Syarh al-Muhadzab
8. Mu’alim al-Sunan Syarh Sunan Abu Daud
9. Bidayah al-Mujtahid
10. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuha
11. Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzahab
12. Al-Umm
13 HR al-Bukhari
14. Fath al-Bari
15. Mughni al-Muhtaj
16. https://www.hmetro.com.my/WM/2021/06/718010/nyanyuk-sebelum-tua
17. https://www.sinarharian.com.my/article/43079/sinar-islam/terminum-air-yang-mengandungi-semut
18. https://hellodoktor.com/kesihatan/simptom/punca-penyakit-lupa/

Editor: Loha
26 Rabiuawwal 1446H

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *