KHATAN WANITA KURANGKAN NAFSU?

KHATAN WANITA KURANGKAN NAFSU?

KHATAN WANITA KURANGKAN NAFSU?
(Pencerahan Ringkas)

BAB 1: PENDAHULUAN

Isu berkaitan khatan wanita sering menjadi polemik antara pelampau beragama dan penolak beragama.

Ini kerana wujudnya beberapa Negara Afrika dan beberapa Negara yang melampau dalam khatan, sehingga mencederakan kelamin wanita terbabit.

Kesilapan praktikal sebegini akan menjadi bola tanggung kepada pengkritik agama.

Walau sebenarnya wujud perbezaan antara tradisi khatan Afrika, Mesir dan Malaysia, namun ia tetap dipolemik tanpa dikaji perbezaan.

Oleh itu, perlu untuk dijelaskan hukum berdasarkan perspektif agama dan sudut sains.

BAB 2: DEFINISI

Khatan ialah “sunat (memotong kulup)” -1-. Wujud perbezaan antara lelaki dan wanita, Mufti Wilayah menyatakan:

“Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar). Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.” -2-

Pada penulisan ini hanya akan menfokuskan hukum berkaitan khatan wanita.

BAB 3: PERBINCANGAN HADIS KHATAN WANITA

Tiada sebarang hadis jelas yang menyatakan bahawa mengkhatankan perempuan akan mengurangkan atau mengawal nafsu mereka.

Yang ada hanyalah hadis Ummu Athiyah Al Anshariyah berkata, “Sesungguhnya ada seorang perempuan di Madinah yang berkhitan, lalu Nabi ﷺ bersabda kepadanya:

لَا تُنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ

Maksudnya: “Janganlah engkau habiskan semua, sebab hal itu akan mempercantik wanita dan disukai oleh suami.” – 3-

Menariknya, imam Abu Daud selepas meriwayatkan hadis ini, beliau sendiri memberi komentar dengan katanya:

“Tetapi hadis ini tidak kuat, sebab ia diriwayatkan secara mursal. (Dan pada sanad terdapat perawi bernama) Muhammad bin Hassan adalah seorang yang majhul, sehingga hadis ini darjatnya lemah (dhaif).” -4-

Tidak ketinggalan sarjana hadis Ibn Hajar al-Asqalani dan Syeikh Syuib al-Arnauth turut menyatakan hadis ini bertaraf dhaif.

Ditambah oleh Sayyid Sabiq bahawa katanya: “Semua hadis berkaitan khatan wanita adalah dhaif, tiada satu pun sahih.” -5-

Walaupun ada sebahagian mensahihkan, namun qarinah dan lafaz pada hadis tidak cukup kukuh untuk mewajibkan serta tidak membuktikan pengawalan nafsu terletak pada khatan itu.

BAB4: PERBAHASAN ULAMA MAZHAB

Para imam mazhab turut berbeza pandangan dalam soal hukum khatan bagi wanita.

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, bahawa; “majoriti ulama, termasuk sebahagian ulama bermazhab Syafie menyatakan hukum khatan wanita ialah sunat.” -6-

Perincian hukum khatan wanita dirumuskan oleh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, katanya:

“Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” -7-

Maka usahlah menjumudkan diri dengan satu pendapat, lebih parah bila satu pendapat itu ditambah dengan mitos yang tidak disebut oleh pemilik fatwa itu sendiri.

Sekiranya kita meninjau fatwa dalam Negara dan terkini berkaitan isu khitan wanita, iaitu fatwa Negeri Perlis menyebut:

“Adapun khitan bayi perempuan yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat tanpa merujuk keperluannya kepada pakar merupakan amalan yang tidak mempunyai apa-apa asas dalil syarak, bahkan mungkin mendedahkan bayi kepada kemudharatan jika dilakukan secara yang salah.

Andaian bahawasanya rangsangan seks berlebihan pada wanita disebabkan tidak berkhitan adalah tidak memiliki apa-apa alasan yang kukuh.” -8-

BAB 5: KENYATAAN DOKTOR

Walaupun terdapat pendapat sarjana menyokong bahawa “tidak khatan menyebabkan nafsu sukar dibendung”, namun pendapat tersebut tidak berpijak pada dalil yang nyata, serta tidak pula berpaut pada bukti yang kukuh.

Sedangkan bukti klinikal tidak ditemukan bahawa khatan wanita memainkan peranan dengan daya nafsu. Menurut Dr Murizah:

“Tidak ada kajian saintifik yang dilakukan buat masa ini untuk membandingkan perbezaan nafsu atau kepuasan seksual antara wanita berkhatan atau tidak berkhatan.” -9-

Mengukuhkan persamaan antara doktor perubatan dan nas agama, maka jurnal studi hadis nusantara juga menyebut hal yang sama, iaitu: “Diantara mitos tentang khitan perempuan adalah khitan dapat mengendalikan hasrat atau ghairah seksual perempuan.” -10-

Dr Imelda Balchin selaku Pakar Obstetrics & Gynaecology yang diiktiraf di kedua-dua negara UK dan Malaysia, menyatakan auta kalau orang perempuan tak bersunat, nanti tak boleh kawal nafsu. Selanjutnya beliau mengulas dengan katanya:

“Jangan samakan perempuan dengan binatang naaaaa. Janganlah merendahkan mertabat orang perempuan. Orang perempuan lah yang boleh kawal nafsu, sama ada bersunat atau tidak. Nak mengawal nafsu, kita gunakan akal fikiran.

Sebab itulah ramai orang perempuan tak kahwin pun takpa, sama ada bersunat atau tidak. Sebab itulah kebanyakan perempuan setia kepada suami, sama ada bersunat atau tidak. Sebab itulah ramai isteri setia kepada suami yang ada masalah mati pucuk, sama ada bersunat atau tidak.

Ramai juga isteri yang mengadu walaupun suami yang ada masalah mati pucuk boleh buat hubungan kelamin selepas mengambil ubat viagra, isteri tidak puas hati sebab suaminya tak romantic. Ramai orang tak faham lebih ramai perempuan menghargai suami yang baik hati, suami yang romantic, suami yang penyayang, suami yang bertanggungjawab lebih lagi dari suami yang memenuhi nafsu isteri.

Ramai perempuan dari pelbagai ugama dan bangsa yang tak pernah bersunat pun datang jumpa doktor Gynae untuk mengadu ‘suami dia nak tetapi dia tak nak’, sebab ramai saja perempuan ‘tak ada libido’ dan ‘tak ada nafsu’ dan mereka datang tanya doktor pakar Gynae, “Saya normal ke doktor sebab saya tak ada nafsu untuk buat sex bersama suami saya.”

Bila patients saya tanya soalan macam ini, saya jawab, ramai perempuan mengadu tiada keinginan untuk membuat hubungan kelamin. Ini dinamakan Hypoactive Sexual Desire Disorder atau HSDD.

Kajian di USA menunjukkan seramai 26% perempuan yang belum menopos ada HSDD dan 52% perempuan yang sudah menopos ada HSDD.

Memang ramai orang perempuan yang tak pernah bersunat pun tak ingin buat sex sebab ada macam-macam perkara yang lebih diutamakan di dalam kehidupan mereka.

Untuk perempuan yang belum menopos, bila ada macam-macam mereka nak buat, seperti menguruskan anak-anak, ada kerjaya, menjaga ibu bapa yang sudah tua, maka ramai perempuan akan hilang keinginan untuk buat sex dan tidak ada mood untuk buat sex, walaupun mereka tak pernah pun bersunat.

Ada juga yang ada HSDD sebab masalah kesihatan emosi dan mental seperti kemurungan. Jika diagnose ini, boleh dirawat.

Ada juga yang ada HSDD sebab masalah perubatan yang lain seperti masalah thyroid, diabetes, kanser payudara. Ada yang ada HSDD sebab kurang keyakinan diri.

Ada yang ada HSDD sebab ada masalah rumahtangga dan tak percaya kepada suaminya.

Ramai yang ada HSDD sebab stress. Bila kita beri nasihat regular exercise untuk mengurangkan stress, ramai perempuan berjaya mengatasi masalah ini dan lebih ada keinginan untuk membuat hubungan kelamin.

Keletihan, tidak cukup tidur dan perjalanan yang jauh ke tempat bekerja dan berulang-balik setiap hari juga boleh mengurangkan nafsu untuk membuat hubungan kelamin.

Untuk perempuan yang sudah menopos, lebih ramai yang ada HSDD sebab kekurangan hormon androgen, kurang stamina, dan ramai yang mengadu sebab sakit sendi dan sakit belakang.

Mereka pun hilang keinginan dan nafsu untuk membuat hubungan kelamin, walaupun tak pernah bersunat. Rawatan sedikit hormon androgen untuk mereka telah terbukti membantu meningkatkan keinginan untuk membuat hubungan kelamin.

Masalah yang sebenarnya ialah lebih ramai perempuan mengadu tak ada nafsu, bukan terlalu banyak nafsu, walaupun mereka tak pernah bersunat. Lebih banyak rawatan dan terapi yang kita perlu berikan untuk perempuan yang ada HSDD, bukan sebaliknya.

Tetapi ramai perempuan hanya berdiam diri dan tak datang meminta bantuan atau terapi bila ada HSDD sebab mereka sangka mereka tidak normal dan tiada kesedaran yang mereka boleh dapat terapi jika kita cari apakah sebab-sebab atau punca disebaliknya.

Jika awak kata awak nak semua perempuan bersunat untuk mengawal nafsu mereka, awak dah buat palatau. Awak tak tahu pun apakah masalah perempuan yang sebenarnya.

Masalah terlalu banyak nafsu sampai tak boleh kawal ini bukan masalah kebanyakan orang perempuan dan ini bukan pun sebabnya bersunat di dalam Islam.

Tak ada langsung bukti saintifik atau bukti perubatan dan tak ada pun bukti di dalam Al-Quran, nas, dalil atau hadith yang menyatakan kalau orang perempuan tak bersunat nanti tak boleh kawal nafsu.

Hukum-hukum Islam tentang bersunat untuk wanita dari Mufti-Mufti tiada kaitan pun dengan tujuan nak mengawal nafsu perempuan. Jadi toksah dok buat palatau.

Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat untuk anda.” -11-

BAB 6: KHATAN DAN MAZHAB MALAYSIA

Imam al-Syafie antara yang mewajibkan khatan bagi wanita, namun ada syafieyyah (pengikut mazhab al-Syafie) dan pendapat mazhab lain menyatakan wanita tidak wajib khatan.

Sebenarnya di Malaysia banyak hal kita tidak menggunakan pendapat imam al-Syafie (150-204 hijrah), misalan dalam muamalat jual beli, azan sekali bagi solat Jumaat, hal jual beli, membayar zakat mesti makanan asasi, pahala dikirim kepada si mati tidak sampai dan pelbagai lagi telah berevolusi dari pendapat al-Syafie kepada pendapat lain.

Maka usahlah kata kita hanya fatwa menurut mazhab Syafie, kerana banyak hal jika diteliti tidak begitu. Dan bab khatan wanita merupakan salah satu daripanya yang wajar kita pertimbangkan untuk mengambil pendapat lain.

BAB 7: KESIMPULAN

Dapat dirumuskan bahawa tiada arahan jelas kewajipan khatan wanita dan lebih jelas bahawa tiada satu hadis sahih menjadi sandaran khatan wanita mengurangkan nafsu.

Jika khatan mengurangkan nafsu, bagaimana wanita tidak khatan (termasuk wanita kafir), apakah mereka begitu hebat bernafsu atau menjalani kehidupan normal seperti wanita lain?

Bersama kita lepaskan pautan pada mitos tanpa sandaran dari hadis, bahkan tiada kesepakatan pembuktian secara saintifik.

_____________________________________

1. Kamus Dewan
2. Al-Kafi li al-Fatawi
3. Hadis riwayat Abu Daud
4. Ibid
5. Fiqh Sunah
6. Fath al-Bari
7. Fiqh al-Islam wa al-Dillatuha
8. Himpunan-Fatwa-Negeri/136
9. Berita Harian, 16 March 2019
10. Vol 3, No1, July 2021
11. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10159120882871659&id=679746658&mibextid=Nif5oz

Editor: Loha
12 Jamadilakhir 1445

Pelawat: 2615
Hari ini: 2
Jumlah: 221271

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X