ISLAM TAK AJAR MAIN MERCUN

ISLAM TAK AJAR MAIN MERCUN

ISLAM TAK AJAR MAIN MERCUN
(Marabahaya, Membazir & Mengganggu)

Mercun ialah “sejenis bunga api yang meletup apabila di­bakar.” -1-

Sejarah penciptaan mercun ialah “pada kurun ketujuh di China ketika pemerintahan dinasti Tang ini pada asalnya digunakan untuk perayaan dan bertujuan untuk menghalau roh jahat pada zaman itu.” -2-

Sekurang-kurangnya ada tiga alasan utama untuk haramkan mercun iaitu; marabahaya, membazir dan mengganggu. Selain dari tiga ini ada beberapa tambahan alasan lagi.

1. MARABAHAYA

Mercun sudah sepatutnya diharamkan, kerana membahayakan diri, orang sekeliling dan membazir harta.

Bahkan “China selaku pencipta mercun beberapa daerah utama mengharamkan sama sekali pembakaran mercun ini. Pengharaman dibuat atas faktor keselamatan kerana mercun menyebabkan begitu banyak kematian dan kebakaran di negara berkenaan beberapa tahun lalu.” – 3-

Sebaliknya di Malaysia “setiap kali tibanya musim perayaan, maka kita akan dihidangkan dengan skrip sama membabitkan mangsa-mangsa mercun yang cedera dan hilang anggota badan mereka.” -4-

Kerosakan harta benda, sebagaimana dilaporkan “kira-kira 10 rumah penduduk Flat Taman Sri Bandar di sini mengalami kerosakan akibat letupan dipercayai mercun yang dibakar sekumpulan lelaki.” -5-

Terlalu banyak kes sebegini. Andai musibah mercun terkena kepada diri sendiri, keluarga atau harta kita, tentu kita marah! Bagaimana pula apabila ia menimpa orang lain?

Islam jelas mengharamkan sebarang mudarat, sebagaimana hadis diriwayatkan:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.” -6-

Berdasarkan hadis ini, Syaikh Ibn al-‘Utsaimin memberikan kaedah:

مَتَى ثَبَتَ الضَّرَرُ وَجَبَ رَفْعُهُ وَمَتَى ثَبَتَ الإِضْرَارُ وَجَبَ رَفْعُهُ مَعَ عُقُوْبَةِ قَاصِدِ الإِضْرَارِ

Maksudnya: “Apabila terdapat mudarat, maka wajib untuk menghilangkannya. Dan selain dari menghilangkan mudarat, perlu juga diberi hukuman pada si pelaku mudarat tersebut.” -7-

2. MEMBAZIR

Apakah faedah yang kita perolehi apabila membakar mercun? Apakah ia mengenyangkan perut atau menghilangkan haus? Atau hanya membakar wang semata-mata? Firman Allah SWT:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau bazirkan hartamu dengan boros yang melampau.Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan.” -8-

Bagi mendefinesikan makna ‘pembaziran’, Ibnu Katsir menukilkan perkataan Ibn al-Mas’ud dan Ibn al-‘Abbas:

التَّبْذِيرُ: الْإِنْفَاقُ فِي غَيْرِ حَقٍّ.

Maksudnya: “Perkataan bazir dalam ayat ini bermaksud membelanjakan bukan pada jalan yang benar.” -9-

Para pembazir harta ini disamakan dengan saudara syaitan, yakni “dari sudut pemborosan, melakukan tindakan bodoh, tidak ingat kepada Allah serta berbuat maksiat kepada-Nya.

Dikatakan demikian kerana dia ingkar kepada nikmat yang telah diberikan Allah kepadanya dan tidak mahu mengerjakan amal ketaatan kepada-Nya, bahkan membalasnya dengan perbuatan durhaka dan melanggar perintah-Nya.” -10-

Mughirah bin Syu’bah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ… وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu… membazir harta.” -11-

Ada banyak keperluan lain yang wajar dipenuhi. Ada banyak manusia memerlukan infak bantuan, alangkah kejamnya wahai manusia yang sanggup membakar wang dengan sia-sia? Bahkan berisiko mencederakan diri dan orang lain.

3. MENGGANGGU

Selain sifat membazir disamakan dengan syaitan, ketauhuilah bahawa antara sifat lain syaitan adalah mengganggu manusia. Sama seperti pemain mercun yang mengganggu manusia lain, terutamanya ia menggangu jiran tetangga.

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” -12-

Sabda Nabi SAW lagi:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: ‘Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.’ Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Dia akan masuk ke dalam neraka.’” -13-

Mengganggu jiran dengan zikir yang kuat pun agama tidak benarkan, apatah lagi jika gangguan dengan bunyi mercun yang merupakan pembaziran serta mengundang bahaya?

Andai anak kita sendiri terkejut dengan dentuman mercun? Atau orang tua kita yang mati terkejut kerana letupan mercun? Atau rumah kita terbakar hangus kerana mercun. Apa perasaan kita? Begitulah juga perasaan orang lain.

4. MENCEMARKAN

Mengganggu jiran khasnya dan masyarakat termasuk juga flora dan fauna amnya adalah dengan gangguan mercun yang akan menghasilkan pencemaran udara dan bunyi.

“Satu-satunya sebab mengapa tahap pencemaran meningkat hari ini adalah kerana pembakaran mercun dan bunga api.” -14-

“Persetujuan dalam kalangan pakar menyifatkan bahawa pencemaran udara bandar yang disebabkan oleh bunga api, memberi kesan negatif yang ketara terhadap kualiti udara.”-15-

Pencemaran bunyi dan udara pasti mengganggu manusia dan habitat seperti burung. Apakah setiap kali pada musim perayaan kita hendak perbaharui pencemaran?

5. MENYALAHI UNDANG-UNDANG

Jika langgar had laju, atau pasang tinted gelap, atau langgar lampu isyarat, mesti ada yang akan saman kita, walaupun tiada siapa melaporkan kesalahan tersebut.

Sepatutnya begitu juga dengan kes bermain mercun. Pihak berkuasa perlu memastikan tindakan undang-undang perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957, jika ada pihak didapati melanggar peraturan dengan bermain mercun selepas 12 tengah malam. Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semoga ada tindakan tegas dan pemerhatian ketat oleh pihak berkuasa menjelang setiap musim perayaan. Ini bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia dan alam.

6. TASYABBUH AGAMA LAIN

Sejarah kemunculan serta kepercayaan orang Cina bahawa membakar mercun dapat menghalau hantu.

Adakah orang Islam (termasuk bangsa Cina dan terutamanya Melayu) main mercun untuk halau hantu atau menjadi ‘hantu’ dengan menggangu ketenteramaan orang ramai?

Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” -16-

Imam Ibn Kathir berkata, maksud hadis ini:

فَفِيهِ دَلَالَةٌ عَلَى النَّهْيِ الشَّدِيدِ وَالتَّهْدِيدِ وَالْوَعِيدِ، عَلَى التَّشَبُّهِ بِالْكُفَّارِ فِي أَقْوَالِهِمْ وَأَفْعَالِهِمْ، وَلِبَاسِهِمْ وَأَعْيَادِهِمْ، وَعِبَادَاتِهِمْ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ أُمُورِهِمُ التِي لم تشرع لنا ولا نُقَرر عَلَيْهَا.

Maksudnya: “Hadis ini adalah dalil larangan keras dan amaran tegas bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.” -17-

Apakah kita sudah ketandusan budaya dan adat serta syariat sendiri? Sehingga kempunan untuk ikut budaya dan kepercayaan orang?

Semoga kita dapat berubah dan tidak lagi ikut budaya yang berlanggar dengan syarak dari pelbagai aspek ini.

Tanpa mengira agama dan bangsa, budaya mercun wajah dihentikan serta dijauhi sama sekali. Bukan hanya berbahaya pada diri dan orang sekeliling, bahkan mengganggu dan merugikan serta mengundang sumpah seranah dari mereka yang merana.

Editor: Loha
4 Syawal 1445H

1. Kamus Dewan.
2. Diapaptasi: https://www.hmetro.com.my/minda/dialoka/2017/06/238242/bermain-mercun-bagaikan-sudah-dirasuk-hantu
3. https://www.hmetro.com.my/minda/dialoka/2017/06/238242/bermain-mercun-bagaikan-sudah-dirasuk-hantu
4. https://www.sinarharian.com.my/article/254071/suara-sinar/analisis-sinar/musibah-berulang-setiap-tahun
5. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/495132/10-unit-flat-rosak-akibat-mercun
6. HR Malik, Darulqutni.
7. Syarah Arba’in al-Nawawi.
8. QS al-Isra’: 27
9. Tafsir al-Quran al-‘Adzhim
10. Ibid
11. HR al-Bukhari
12. HR Muslim
13. HR Ahmad
14. https://www.astroawani.com/berita-dunia/new-delhi-terus-bergelut-dengan-pencemaran-udara-445812

15. https://malaysiagazette.com/2024/04/02mercun-bunga-api-ancam-pencemaran-haiwan-hidup-cap/
16. HR Abu Daud
17. Tafsir al-Quran al-A’dzhim

Pelawat: 124
Hari ini: 2
Jumlah: 213557

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X