IMAM MAZHAB TIDAK BERMAULID

3 Views

Imam Abu Hanifah (80H-150H) digelar manusia yang paling faqih, sehingg Imam as-Syafie, berkata: “Semua manusia bergantung dalam bidang feqah kepada Abu Hanifah.”

Beliau dianggap tergolong dalam kalangan tabiin kerana sempat melihat sejumlah sahabat Nabi SAW antaranya Anas bin Malik, Abdullah bin Abi Aufa, Sahl bin Saad, Amir bin Wathilah, Amru bin Huraith, Wathilah bin al-Asqa’ dan Abdullah bin Unais.

Imam Abu Hanifah juga berkecimpung belajar hadis lebih 50 tahun, sampaikan anak muridnya, Abu Yusuf berkata: “Tidak ada orang yang kulihat lebih alim dalam mentafsirkan hadis selain Abu Hanifah dan beliau lebih mahir mengenai hadis sahih daripadaku.”

Imam Malik (93H-179H) menghabiskan masa selama 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis hingga tersusunnya kitab al-Muwatho, yang dalamnya ada seribu lebih hadis Nabi termasuk atsar sahabat dan pendapat para salaf.

Beliau amat muliakan Nabi SAW, pernah suatu hari sedang beliau menyampaikan hadis, beliau disengat kala jengking sebanyak 16 kali sehingga wajahnya berubah warna kerana menahan sakit. Namun, beliau tetap bersabar dan tidak membatalkan majlis itu kerana membesarkan hadis Rasulullah SAW.

Beliau dikatakan tidak pernah menaiki sebarang tunggangan di Madinah sebagai tanda adab bagi menghormati jasad baginda SAW yang bersemadi di makamnya.

Imam al-Syafie (150H-204H) memiliki keterikatan nasab dengan Nabi SAW. Bukan itu sahaja, beliau amat mencintai Nabi SAW dan keluarga baginda, sehingga bila ada menggelarkan beliau syi’ah, lantas beliau (al-Syafie) melantunkan syair:

إن كان رفضاً حبُّ آلِ محمدٍ … فليشهدِ الثقلانِ أَني رافضي

Maksudnya: “Jika cinta kepada keluarga Muhammad adalah Rafidhah, maka saksikanlah jin dan manusia bahawa aku adalah Rafidhi.”

Walau digelar syi’ah, tidak dihiraukan kerana kecintaan kepada Rasul saja dimahukan.

Beliau juga menghasilkan kitab fiqh iaitu al-Umm dan al-Risalah berkaitan usul fiqh dan ulum al-hadis.

Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H), kehebatannya dikatakan oleh Yahya bin Ma’in: “Demi Allah, tidak ada di bawah lapisan langit ini seorang pun yang lebih faqih berbanding Ahmad bin Hanbal. Tidak ada seorang pun di timur dan barat yang sama sepertinya.”

Beliau seakan telah mengelilingi dunia mengumpulkan hadis Nabi SAW, sehingga dikatakan hafalannya melebihi 1 juta hadis.

Beliau menyusun sebuah kitab berjudul Musnad, yang kini dikenali Musnad Ahmad bin Hanbal. Dalamnya ada sekitar 30 ribu hadis, yang terbentang kepada kita hingga hari ini.

Itu secebis kehebatan mereka terutamanya dalam bidang hadis dan dalam memuliakan baginda Nabi SAW.

Walau mereka berempat membawa perjalanan feqah yang berbeza, tapi satu fakta menarik ialah, mereka berempat sepakat tidak pernah menyambut maulid Nabi SAW.

Bahkan tiada fatwa atau bab maulid oleh Imam Abu Hanifah, tiada juga dalam al-Muwatho Imam Malik, juga tiada al-Umm imam al-Syafie dan tidak wujud dalam Musnad imam Ahmad.

Kepada yang menyambut maulid dengan perarakan, baca qasidah dan lain-lain ini, anda ikut mazhab mana? Apakah anda rasa lebih alim dari imam 4 mazhab?

Bukan sambutan maulid saja yang tidak pernah dilakukan oleh imam 4 mazhab, bahkan, selawat syifa, selawat tafrijiyah dan pelbagai lagi.

Mereka imam mazhab adalah insan yang terlalu pandai, maka ikutilah ibadah yang mereka ajarkan.

Selepas ini, jika ditanya mengapa tidak sambut maulid? Maka wajar dijawab “Kerana Nabi tidak sambut, sahabat tidak sambut, imam 4 mazhab tidak sambut, oleh itu saya juga tidak menyambutnya” Al-Zarqani menukil kata Hasan al-Bashri, iaitu
من أحبَّ قومًا اتبع آثارهم .
Ertinya: “Barang siapa yang mencintai suatu kaum maka ia akan mengikuti perilakunya.” (Al-Mawahib Al-Laduniyah)

Maka jika kita cintakan Nabi SAW, sayangkan sahabat, kasihkan imam mazhab, maka ikutilah mereka, bukan hawa nafsu atau tradisi masyarakat.

Editor: Loha
12 Rabi’ulawwal 1445

 

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *