HUKUM MEMINTA BANTUAN JIN

HUKUM MEMINTA BANTUAN JIN

Jin merupakan makhluk Allah yang kita tidak kenali hakikatnya. Apa yang kita ketahui akannya daripada cerita pihak tertentu barangkali juga bukan hakikat sebenarnya. Kita tidak mampu melihat atau mendengar mereka, tidak seperti manusia yang kita dapat lihat, selidik dan sebagainya.

Adakah dia benar-benar jin Mukmin yang soleh?

Adakah dia jujur dan benar dalam setiap kata, pengakuan dan tindakannya?

Adakah keimanan dan ilmu agama kita sudah kukuh untuk menghadapi tipu daya atau pendustaannya?

Manusia sememangnya mudah tertarik kepada perkara mistik. Kerana itu suatu ketika dahulu, satu jenama majalah berunsurkan mistik pernah menjadi majalah terlaris negara, malah filem hantu berunsurkan tahyul dan khurafat biasanya mendapat antara kutipan tertinggi di negara kita.

Tabiat insan yang suka mencari sesuatu yang tidak pernah dilihatnya atau benda yang hilang, hal ehwal pihak lain, cerita aneh lepas atau akan datang, bahkan kepada perkara-perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya, mudah dijadikan umpan syaitan untuk menyesatkan manusia.

Lebih tertariknya seseorang itu untuk mengetahui perincian hal-hal ghaib ini, lebih besar fitnah yang akan menimpanya apatah lagi mereka yang berusaha untuk bersepakat atau berdiplomasi dengan makhluk ini.

Justeru kita mendapati ramai manusia yang terlibat dalam perkara ini terjebak dengan perkara yang ditegah agama, bahkan ke tahap syirik! Begitulah halusnya tipu daya makhluk halus ini.

Tidak dinafikan jin mempunyai kudrat yang tidak dimiliki manusia. Oleh yang demikian, dalam beberapa keadaan mereka mampu melakukan apa yang tidak kita mampu berdasarkan kudrat yang Allah kurniakan buat mereka, sama seperti kita mampu mencari sesuatu berdasarkan kemampuan yang kita miliki daripada teknologi dan seumpamanya.

Begitu juga mereka, namun perkara ini banyak disalah anggap oleh manusia sehingga menyangka makhluk ini mengetahui serba-serbi hal ehwal ghaib.

Justeru, manusia ditegah daripada terlibat dalam hal ini atau memohon bantuan mereka demi menutup pintu-pintu kejahatan ini.

Bahkan Nabi ﷺ yang pernah disihir, kehilangan rantai Asma’ r.a. dan ditimpa pelbagai kesukaran bersama para sahabat baginda r.a. pun tidak pernah memohon bantuan makhluk ini. Cukuplah mereka sebagai teladan.

Dalam al-Quran Allah berfirman:

وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌۭ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍۢ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًۭا

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” (al-Jin: 6)

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَمِيعًا يَـٰمَعشَرَ ٱلجِنِّ قَدِ ٱستَكثَرتُم مِّنَ ٱلإِنسِ‌ۖ وَقَالَ أَولِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلإِنسِ رَبَّنَا ٱستَمتَعَ بَعضُنَا بِبَعضٍ وَبَلَغنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلتَ لَنَا‌ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ‌ۗ

“Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut daripada manusia. Dan berkatalah pula pengikut mereka daripada golongan manusia: Wahai Tuhan kami, sebahagian daripada kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan) dan kami telah sampailah kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami. (Allah berfirman): Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah.” (al-An’am: 128)

Manakala ada pihak yang berdalilkan interaksi Nabi Sulayman a.s. dengan jin, maka kita katakan: Interaksi baginda a.s. dengan mereka tidak melampaui syariat yang diturunkan kepada baginda, apatah lagi ia merupakan khususiyyah (kurniaan khas) kepada baginda berdasarkan doa baginda yang difirmankan Allah:

قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِي وَهَبۡ لِي مُلۡكٗا لَّا يَنۢبَغِي لِأَحَدٖ مِّنۢ بَعۡدِيٓۖ

“Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapa pun kemudian daripadaku.” (Sad: 35)

Apa yang dituntut buat kita umat Muhammad ﷺ ialah mengikuti syariat Muhammad ﷺ , bukan para Nabi a.s. terdahulu.

Jika begitu istidlalnya (cara memahami nas) tanpa dhawabit (panduan), mengapa tidak diambil juga syariat umat Nabi Musa a.s. yang perlu dibunuh untuk bertaubat sebagaimana dalam surah al-Baqarah? Atau syariat Nabi Adam a.s. yang dibolehkan berkahwin sesama adik-beradik?

Bezakan antara perilaku memohon pertolongan isti’anah) yang diharuskan dan yang ditegah. Perkara-perkara yang khas buat Allah seperti menyembuhkan penyakit tidak boleh dipesongkan doa terhadap manusia.

itu yang kita baca hari-hari dalam solat:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

“Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.” (al-Fatihah: 5)

Itu jualah yang diperintahkan Nabi ﷺ:

إِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ

“Jika kamu memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan dengan Allah.” (Riwayat Ahmad)

Tugas manusia hanya berusaha merawat dan Allah jua yang menyembuhkan.

Andai perkara-perkara khas ketuhanan tersebut dipohon daripada selain-Nya, itu yang termasuk dalam bab syirik.

Manakala apa yang di ruang lingkup kudrat manusia, ia harus sebagaimana firman Allah:

وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ فَعَلَيۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ 

“Jika mereka meminta bantuan kalian dalam urusan agama, maka bantulah mereka.” (al-Anfal: 72)

Nabi ﷺ memohon bantuan para sahabat r.a. dalam banyak perkara, namun tidak pernah memohon bantuan daripada mereka dalam perkara yang melibatkan khususiyyah (hak milik yang khas bagi) Allah Yang Maha Kuasa.

Kejayaan sesuatu perkara dengan bantuan jin bukan bererti ia dibenarkan syarak.

Adakah Dajjal kelak yang diizinkan Allah menurunkan hujan, menumbuhkan tumbuhan, menghidupkan orang yang telah dibunuh juga dianggap benar hanya kerana ‘kejayaannya’?

Penulis: Dr. Kamilin Jamilin (Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis)
Buku: Sila Baca Jangan Tidur (m/s 204 – 208)
25 Rabi’ulawal 1445H

Pelawat: 660
Hari ini: 1
Jumlah: 213437

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X