KHATIB LUPA DUDUK, KITA KENA QADHO’?
- 22/09/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Fiqh, Hadis, Ibadah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama
Dalam kitab fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa duduk antara dua khutbah adalah rukun.
“Ketika membaca khutbah, khatib hendaklah berdiri jika mampu. Di antara kedua-dua khutbah tersebut hendaklah diselangi dengan duduk.” -1-
Imam al-Nawawi turut menyatakan wajib duduk antara dua khutbah, dengan katanya:
وأما الجلوس بينهما فواجب بالاتفاق ، وتجب الطمأنينة فيه ، صرح به إمام الحرمين وآخرون
Maksudnya: “Adapun duduk di antara dua khutbah Jumaat, maka hukumnya wajib menurut kesepakatan para ulama’, dan wajib thuma’ninah di dalamnya. Hal ini sebagaimana telah ditegaskan oleh Imam Haramain dan ulama lainnya.” -2-
Masyhur suatu pendapat di nusantara ini, bilamana khatib lupa duduk antara dua khutbah, maka dianggap solat Jumaat hari itu tidak sah, bahkan semua imam dan jemaah perlu qadho’ solat Zohor.
Pendapat ini bukanlah salah tapi kurang tepat jika diteliti dari aspek nas serta praktikal. Terdapat dua sebab solat Jumaat masih sah walaupun tanpa dua khutbah.
Pertama, kerana majoriti ulama berpendapat bahawa hanya sunat sahaja ada dua khutbah.
Kedua, orang masbuk yang tak dengar khutbah langsung, solatnya masih sah, jadi yang dengar tak cukup rukun menurut mazhab al-Syafie tentu lebih sah.
Jumhur ulama beranggapan bahawa duduk antara dua khutbah bukanlah wajib. Ini sebagaimana dinyatakan:
اختلف العلماء في حكم جلوس الخطيب بين الخطبتين في الجمعة ، وذلك على قولين : القول الأول : أن الجلوس بين الخطبتين سنة ، وهو مذهب الجمهور .القول الثاني : أن الجلوس بين الخطبتين شرط لصحة الخطبة ، وهو المذهب عند الشافعية .
Maksudnya: “Terdapat dua pendapat mengenai hukum duduk antara dua khutbah, pendapat majoriti ulama menyatakan ianya sunat. Pendapat kedua ialah dari mazhab Syafie yang menganggap ianya syarat sah khutbah.” -3 –
Untuk kes khusus khatib lupa, ada dinyatakan oleh Sulaymān Ibn Khalaf al-Bājī katanya:
لا خلاف أن من سنة الخطبة أن تفصل على خطبتين، فإن ترك الإمام الثانية لانحصار أو نسيان أو حدث وصلى غيره أجز أهم،
Maksudnya: “Tiada perbezaan pendapat, bahawa disunatkan ada dua khutbah namun sekiranya khutbah kedua ditinggalkan kerana diringkaskan atau terlupa atau berhadas dan terus solat (tanpa khutbah kedua) maka tidak mengapa (solatnya sah).” -4-
Selain sebab solat sah walau tanpa dua khutbah menurut jumhur, solat juga sah kepada jemaah masbuk. Nabi SAW:
مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat (solat Jumaat dan lain-lain) maka dia mendapat solat itu.” -5-
Kitab fiqh mazhab al-Syafie menyebut: “Sesungguhnya dikira dapat berjemaah dalam solat Jumaat dengan dapat sekurang-kurangnya satu rakaat penuh. Oleh itu, sekiranya dapat satu rakaat sahaja maka Jumaatnya sah.” -6-
Dr. Zulkifli al-Bakri berkata: “Kami katakan jika kamu luput dari mendengar khutbah atau sebahagiannya selama mana kamu berada dan sempat dengan imam satu rakaat atau lebih, maka dikira sah Jumaat kamu.
Jika sekiranya kamu sempat satu rakaat sahaja maka hendaklah kamu tambah satu rakaat lagi selepas imam memberi salam dan kamu dianggap masih sempurna Jumaat dan mendapat Jumaat. Inilah pendapat jumhur berdasarkan kepada dalil.” -7-
Jika seseorang yang tidak dengar langsung khutbah atau hanya dengar sebahagian, solat Jumaatnya masih sah, maka yang dengar khutbah namun tak cukup rukun tentu lebih untuk dinyatakan sah solatnya.
Tidak salah bermazhab tapi jangan salah dalam bermazhab. Begitu banyak hal yang masyarakat tidal ikuti mazhab al-Syafie, lalu bab ini kenapa perlu begitu ‘rigid’?
Azan solat Jumaat, imam al-Syafie lebih suka dilakukan sekali, tapi apa yang kita buat? Malam Jumaat disunatkan membaca surah al-Kahfi oleh imam al-Syafie dan tokoh syafieyyah bahkan dalam al-Muktamad, tapi apa yang kita baca?
Sebelum kata orang lain tidak bermazhab, cerminkan diri apakah kita bermazhab dengan benar atau hanya ikut-ikutan. Bab fekah begitu luas, maka pilihlah yang relevan dan selari nas, bukan dalam lokap berpintu tanpa direka atas mazhab saja.
____________________
1. Fiqh al-Manhaji
2. Majmu’ Syarh al-Muhazzab
3. Al-Mausu’ah al-Fiqiyyah
4. Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’
5. HR al-Bukhari & Muslim
6. Fiqh al-Manhaji
7. https://maktabahalbakri.com/2785-solat-jumaat-lewat/ (dengan sedikit pengadaptasian)
Editor: Loha
17 Rabiulawwal 1446H