IFTARLAH DENGAN KURMA ATAU AIR

IFTARLAH DENGAN KURMA ATAU AIR

Terdapat 3 istilah umum bagi kurma/tamar, rutab dan balah. Rutab ialah kurma basah, balah ialah kurma mentah atau muda dan tamar/kurma merujuk pada kurma masak dan kering. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنَّهُ بَرَكَةٌ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا فَالْمَاءُ فَإِنَّهُ طَهُورٌ

Maksudnya: “Jika salah seorang dari kalian berbuka, hendaklah berbuka dengan tamar kerana padanya ada keberkatan. Namun jika dia tiada tamar, maka berbukalah dengan air, kerana air itu mensucikan.”-1-

Selain Rasulullah SAW menyuruh orang berbuka dengan kurma, beliau sendiri pun melakukannya, sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berbuka sebelum solat dengan beberapa rutab, jika tiada rutab baginda akan berbuka dengan beberapa tamar, jika tiada tamar baginda akan berbuka dengan tegukan air.”-2-

Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Ja’far bin Sulaiman, yang ada jahr dan ta’dil (kritik dan puji). Ibn Hajar merumuskan kedudukannya shuduq.-3- Ja’far bin Sulaiman digunakan oleh Bukhari dalam Adab al-Mufod, Muslim dan semua pemilik sunan.-4-

Ramai tokoh yang mensahihkan hadis ini, antaranya ialah, Imam al-Darulqutni, dengan katanya: “Ini isnadnya sahih,-5- Shaikh al-Albani: Sahih.-6-

Dan Shaikh Syu’ib al-Arnauth: Isnadnya sahih dengan syarat Imam Muslim. perawinya semua tsiqah melainkan Sulaiman bin Ja’far yang menjadi perawi Muslim.”-7-

Mengenai huraian hadis ini, para tokoh mensyarahkan hadis tersebut dengan kata mereka:

Abu Ath-Thayyib Muhammad Syamsul Haq Al ‘Azhim Abadi katanya: “Berbuka dengan kurma, jika tiada maka berbuka dengan air.”-8-

Abu ‘Ulla al-Mubarakfury menyatakan “Hadis ini menjadi dalil, disunnahkan berbuka dengan kurma, jika tiada kurma maka berbuka dengan air.”-9-

Imam Shan’ani berkata: “Dan menjadi dalil berbuka dengan apa yang disebut (tamar dan air) adalah sunnah.”-10-

Syeikh Soleh bin Utsaiman berkata: “Sebaiknya (afdhal) berbuka dengan rutab, jika tiada dengan tamar, jika tiada dengan air, jika tiada dengan apa yang mudah.

Namum, jika tiada disisimu rutab dan tamar dan yang ada cuma roti dan air, yang manakah lebih baik untuk berbuka? Tentunya air, kerana itu (minum air semasa berbuka) ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW.”-11-

Allamah Mulla Ali al-Qari berkata: “Air yang terbaik adalah air zam-zam, namun bila hendak berbuka puasa tetap sunnah dengan kurma, kerana itu petunjuk Nabi SAW.”-12-

Walau air zam-zam adalah air yang terbaik, namun tetap disunnahkan berbuka puasa dengan kurma (rutab atau tamar), jika tiada, maka berbukalah dengan air. Jika tiada maka dengan apa yang mudah. Syeikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin berkata:

“Jika tak ada kurma, tak ada air, buka dengan apa yang ada, jika apa pun tiada cukup niat dalam jantung hati.”-13-

Namun, hukum berbuka puasa dengan selain kurma tidaklah makruh, bahkan adalah harus, cuma sunnah Nabi SAW adalah berbuka dengan kurma.

وَ اللهُ أَعْلَمُ

Editor: Loha
7 Ramadan 1445H

________________________________
NOTA HUJUNG.
1. HR al-Tirmidhi (594)
2. HR al-Tirmidhi (632), Abu Daud (2009) & Ahmad (12215)
3. Tahzib. 2/81-84: 154.
4. Taqrib. 1/199″942. Shuduq boleh diterima ditulis riwayatnya (namun ta’dil yang rendah).
Jami’ Syuruhu Muqadimah Ibnu Solah. Jilid: 2. Fasal 23. Halaman: 27. Dar al-Ghaad al-Jadiid
5. Sunan Darulqutni. 2/185: 24.
6. Silsilah Ash-Shahihah. No 2840.
7. Tahqiq Musnad Ahmad bin Hambal. 3/164. No 12689.
8. Syarah Sunan Abi Daud. Abdul al-Muhsin al-‘Abbad. 13/87.
9. Tahfatu al-Ahwazi. 3/311:696.
10. Subulus Salam. Jilid 2. Halaman: 286.
11. Syarah Riadhus Salihin. Jilid 3. Halaman: 236-237.
12. Mirqatu al-Mafatih Syarah Mishkat al-Masobeh. 6/301. hadith: 1991. dengan sedikit suntingan.
13. Syeikh Soleh bin Utsaimin. Syarah Riadhus Salihin. Jilid 3. Halaman: 236-237.

Pelawat: 642
Hari ini: 1
Jumlah: 213484

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X