IMAM AL-SYAFIE PUN TAK SAIDINA

56 Views

Lazimnya masyarakat kita akan menambah perkataan ‘saidina’ sebelum penyebutan nama Nabi SAW ketika berselawat.

Agaknya kenapa ditambah? Hormat? Adab? Muliakan Nabi SAW? Tahukah anda bahawa imam al-Syafie pun tidak menambah lafaz ‘saidina’ dalam selawat?

Imam al-Syafie dalam kitabnya al-Umm, meriwayatkan hadis selawat, beliau hanya membawa teks asal tanpa penambahan ‘saidina’.

Bahkan, pada mukadimah kitab, selawat yang menjadi pembuka bicara itu pun tidak beliau tampal lafaz saidina padanya.

Apakah imam al-Syafie tidak beradab dengan Nabi Muhammad SAW? Apakah imam al-Syafie selaku antara yang mengasaskan garis panduan usul fiqh, itu tidak tahu usul fiqh?

Guru kepada imam al-Syafie iaitu imam Malik bin Anas ada meriwayatkan satu atsar dari Ibn al-Syihab dari Urwah bin al-Zubair dari Abdurrahman bin Abdin al-Qari bahawasanya dia mendengar Umar al-Khattab mengajarkan orang ramai dari atas mimbar tatacara membaca ‘tasyahud’ dengan lafaz:

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ الزَّاكِيَاتُ لِلَّهِ الطَّيِّبَاتُ الصَّلَوَاتُ لِلَّهِ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Jika kita perhatikan, tiada lafaz ‘saidina’ pada selawat. Ini kerana selawat adalah ibadah, maka tidak boleh lebihkan akal ke atas wahyu.

Syeikh Nashiruddin al-Albani menukilkan soalan ditanya pada Ibn Hajar al-‘Asqalani berkitan perlu atau tidak menambah perkataan ‘saidina’ pada selawat, maka jawab Ibn Hajar al-‘Asqalani:

اتِّباعُ الألفاظ المأثورة أرجح ، ولا يقال : لعلَّه ترك ذلك تواضعاً منه صلى الله عليه وسلم كما لم يكن يقول عند ذكره : صلى الله عليه وسلم ، وأمّتهُ مندوبة إلى أن تقول ذلك كلما ذُكر ؛ لأنَّا نقول : لو كان ذلك راجحاً لجاء عن الصحابة ، ثم عن التابعين ، ولم نقِفْ في شيءٍ من الآثار عن أحدٍ من الصحابة ولا التابعين أنه قال ذلك ، مع كثرة ما ورد عنهم من ذلك

Maksudnya: “Mengikuti lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sampai ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja, sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar nama Nabi disebut, tidak menyahut dengan ucapan shalallahu ‘alaihi wasallam.

Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam.

Sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, nescaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, tidak didapati adanya riwayat semacam itu dari seorang sahabat atau seorang tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka.”

Dapat kita rumuskan bahawa Nabi SAW tidak pernah ajarkan membaca selawat dengan penambahan ‘saidina’. Imam 4 mazhab juga tidak meriwayatkan lafaz tersebut.

Maka janganlah kita hendak jadi lebih alim dari imam al-Syafie atau secara tidak sengaja hendak rasa agama ajaran Nabi SAW tidak cukup sempurna, selawatlah sebagaimana diajarkan tanpa menambah atau mengurangkan sesuka hati.

Wallahualam.

Editor: Loha
17 Safar 1446H

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *