KONTROVERSI HADIS 40, HADIS AJAR MEMBUNUH?

25 Views

KONTROVESI HADIS 40
(Hadis Ajar Membunuh?)

Pelajaran hadis 40 adalah untuk memberi kefahaman agama yang lebih baik, selain tidak menjadi sentimen, pertelagahan atau permusuhan sebaliknya mengangkat darjat dengan ihsan dan kasih sayang.

Semua itu perlu mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada Al-Quran dan kupasan ulama muktabar. Supaya generasi akan datang tidak mewarisi kejahilan sebahagian Muslim hari ini mengenai hadis Nabi SAW.

Polemik hadis 40 dicetuskan oleh ketidaktahuan orang kafir dan ketidakfahaman Muslim. Hingga mengambarkan bahawa hadis Nabi SAW mengajar membunuh manusia. Hadis yang dimaksudkan ialah hadis ke-8 dalam Arba’in al-Nawawi, iaitu:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدَاً رَسُوْلُ اللهِ وَيُقِيْمُوْا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءهَمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلامِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالَى. رواه البخاري ومسلم

Ibnu Umar radiallahu anhuma meriwayatkan bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Aku diperintahkan untuk memerangi (mereka yang memerangi Islam) hingga mereka bersyadahah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah dan mereka mendirikan solat serta memberikan zakat. Apabila mereka melakukannya maka mereka telah melindungi darah dan harta mereka dariku, kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka (hisab) di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.” (HR. Al- Bukhari dan Muslim)

Salah faham hadis ini bukanlah suatu yang baru, bahkan hanyalah idea kitar semula, ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Rejab al-Hanbali yang turut memberi peringatan tentang salah faham hadis ini oleh sebahagian orang dengan katanya:

“Sebahagian orang menduga bahawa makna hadis di atas ialah bahawa orang kafir diperangi hingga mengucapkan dua kalimat syahadah, mendirikan solat, dan membayar zakat. Kemudian mereka menjadikan hadis tersebut sebagai alasan untuk menjadikan orang-orang kafir mengerjakan cabang-cabang ajaran Islam. Pemahaman seperti itu tidak benar, kerana sirah (perjalanan hidup) Nabi dalam memerangi orang-orang kafir menunjukkan hal yang menyalahi perkara tersebut.” (Jami’ al-‘Ulum wa al-Hakim)

1. MEMAHAMI BAB DAN PENYUSUNAN

Seni imam al-Nawawi dalam struktur penyusunan hadis amat menarik, iaitu hadis hadis ke-7 mengajarkan mengenai nasihat sedang hadis ke-8 pula berkaitan peperangan.

Susunan kedua hadis ini selari dengan “Tingkatan-tingkatan peperangan. Iaitu dimulai dengan dakwah, jizyah dan barulah peperangan.” (Fiqh al-Manhaji)

Oleh itu, didahului nasihat dan seterusnya sebelum ke peringkat lain.

“Sebelum peperangan dilancarkan, mereka perlu diperkenalkan dengan Islam dan dijelaskan tentang Islam yang sebenar. Malah segala salah faham mereka perlu diperbetulkan.

Walau bagaimanapun, setelah segala hujah dikemukakan dan mereka masih mempertahankan kekufuran mereka, ini sudah cukup sebagai alasan untuk memerangi mereka.”

Bukanlah semua orang kafir diperangi, kerana “Orang kafir itu bukan kafir musta’min (kafir harbi yang meminta dan diberikan perlindungan), mu’ahad (kafir harbi yang terikat dengan perjanjian damai) atau ahli zimmah (rakyat bukan Islam dalam negara Islam).” (Fiqh al-Manhaji)

2. KEPENTINGAN ASBABUL WURUD

Asbab al-Wurud (sebab disabdakan) hadis ke-8 adalah sewaktu perang Khaibar, secara ringkas kisahnya, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَأُعْطِيَنَّ هَذِهِ الرَّايَةَ رَجُلًا يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَى يَدَيْهِ

Maksudnya: “Sungguh aku akan menyerahkan bendera ini kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan rasul-Nya, dan Allah akan memberikan kemenangan dengan tangannya.”

Kemudian Rasulullah ﷺ memanggil Ali bin Abi Thalib dan beliau memberikan bendera itu kepadanya seraya berkata:

امْشِ وَلَا تَلْتَفِتْ حَتَّى يَفْتَحَ اللَّهُ عَلَيْكَ

Maksudnya: “Berangkatlah dan janganlah kamu menoleh ke belakang hingga Allah memenangkanmu.”

Kemudian Ali berjalan lalu berhenti dengan tidak menoleh ke belakang ia berteriak: ‘Wahai Rasulullah, atas dasar apa aku memerangi manusia?’ Beliau menjawab:

قَاتِلْهُمْ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ فَقَدْ مَنَعُوا مِنْكَ دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: “Perangilah mereka hingga mereka mahu bersaksi bahawa tiada Ilah kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka telah melaksanakan hal itu bererti mereka telah mencegahmu untuk menumpahkan darah mereka dan mengambil harta mereka kecuali yang menjadi haknya (Islam) sedang hisab (perhitungan) mereka ada di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Jelas hadis ini disabdakan dalam situasi peperangan, bukan situasi aman. Maka hadis itu perlu difahami sesuai konteks semasa ia disabdakan.

3. MUKJIZAT LUGHAWI

Mukjizat lughawi atau keindahan pada pemilihan perkataan. Penting untuk mengetahui makna perkataan sebelum menghurai perkataan itu.

Al-Khatib menukil bahawa Hammad bin Salamah berkata:

مَثَلُ الذي يطلب الحديث ولا يعرفُ النَّحْوَ، مَثَلُ الحِمَارِ عليه مِخْلاةٌ.

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang mencari hadis tetapi tidak mengetahui nahunya (tatabahasa Arab) ibarat keldai yang ada membawa muatan.” (Taisir Mustholah al-Hadis)

Menterjemahkan secara silap akan mendorong memahami secara salah.

Perkataan (أُقَاتِلَ) adalah berbeza dengan perkataan (قتل). Jika (قتل) ia membawa bunuh, sedang (أُقَاتِلَ) atas ‘wazan’ (فَاعِلَ), iaitu (قَاتَلَ – يُقَاتِلُ) yang menbawa maksud “berperang”.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin berkata: “Muqatalah ialah upaya dalam berjihad melawan musuh sehingga kalimat Allah menjadi tinggi (mulia). Sedangkan al-qatlu adalah perbuatan membunuh seseorang.” (Syarah al-‘Arba’in al-Nawawi)

Kenyataan diatas turut disokong oleh Ibn al-Daqiq al-‘Id, katanya:

“Diperbolehkan memerangi (golongan tersebut), bukan bererti diperbolehkan membunuh mereka. Karena bentuk “muqaatalah” berasal dari wazn (pola) “mufaa’alah” yang mengharuskan adanya interaksi dari kedua pihak, sedangkan dalam al qatlu (membunuh) tidak seperti itu.” (Fath al-Bari)

4. TAFSIR DENGAN AL-QURAN

Terjemahan (أُقَاتِلَ) dengan makna “perang” adalah selari dengan ayat-ayat al-Quran, yang apabila menyebut lafaz (قَاتَلَ) mesti dalam situasi peperangan. Sebaliknya perkataan (قتل) akan menunjukkan pembunuhan secara umum.

Contohnya firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 190:

{وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190)

Maksudnya: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, (tetapi) janganlah kalian melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Imam Ibn al-Katsir menafsirkan ayat ini dengan katanya:

هَذِهِ أَوَّلُ آيَةٍ نَزَلَتْ فِي الْقِتَالِ بِالْمَدِينَةِ، فَلَمَّا نَزَلَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يُقَاتِلُ مَنْ قَاتَلَهُ، وَيَكُفُّ عَمَّن كَفَّ عَنْهُ

Maksudnya: “Ayat ini merupakan ayat perang pertama yang diturunkan di Madinah. Setelah ayat ini diturunkan, maka Rasulullah SAW memerangi orang-orang yang memerangi dirinya dan membiarkan (tidak perang dengan) orang-orang yang tidak memeranginya.” (Tafsir al-Quran al-‘Adzhim)

Maka perkataan (وَقَاتِلُوا) dalam ayat ini dan perkataan (أُقَاتِلَ) atas ‘wazan’ yang sama dengan situasi yang sama iaitu konteks peperangan sahaja bukan saja-saja.

5. MENJELAJAH SIRAH MEMAHAMI MAKNA

Dalam sirah jelas terbukti bahawa Abu Thalib yang bukan beragama Islam tidak pernah diancam untuk dibunuh, atau dipaksa menjadi muslim. Bahkan semasa Islam berkuasa tidak walau sekali Abu Thalib diancam untuk dibunuh sama sekali.

Terdapat juga orang kafir hidup sekitar Nabi SAW dan mereka tidak dibunuh bahkan Nabi SAW pernah pinjam baju besi dari orang kafir.

Islam tidak pernah memaksa orang masuk Islam dengan ugutan membunuh, bahkan ada larangan membunuh orang kafir, sabda Nabi SAW:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya: “Siapa yang membunuh orang kafir muahid (orang kafir yang terikat perjanjian dengan negeri Islam) maka dia tidak akan mencium bau syurga padahal bau syurga itu dapat dirasakan dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, sesiapa mendakwa bahawa hadis itu membawa makna membunuh, bermaksud orang itu telah salah faham hadis, kerana manusia yang sabdakan (Nabi SAW) dan para sahabat tidak pernah faham sebegitu.

Firman Allah yang sering terlepas pandang ialah Surah Al-Maidah ayat 32:

{ مِنۡ أَجۡلِ ذَ ٰ⁠لِكَ كَتَبۡنَا عَلَىٰ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ أَنَّهُۥ مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَیۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادࣲ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِیعࣰا وَمَنۡ أَحۡیَاهَا فَكَأَنَّمَاۤ أَحۡیَا ٱلنَّاسَ جَمِیعࣰاۚ وَلَقَدۡ جَاۤءَتۡهُمۡ رُسُلُنَا بِٱلۡبَیِّنَـٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنۡهُم بَعۡدَ ذَ ٰ⁠لِكَ فِی ٱلۡأَرۡضِ لَمُسۡرِفُونَ }

Maksudnya: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; Kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”

6. BERHENTI BILA MUSUH MULA MENGUCAP

Perkataan (النَّاسَ) di sini bukanlah manusia secara am, sebaliknya khusus kepada “orang-orang musyrikin dan penyembah-penyembah berhala.” (Al-Wafi Syarah Arbain al-Nawawi)

Perlu diingati walau dalam peperangan ‘kill or to be killed’, tapi pihak musuh mengucap yakni masuk agama Islam, maka kita tidak boleh membunuhnya, walaupun sebelum itu dia cuba membunuh kita.

Dan seandainya membunuh juga musuh yang mengucap kalimah syahadah, kita dikira berdosa.

Ini sebagaimana terjadi dalam satu ekspedisi peperangan di mana Usamah bin Zaid diutuskan dalam suatu pasukan ke daerah Juhainah.

Kemudian Usamah bin Zaid berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut lalu mengucakan LAA ILAAHA ILLAALLAHU (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah). Kejadian tersebut aku ceritakan kepada Rasulullah. Rasulullah lalu bertanya: ‘Kenapa kamu membunuh orang yang telah mengucapkan Laa Ilaaha Illaahu?’ Aku (Usamah bin Zaid) menjawab:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا قَالَهَا خَوْفًا مِنْ السِّلَاحِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian kerana takutkan ayunan pedang.”

Rasulullah bersabda lagi:

أَفَلَا شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لَا

Maksudnya: “Sudahkah kamu membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan kalimah syahadah atau tidak?”

Rasulullah terus mengulangi pertanyaan itu kepadaku hingga menyebabkan aku berandai-andai bahawa aku baru masuk Islam saat itu.” (HR Muslim)

Imam al-Nawawi meletak bab “Haramnya membunuh orang yang telah mengucapkan syahadah” kemudian beliau menukil kata-kata Al-Khattabi menghuraikan makna hadis ini dengan katanya:

فيه من الفقه أن الكافر إذا تكلم بالشهادة وإن لم يصف الإيمان وجب الكف عنه والوقوف عن قتله سواء أكان بعد القدرة أم قبلها

Maksudnya: “Terdapat hukum fiqh di dalam hadis ini, iaitu bahawa jika seorang kafir bersyahadah, walaupun dia tidak jujur iman (dalam hati), maka mesti berhenti daripada membunuhnya, sama ada selepas berkuasa atau sebelum itu.” (Syarah Sahih Muslim)

Ketahuilah bahawasanya Islam bukan agama membunuh, bahkan dalam keadaan berperang sekalipun dilarang bunuh musuh bila musuh telah mengucap syahadah (masuk Islam).

7. KESIMPULAN

Jelas lagi bersuluh, maka jangan tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket. Kerana tiada ilmu, teks hadis pula dipersalahkan.

Oleh kerana wujud salah faham dari kalangan Islam dan kafir, maka dirasakan lebih wajar diajarkan seawal zaman persekolahan mengenai hadis 40 ini.

Dengan mewujudkan pengajian hadis 40 ini, akan dapat meningkatkan fahaman Islam agar tidak menjadi generasi yang dangkal ilmu serta mengelak dieksploitasi oleh golongan penunggang agama.

Editor: Loha
16 Rabiulakhir 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *