JAGALAH LISAN DAN TULISANMU
- 04/10/2023
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Dakwah, Hadis, Ibadah, Kisah Inspirasi, Pendidikan Agama, Sunnah
JAGALAH LISAN DAN TULISANMU
Firman Allah SWT:
{ مَّا یَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَیۡهِ رَقِیبٌ عَتِیدࣱ }
Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” [Surah Qāf: 18]
Menurut Ibn Katsir, menukil pendapat dari Hasan al-Basri, al-Qatadah dan selainnya bahawa segala sesuatu yang diucapkan, ia akan dicatat oleh malaikat.
Diriwayatkan Imam Ahmad pernah merintih di saat sakit, lalu disampaikan kepadanya berita dari Tawus yang mengatakan:
يَكْتُبُ الْمَلَكُ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الْأَنِينَ
Maksudnya: “Malaikat pencatat menulis segala sesuatu termasuk rintihan.” Maka sejak saat itu, Imam Ahmad tidak merintih lagi sehinggalah dia meninggal dunia.” (Diadaptasi dari Tafsir Ibn Katsir)
Jika merintih pun malaikat catat, maka apakah kita mahu buku amalan kita dipenuhi dengan makian, cercaan, carutan, umpatan dan seumpamanya? Sabda Nabi SAW:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت
Maksudnya: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim)
Mafhum mukhalafah (kefahaman sebaliknya) seakan hadis ini nak memberi amaran, jika kita tidak diam dan bercakap hal yang tidak baik, bererti kita tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat.
Jadi fikirlah dua kali sebelum bercakap. Sabda Nabi SAW:
وَلَا تَكَلَّمْ بِكَلَامٍ تَعْتَذِرُ مِنْهُ وَأَجْمِعْ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengatakan suatu perkataan yang akan kamu sesali kemudiannya.” (HR Ibn al-Majah)
Kerana besarnya impak disebabkan lisan, apakah kita mahu buku catatan amalan kita dipenuhi dengan amal kebaikan atau dipenuhi dengan amal keburukan? Sama-sama kita bermuhasabah dalam menjaga lisan.
Cinta Nabi SAW bukan hanya sambutan maulid, bukan juga terbatas pada akidah, bukan juga sikap mentahzir tak tentu hala, bukan pula sikap menuduh orang aliran wahabi atau itu dan ini dengan tujuan menyindir, sebaliknya ikutilah atau usahakan agar ikut Nabi SAW secara menyeluruh, termasuk ikut Nabi SAW dari aspek akhlak. Sabda Nabi SAW:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
Maksudnya: “Tidaklah termasuk hamba yang mukmin, iaitu mereka yang selalu mengungkap aib, melaknat, berperangai buruk dan suka menyakiti.” (HR Tirmidhi)
Tiada alasan bahawa sememangnya sikap kita sebegitu dari azali, kerana haiwan misalan singa saja boleh dijinakkan dan ubah sifat asalnya, maka manusia tentu lebih layak berubah.
Sebelum buku catatan amal kita ditutup, kami akhiri penulisan ini dengan kata-kata Hasan al-Basri untuk renungan bersama:
وَوَكَلَ بِكَ مَلَكَانِ كَرِيمَانِ أَحَدُهُمَا عَنْ يَمِينِكَ، وَالْآخَرُ عَنْ شِمَالِكَ، فَأَمَّا الَّذِي عَنْ يَمِينِكَ فَيَحْفَظُ حَسَنَاتِكَ، وَأَمَّا الَّذِي عَنْ يَسَارِكَ فَيَحْفَظُ سَيِّئَاتِكَ فَاعْمَلْ مَا شِئْتَ، أَقْلِلْ أَوْ أَكْثِرْ حَتَّى إِذَا مِتَّ طُوِيَتْ صَحِيفَتُكَ، وَجُعِلَتْ فِي عُنُقِكَ مَعَكَ فِي قَبْرِكَ، حَتَّى تَخْرُجَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ،
Maksudnya: “Malaikat yang ada di sebelah kananmu bertugas mencatat semua amal baikmu, dan yang di sebelah kirimu bertugas mencatat dosa-dosamu. Maka beramallah menurut kehendakmu, sedikit atau banyak; apabila kamu telah mati, lembaran itu ditutup, lalu dibebankan di lehermu bersama-sama denganmu di dalam kubur, hingga kamu keluar dari kubur dengan membawanya di hari kiamat kelak.” (Tafsir Ibn Katsir)
Editor: Loha
18 Rabi’ulawal 1445H