HUKUM ORANG JUNUB BACA AL-QURAN

HUKUM ORANG JUNUB BACA AL-QURAN

Apabila disebut junub, maka termasuk dalam kategori junub ialah wanita haid, nifas, orang yang berhadas besar dan semisalnya.

Walaupun masyhur dikatakan wanita haid atau orang berjunub diharamkan menyentuh al-Quran, seperti diungkap oleh imam al-Tirmidhi katanya:

وَهُوَ قَوْلُ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِثْلِ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَالشَّافِعِيِّ وَأَحْمَدَ وَإِسْحَقَ قَالُوا لَا تَقْرَأْ الْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ مِنْ الْقُرْآنِ شَيْئًا إِلَّا طَرَفَ الْآيَةِ وَالْحَرْفَ وَنَحْوَ ذَلِكَ وَرَخَّصُوا لِلْجُنُبِ وَالْحَائِضِ فِي التَّسْبِيحِ وَالتَّهْلِيلِ

Maksudnya: “Ini adalah pendapat kebanyakan ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi ﷺ, tabi’in dan orang-orang setelah mereka seperti Sufyan al-Tsauri, Ibn al-Mubarak, Syafie, Ahmad dan Ishaq. Mereka mengatakan; Wanita haid dan orang junub tidak boleh membaca sesuatu dari Al-Quran, kecuali hujung ayat, atau satu huruf, serta yang semisalnya. Namun mereka memberi keringan bagi orang junub dan wanita haid untuk membaca tasbih (Subhanallah) dan tahlil (Laa Ilaaha Illalaah).” (Sunan al-Tirmidhi)

Pun begitu, sebenarnya terdapat khilaf dalam perihal orang junub membaca al-Quran, ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Rusyd dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid.

Khilaf ini terjadi kerana tiada sebarang hadis marfu’ yang sahih mengharamkan secara jelas orang haid/junub membaca al-Quran. Yang ada semuanya dhaif dan jika sahih sekalipun, ia mempunyai takwilan tersendiri.

Di sini kita senaraikan beberapa hadis dhaif berkaitan larangan orang junub membaca al-Quran beserta penjelasan.

Pertama, hadis dari Ibnu Umar RA, katanya:

لاَ تَقْرَإِ الحْاَئِضُ وَلاَ الْجُنُبُ

Maksudnya: “Tidak boleh membaca sesuatu apa pun daripada al-Quran seorang yang dalam keadaan junub atau haid.”

Imam al-Nawawi memberi komentar bekenaan hadis ini dengan katanya:

“Hadis Ibn Umar ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Hadis ini adalah dhaif, yang mendhaifkannya ialah al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedhaifan yang terdapat padanya adalah jelas.” (Majmu Syarh al-Muhazzab)

Hadis ini walaupun terdapat beberapa sanad, namum dhaif kesemuanya, sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Talkhis al-Habir.

Kedua, hadis dari Jabir bin Abdillah, katanya:

لاَ يَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ النَّفَسَاءُ (وَفِـى رِوَايَةٍ: اَلْجُنُبُ) مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا

Maksudnya: “Tidak boleh bagi perempuan yang haid dan nifas (dalam riwayat yang lain: Orang yang junub) membaca (ayat) Al-Quran sedikitpun.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilya al-Auliya, namun ianya palsu sebagaimana diterangkan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Takhis al-Habir.

Ketiga, hadis dari Ali RA yang berkata:

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا اَلْقُرْآنَ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا.

Maksudnya: “Rasulullah SAW selalu membaca al-Quran pada kami selama beliau tidak junub.”

Ibn al-Khuzaimah menjelaskan maksud hadis ini, dengan katanya:

“Tidak boleh berhujjah dengan hadis ini sebagai dalil melarang orang junub baca al-Quran. Kerana tidak terdapat padanya larangan, ia merupakan perbuatan Nabi SAW, sedangkan tidak dinyatakan keharamannya oleh Nabi SAW.” (Subulus Salam).

Keempat, diriwayatkan oleh Imam Malik:

أَنْ لَا يَمَسَّ اَلْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرٌ

Maksudnya: “Tidak boleh menyentuh Al-Quran kecuali orang yang suci.” (HR al-Muwatho)

Hadis ini selain mursal, ia juga masih umum lafaznya (طَاهِرٌ) tidak boleh dipastikan apakah maksud sebagaimana dikatakan oleh al-Shan’ani, katanya:

“Masih umum lafaznya, kerana maksud suci itu, apakah bermakna suci dari hadas besar atau suci dari hadas kecil atau suci akidah yakni seorang Muslim ataukah badannya tidak ada najis?” (Subulus Salam)

Sayyid Sabiq menambah: “Pasti hadis ini tidak melarang orang-orang yang berhadas kecil menyentuh mushaf al-Quran.” (Fiqh Sunnah)

Hadis sahih terdedah kepada takwilan, dan hadis jelas pula berstatus dhaif. Hadis dhaif tidak boleh dijadikan sandaran hukum, sebagaimana disebut oleh al-Nawawi:

“Adapun dalam bab hukum-hakam seperti halal dan haram, jual-beli, penceraian dan apa-apa lain yang seumpama, tidak boleh beramal dengan hadis dhaif kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan.” (Al-Azkar)

Selain hadis yang samar-samar, punca khilaf hukum orang junub menyentuh al-Quran ini bertitik-tolak dari dhomir (kata ganti nama) pada ayat berikut:

(إِنَّهُۥ لَقُرۡءَانࣱ كَرِیمࣱ * فِی كِتَـٰبࣲ مَّكۡنُونࣲ * لَّا یَمَسُّهُۥۤ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ)

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” [Surat Al-Waqi’ah 77-79]

Perkataan (یَمَسُّهُۥۤ), menyentuhnya, ‘nya (ه)’, dalam ayat ini dikatakan manusia, sedangkan yang tepat ialah ia merujuk pada malaikat. Ini sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Katsir:

“Maksud (لَّا یَمَسُّهُۥۤ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ), maksud suci di sini bukanlah manusia yang perlu suci dari hadas, sebaliknya yang dimaksudkan suci ialah makhluk yang suci iaitu malaikat.

Ketika mana al-Quran sebelum diturunkan ke bumi, ia dipegang oleh malaikat yang suci. Ertinya bukanlah dimaksudkan larangan penyentuhan, sebaliknya ayat itu menceritakan peristiwa penurunan al-Quran, yang dipelihara kesuciannya dengan menjadikan malaikat yang suci membawanya.” (Intisari dari Tafsir al-Quran al-Adzhim)

Jelas menurut mufassir dhomir (kata ganti nama) itu kembali pada malaikat bukan manusia. Jadi tidak menjadi masalah manusia itu suci atau tidak untuk sentuh al-Quran.

Kefahaman ini selari dengan apa difahami oleh sahabat Nabi SAW yang tafsir, iaitu Ibn al-‘Abbas, imam al-Bukhari berkata:

وَلَمْ يَرَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالْقِرَاءَةِ لِلْجُنُبِ بَأْسًا

Maksudnya: “Ibn al-‘Abbas memandang tidak adanya kesalahan bagi orang yang berjunub membaca al-Quran.” (Sahih al-Bukhari)

Selain Ibn Abbas, terdapat ramai lagi menyatakan harus orang junub sentuh al-Quran, seperti; Said bin Jubair dan Sayyib bin Musayyab. (Intisari: Ibn Hazm, Al-Muhalla).

Menarik melihat mazhab al-Bukhari yakni pendapat imam al-Bukhari melalui tarjamah beliau dalam bab ini. Imam al-Bukhari membuat sebuah bab dalam kitabnya:

(باب قراءة القرآن بعد الحدث وغيره)

Maksudnya: “Bab Membaca al-Quran setelah hadas dan selainnya.” Bab ini memberi isyarat orang berhadas boleh membaca al-Quran.

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Imam al-Bukhari menyatakan bahawa haid dan segala yang semakna dengannya berupa junub, tidak menghalangi seluruh ibadah. Bahkan ibadah-ibadah fizikal seperti berzikir dan sebagainya dianggap sah meskipun seseorang itu dalam keadaan haid atau junub.” (Fath al-Bari)

Dalam kitab sahihnya, al-Bukhari ada judul ( تَقْضِي الْحَائِضُ الْمَنَاسِكَ كُلَّهَا إِلاَّ الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ) “Wanita haid boleh melakukan semua manasik haji kecuali tawaf.”

Kemudian al-Bukhari menukilkan kisah Aisyah (secara mu’allaq) ketika Nabi SAW menemui Aisyah yang sedang menangis kerana haid ketika melakukan haji, seraya Nabi SAW bersabda:

وَاصْنَعِي مَا يَصْنَعُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ وَلَا تُصَلِّي

Maksudnya: “Berhajilah dengan mengerjakan apa yang dilakukan orang yang berhaji, hanya saja janganlah engkau melakukan tawaf di Kaabah dan jangan melakukan solat.” (HR Abu Daud)

Syeikh al-Albani berkata: “Hadis riwayat Abu Daud ini menjadi dalil bolehnya wanita yang haid membaca al-Quran, kerana membaca al-Quran termasuk amalan yang paling utama dalam ibadah haji, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah membolehkan bagi Aisyah semua amalan kecuali tawaf dan solat.

Dan seandainya haram baginya membaca al-Quran, tentunya Nabi SAW akan terangkan sebagaimana baginda menerangkan hukum solat (ketika haid), bahkan hukum membaca al-Quran (ketika haid) lebih berhak untuk diterangkan kerana tidak adanya nas dan ijma’ yang mengharamkan, berbeza dengan hukum solat (ketika haid).

Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang Aisyah dari solat (ketika haid) dan tidak berbicara tentang hukum membaca al-Quran (ketika haid), ini menunjukkan bahawa membaca al-Quran ketika haid dibolehkan, kerana mengakhirkan keterangan ketika diperlukan tidak diperbolehkan, sebagaimana hal ini ditetapkan dalam ilmu usul fiqh, dan ini jelas tidak samar lagi, walhamdu lillah.” (Hajjatun Nabi)

Selain imam al-Bukhari, ramai sarjana lain juga berpendapat bahawa wanita haid atau orang berjunub harus membaca al-Quran. Antara mereka ialah:

Imam al-Tirmidzi berkata: “Seorang boleh membaca al-Quran tanpa wuduk, namun ia tidak boleh membaca kecuali dalam keadaan suci (hadas besar). Pendapat ini diambil oleh Sufyan Ats Tsauri, Syafie, Ahmad dan Ishaq.” (Sunan Tirmidzi).

Ibn Hazm berkata; “Permasalahan: Membaca al-Quran, sujud tilawah, menyentuh mushaf dan berzikir kepada Allah Azza wa Jalla, semua itu boleh dilakukan dengan berwuduk atau tanpa wuduk dan (boleh) bagi yang junub dan juga yang haid.” (Al-Muhalla)

Ibn al-Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya para wanita mengalami haid pada zaman Rasulullah SAW, seandainya membaca al-Quran diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya.

Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai.

Akan tetapi, tidak ada satupun (riwayat) yang melarang, yang dinukil daripada Nabi SAW. Oleh itu, hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya.

Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.” (Majmu al-Fatawa).

Ibn al-Qayyim berkata: “Syariat telah membahagikan ibadat yang berkaitan dengan perempuan haid kepada dua bahagian:

Pertama, bahagian yang boleh digantikannya pada masa suci maka tidak diwajibkan kepadanya pada ketika haid bahkan digugurkan sama ada secara mutlak seperti sembahyang atau menggantikannya pada masa suci seperti puasa.

Kedua, bahagian yang tidak dapat digantikan dan tidak boleh ditangguhkan hingga pada waktu suci. Maka dengan itu disyariatkan untuk perempuan haid pada ketika haidnya seperti ihram, wuquf di ‘Arafah dan hukum-hukum yang mengikutinya.

Diantara hukumnya ialah harus membaca al-Quran walaupun sedang haid kerana tidak mungkin dapat digantikannya pada masa suci kerana haid itu kadang-kadang berpanjangan hingga kepada tempoh kebiasaannya atau waktu yang paling lama.

Sekiranya dia ditegah dari membaca al-Quran, maka akan hilang kemaslahatan daripadanya. Boleh jadi dia akan terlupa ayat-ayat yang dihafalnya pada ketika suci. Ini merupakan mazhab Malik, salah satu riwayat daripada Ahmad, salah satu daripada pendapat al-Syafie. Rasulullah SAW tidak menegah perempuan berhaid membaca al-Quran.” (I’lam al-Muwaqqi’in)

Dapat disimpulkan bahawa tiada hadis jelas yang sahih yang melarang orang junub membaca al-Quran. Sebaliknya terdapat ramai tokoh membenarkan orang junub membaca al-Quran.

Sebagai penutup, adalah baik kita renungkan apa yang diperkatakan oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, katanya:

“Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Quran sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka.

Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid.

Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Atas keperluan inilah al-Quran dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Quran seperti biasa.

Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.” (Amalan-Amalan Di Bulan Ramadan)

Wallahualam

Editor: Loha
3 Ramadan 1445H

Pelawat: 4141
Hari ini: 1
Jumlah: 220820

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X