MAKAN BILA LAPAR, BERHENTI SEBELUM KENYANG?
- 15/02/2024
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Dakwah, Hadis, Ibadah, Keluarga, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama, Sunnah
Dalam hal, berhenti makan sebelum kenyang, terdapat banyak hadis yang tidak sahih, salah satunya ialah:
نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع
Maksudnya: “Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.”
Hadis ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis yang popular, sebaliknya ia hanya dinukil dari sebahagian kitab tafsir.
Sarjana hadis era-20an, iaitu Syaikh Nashiruddin al-Albani memberi komentar terhadap hadis ini dengan katanya:
هذا القول الذي نسبه إلى النبي صلى الله عليه وسلم لا أصل
Maksudnya: “Hadis ini jika dinisbahkan kepada Nabi SAW, maka ia tidak memiliki dasarnya.” (Silsilah al-Hadis al-Shahihah)
Fatwa Lajnah al-Da’imah juga menafikan kesahihan hadis ini:
هذا اللفظ المذكور ليس حديثا فيما نعلم
Maksudnya: “Lafaz ini terkenal, namun setahu kami ia bukanlah hadis (Nabi).” (Fatwa Lajnah al-Da’imah)
Kebanyakan riwayat yang tidak sahih lebih masyhur berbanding riwayat yang sahih. Riwayat sahih menyatakan para sahabat Nabi SAW makan sehingga berasa kenyang.
Bahkan Imam al-Bukhari membuat judul dalam kitabnya:
(باب من أكل حتى شبع)
Maksudnya: “Bab Orang Makan Sehingga Kenyang”
Kemudian meriwayatkan kisah Abu Talhah yang menjemput Nabi SAW makan di rumahnya, kemudian Rasulullah SAW menjemput sekitar 70 atau 80 orang sahabat datang makan bersama di rumah Abu Talhah. Rasulullah SAW sabda kepada mereka semua:
ائْذَنْ لِعَشَرَةٍ فَأَذِنَ لَهُمْ فَأَكَلُوا حَتَّى شَبِعُوا ثُمَّ خَرَجُوا
Maksudnya: “Jemputlah sepuluh orang masuk, lalu mereka makan sehingga kenyang, setelah itu baru mereka pulang.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Maka 10 demi 10 masuk makan hingga kenyang, sehingga selesai 70 orang itu makan sampai kenyang.
Selain hadis di atas, dalil makan sehingga kenyang juga hadis dari Abu Hurairah berikut:
اقْعُدْ فَاشْرَبْ فَقَعَدْتُ فَشَرِبْتُ فَقَالَ اشْرَبْ فَشَرِبْتُ فَمَا زَالَ يَقُولُ اشْرَبْ حَتَّى قُلْتُ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أَجِدُ لَهُ مَسْلَكًا
Maksudnya: “Duduk dan minumlah.’ Lalu aku (Abu Hurairah) duduk dan minum, beliau bersabda kepadaku; ‘Minumlah.’ Lalu aku minum lagi dan beliau terus menyuruh aku untuk minum, hingga aku berkata; ‘Tidak, demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku sudah tidak sanggup lagi (kerana kekenyangan).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini dan hadis-hadis semisalnya yang menceritakan bahawa para sahabat Nabi SAW pernah makan sehingga kenyang. Berkata Ibn al-Battal:
فِي هَذِهِ الْأَحَادِيث جَوَاز الشِّبَع وَأَنَّ تَرْكه أَحْيَانَا أَفْضَل
Maksudnya: “Dalam hadis ini mengandungi hukum keharusan makan sehingga kenyang, namun ada kalanya tidak makan sehingga kenyang adalah lebih utama.” (Fath al-Bari)
Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Diharuskan kenyang walau sampai ke tahap terlalu kenyang dan perbuatan makan atau minum sehingga kenyang diharuskan terkadang, namun tidak digalakkan selalu berbuat demikian kerana boleh menyebabkan kita malas beribadah.” (Ibid)
Pensyarah sahih al-Bukhari iaitu Al-Qastallani berkata:
“Larangan makan hingga kenyang ialah, kekenyangan yang memberatkan kita untuk beribadah.” (Irshad al-Sari)
Kita diharuskan makan sehingga kenyang, namun jangan sehingga sengkak atau terlalu kenyang. Perubatan moden juga senada dalam hal ini. Dinyatakan dalam akhbar:
“Makan ketika perut berasa sedikit kenyang atau sangat kenyang meningkatkan risiko obesiti dan serangan pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan kegemukan seperti darah tinggi, kencing manis serta serangan jantung.
Bagaimanapun, makan ketika perut lapar atau sangat lapar hingga hampir pengsan akibat kelaparan juga tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan seseorang cenderung untuk makan dalam kuantiti berlebihan.
Sebaliknya, masa sesuai untuk makan adalah ketika perut berasa sedikit lapar atau neutral iaitu tidak terlalu lapar dan tidak terlalu kenyang.” (https://www.bharian.com.my)
Imam Ibn al-Qayyim juga menulis beberapa panduan makan termasuk hal berkaitan waktu makan dan sebagainya dalam kitab beliau Zaad al-Maad.
Walau tidak haram makan sehingga terlalu kenyang, tapi terdapat anjuran agar makan 1/3 saja dari perut. Seperti sabda Nabi SAW:
ما ملأ آدميٌّ وعاءً شرًّا من بطن، بحسب ابن آدم أكلات يُقمن صلبَه، فإن كان لا محالة، فثُلثٌ لطعامه، وثلثٌ لشرابه، وثلثٌ لنفَسِه
Maksudnya: “Tidak ada tempat yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia itu beberapa makanan yang sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya, kecuali jika dia tidak dapat mengelakkannya maka hendaklah dia membahagikan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk nafasnya.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas, dengan katanya:
“Larangan kekenyangan dimaksudkan adalah kekenyangan yang membuat penuh perut dan membuat orangnya berat untuk melaksanakan ibadah dan membuat angkuh, bernafsu, banyak tidur dan malas. Boleh jadi hukumnya berubah dari makruh menjadi haram sesuai dengan kesan buruk yang ditimbulkan.” (Fath al-Bari).
Cantik rumusan Shaikh Ibn al-Baz (mantan mufti Arab Saudi) mengenai hadis “Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang”, kata beliau:
هذا المعنى صحيح لكن السند فيه ضعيف. وهذا يدل على جواز الشبع وجواز الري، لكن من غير مضرة.
Maksudnya: “Makna hadis ini benar, namun sanadnya dhaif. (Perbuatan-perbuatan Nabi) menjadi dalil diharuskan makan sehingga kenyang, tapi janganlah kenyang sehingga mudaratkan diri.” (Majmu al-Fatawa Ibn al-Baz)
Kesimpulan, hadis “makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang” adalah tidak sahih dinisbahkan kepada Nabi SAW, oleh itu janganlah ia dinisbahkan kepada Nabi SAW.
Namun ia mengandungi makna yang baik, yang diiktiraf doktor perubatan mahupun sarjana di kalangan agamawan. Oleh itu kita dianjurkan tidak makan hingga terlalu kenyang, sebaliknya cuba makan sekadar perlu.
Ingatlah makan untuk hidup, bukan hidup ini hanya untuk makan sahaja. Jangan bagai lukah, tak penuh air.
Editor: Loha
5 Syaaban 1445H