IMSAK MENURUT PERSPEKTIF SUNNAH
- 11/03/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Hadis, Ibadah, Kehidupan Rasulullah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sunnah, Tafsir Al-Quran
Imsak dari sudut bahasa bermaksud: “menahan dan berhenti.”-1-
Adapun imsak dari segi istilah bermaksud:
الإمساك عن المفطرات من الفجر إلى الغروب
Maksudnya: “Menahan diri dari perkara membatalkan puasa, bermula terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari.”-2-
Adapun istilah imsak yang dikenali masyarakat ialah berhenti dari makan atau minun seawal 10 atau 20 minit sebelum waktu Subuh. Mungkin kefahaman ini berpunca dari hadis Zaid bin Thabit katanya:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ»، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ ” قَالَ: «قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
Maksudnya: “Kami bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh).” Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran).”-3-
Hadis Zaid di atas bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi SAW yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah RA menyebut:
أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: ‘Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (Subuh).”-4-
Waktu sahur berterusan sehingga azan Subuh, bukan 10 minit sebelum. Ini selari dengan firman Allah SWT:
{وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ}
Maksudnya: “Dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam.”-5-
Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini, beliau berkata:
ومِن جَعْله تَعَالَى الفجرَ غَايَةً لِإِبَاحَةِ الْجِمَاعِ وَالطَّعَامِ وَالشَّرَابِ لِمَنْ أَرَادَ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Hukum yang ditetapkan oleh Allah ialah fajar dijadikan-Nya sebagai akhir batas waktu boleh bersetubuh, makan, dan minum bagi orang yang hendak puasa.”-6-
Menetapkan 10 atau 20 minit waktu imsak sebelum Subuh adalah perbuatan tanpa ada asas yang jelas serta penetapan ini dihukum bidaah yang keji oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dengan katanya:
تنبيه من البدع المنكرة ما أحدث في هذا الزمان من إيقاع الأذان الثاني قبل الفجر بنحو ثلث ساعة في رمضان وإطفاء المصابيح التي جعلت علامة لتحريم الأكل والشرب على من يريد الصيام زعما ممن أحدثه أنه للاحتياط في العبادة
Maksudnya: “Di antara bidaah yang mungkar yang berlaku pada zaman ini ialah pada azan kedua (azan Subuh) 20 minit sebelum azan Subuh dengan dipadamkan lampu sebagai petanda bahawa haram makan atau minun waktu tersebut bagi orang berpuasa. Dengan sangkaan bahawa perbuatan rekaan mereka itu merupakan sikap berhati-hati dalam ibadah.”-7-
Senada dengan Ibn Hajar al-‘Asqalani, Syeikh Muhammad Soleh al-Utsaimin menjawab persoalan tentang waktu imsak dengan katanya:
هذا من البدع ، وليس له أصل من السنة ، بل السنة على خلافه…وهذا الإمساك الذي يصنعه بعض الناس زيادة على ما فرض الله عز وجل فيكون باطلاً وهو من التنطع في دين الله
Maksudnya: “Hal ini (imsak) termasuk bidaah, tiada dalilnya dari Sunnah, bahkan Sunnah bertentangan dengannya (waktu imsak)… dan imsak yang dilakukan oleh sebahagian orang adalah suatu tambahan dari apa yang diwajibkan oleh Allah sehingga menjadi kebatilan, dan termasuk perbuatan yang diada-adakan dalam agama.”-8-
Dr. Yusuf al-Qaradawi turut tidak setuju dengan waktu imsak 10-20 minit ini, kata beliau:
“Jika seseorang selalu mengamalkan puasanya bermula daripada waktu imsak, maka ia telah melakukan suatu keterlaluan dalam agama ini dan bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW.”-9-
Suka untuk menyimpulkan perbahasan imsak dengan kenyataan dari Jabatan Mufti Negeri Perlis, yang menyatakan:
“Waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu Subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum Subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu Subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu Subuh.”-10-
Wallahualam
Editor: Loha
1 Ramadan 1445H
________________________________
1. Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu’asirah
2. Fiqh al-Manhaji
3. HR al-Bukhari dan Muslim
4. HR al-Bukhari dan Muslim
5. QS Al-Baqarah: 187
6. Tafsir al-Quran al-‘Adzhim
7. Fath al-Bari
8. Majmu Fatawa Arkanil Islam
9. Fatawa al-Mu`sirah
10. https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/643-bila-waktu-sahur-dan-bila-berakhir