HUKUM PELIHARA KUCING

HUKUM PELIHARA KUCING

1. Hadis Palsu Mu’izzah
2. Hukum Pelihara Kucing
3. Ihsan Terhadap Kucing
4. Larangan Memandulkan dan Declaw
5. Jangan Sakiti Jiran

1. HADIS PALSU MU’IZZAH

Tiada riwayat mengatakan “Nabi sayang kucing” dan tiada istilah mengatakan bahawa “kucing adalah haiwan kesukaan Nabi.”

Bahkan kisah kucing bernama Mu’izzah, yang kononnya Rasulullah SAW potong jubahnya kerana tidak mahu menganggu kucing tersebut tidur di atas jubahnya, merupakan kisah yang tiada asal usul, bahkan dusta atas nama Rasulullah SAW.

Namun, cerita yang mirip seakan kisah kucing Mu’izzah ada diceritakan dalam Siyar A’lam al-Nubala bahawa ini terjadi pada Imam Ahmad al-Rifa’i (wafat 578 H), dan kisah ini tiada kaitan dengan Nabi SAW sama sekali.

2. HUKUM PELIHARA KUCING

Tiada larangan dan tidak ada tuntutan untuk memelihara kucing, dan ia termasuk hal keduniaan, maka diaplikasikan kaedah:

الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة

Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.” -1-

Terdapat sahabat Nabi SAW bernama Abd al-Rahman bin Sakhr yang memelihara kucing, sebagaimana diriwayatkan oleh Abi Rafi’, katanya:

قلتُ لأبِي هُريرَةَ: لِمَ كنيتَ بِأبِي هُرَيرَة؟ قال: كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah (nama panggilan) dengan Abu Hurairah? Lalu beliau menjawab: Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku letakkan ia di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah.” -2-

Walaupun hukum pelihara kucing adalah harus, namun menjaganya adalah wajib serta mengabaikan tanggungjawab boleh menjerumuskan penjaganya ke kancah dosa.

3. IHSAN TERHADAP KUCING

Perlu diperhatikan; penjagaan kucing dan berlaku ihsan terhadapnya. Dari Syaddad bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.” -3-

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menghuraikan hadis ini dengan katanya:

«على كُلِّ شيءٍ»، يَعني: أنَّ الإحسانَ لَيس خاصًّا بشَيءٍ مُعَيَّنٍ مِنَ الحياةِ، بل هُو في جَميعِ الحياةِ.

Maksudnya: “Hadis ini datang dengan sebutan عَلَى كُلِّ خَلْقٍ yang membawa maksud wajib berbuat ihsan kepada semua makhluk.” -4-

Maka tuntutan ini meliputi berbuat ihsan kepada manusia, tumbuhan, serta haiwan.

Syeikh al-Utsaimin berkata: “Nabi SAW memerintahkan untuk berbuat baik kepada haiwan ternakan. Hendaklah manusia memperlakukan haiwan ternakan dengan cara yang baik. Jangan bebani haiwan tersebut dengan sesuatu yang ia tidak mampu. Jangan pula mengurangkan makan dan minumnya.” -5-

5. LARANGAN MEMANDULKAN DAN DECLAW

Zalim adalah dilarang walaupun terhadap haiwan atau tumbuhan sekalipun. Bahkan ada ancaman berat menanti, sebagaimana Ibn Umar berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ قَالَ فَقَالَ وَاللَّهُ أَعْلَمُ لَا أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلَا سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا وَلَا أَنْتِ أَرْسَلْتِهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ

Maksudnya: “Ada seorang wanita diseksa disebabkan dia mengurung seekor kucing hingga mati kelaparan lalu wanita itu pun masuk neraka.” Nafi’ berkata; Beliau berkata: “Sungguh Allah Maha Mengetahui bahwa kamu tidak memberinya makan dan minum ketika engkau mengurungnya dan tidak membiarkannya berkeliaran sehingga dia dapat memakan serangga yang berada di tanah.” -6-

Itulah azab di akhirat, dan di dunia (Malaysia khususnya) ada Akta Binatang 1953 yang kini diluaskan skopnya dan diadaptasi ke Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722).

Dilarang juga mengkasi/memandulkan kucing, ini sebagaimana ditegaskan al-Nawawi, katanya:

قَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ لَا يَجُوزُ خِصَاءُ حَيَوَانٍ لَا يُؤْكَلُ لَا فِي صِغَرِهِ وَلَا فِي كِبَرِهِ قَالَ وَيَجُوزُ خِصَاءُ الْمَأْكُولِ فِي صِغَرِهِ لِأَنَّ فِيهِ غَرَضًا وَهُوَ طِيبُ لَحْمِهِ وَلَا يَجُوزُ فِي كِبَرِهِ وَوَجْهُ قَوْلِهِمَا أَنَّهُ دَاخِلٌ فِي عُمُومِ قَوْله تَعَالَى إخْبَارًا عَنْ الشَّيْطَانِ (وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خلق الله) فَخَصَّصَ مِنْهُ الْخِتَانَ وَالْوَسْمَ وَنَحْوَهُمَا وَبَقِيَ الْبَاقِي دَاخِلًا فِي عُمُومِ الذَّمِّ وَالنَّهْيِ

Maksudnya: “Telah berkata al-Baghawi dan al-Rafie bahawa tidak boleh memandulkan bintang yang tidak dimakan, sama ada semasa kecil atau dewasa.” -7-

Sekiranya memandulkan tanpa sebarang sebab munasabah yang besar, seperti ancaman nyawa dan sebagainya, ia dilarang, Ibn Hajar al-Asqalani berkata:

الخصاء في غير بني آدم ممنوع في الحيوان إلا لمنفعة حاصلة في ذلك كتطييب اللحم أو قطع ضرر عنه

Maksudnya: “Perbuatan memandulkan selain manusia seperti binatang adalah dilarang kecuali untuk kebaikan, seperti menyedapkan daging atau mencegah kemudaratan.” -8-

Dilarang juga melakukan declaw, iaitu prosedur membuang kuku kucing secara tetap. Kuku kucing diasingkan dari tulang menyebabkan kuku kucing tidak akan tumbuh lagi.

Menurut Dr Muhammad Naim Md Kasim: “Hal (declaw) ini salah daripada etika kebajikan kucing kerana ia menjejaskan tabiat asal kucing untuk menggunakan kuku.

Selain itu, prosedur ini juga boleh menyebabkan kesakitan kepada kucing kerana tapak kaki sentiasa terdedah kepada tekan ketika berjalan.

Jangkitan kuman, juga boleh menjadi komplikasi dalam prosedur ini. Tekanan perasaan, boleh dilihat terhadap kucing yang telah dibuang kuku secara tetap.” -9-

5. JANGAN SAKITI JIRAN

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” -10-

Amat wajar diperhatikan keharmonian jiran. Dr. Zulkifli al-Bakri berkata:

“Keperluan kucing yang dipelihara juga perlu dijaga dengan baik seperti makanan dan minuman yang mencukupi, membeli pasir kucing, menjaga kebersihan mereka, memastikan kucing-kucing tersebut tidak mengganggu di kawasan rumah jiran seperti membuang najis/ kencing dirumah jiran dan seumpamanya. Hal ini merupakan antara sebab jiran berasa tidak selesa dan mengganggu ketenteraman awam.” -11-

Sekiranya kucing peliharaan mengganggu jiran, maka ia menjemput dosa kepada tuannya. Kerana banyak hadis melarang menyakiti jiran. Bahkan Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) berkata:

“Jika kucing seseorang pergi dan membuang najis di rumah jiran, tidak berdosa bagi jiran itu menangkap dan membuang kucing itu ke tempat lain.” -12-

Oleh itu, nak pelihara kucing, silakan. Maka anda berkewajipan memberi makan dan menjaganya, insya Allah anda peroleh pahala. Namun anda juga boleh berdosa sekiranya menyeksa haiwan tersebut dalam apa jua keadaan atau membuat jiran merasa tidak selesa dengannya.

Wallahu’alam.

_________________________________

1. Imam al-Suyuthi. Asybah wa al-Nazair
2. Ibn Hajar al-Asqalani. Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah
3. HR Muslim
4. Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam
5. Syarah Riadh al-Solihin
6. HR al-Bukhari
7. Majmu’ Syarh al-Muhadzab
8. Fath al-Bari
9. https://www.hmetro.com.my/ku-bela/2022/01/798983/jaga-kuku-kucing
10. HR Muslim
11. https://bukudrzulkifli.com/1797-memberi-makan-kucing-terbiar/
12. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-pelihara-kucing-sekiranya-menyusahkan-keluarga-jiran-mufti-perlis-211874

Editor: Loha
16 Syawal 1445H

Pelawat: 193
Hari ini: 1
Jumlah: 210238

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X