MEMANDANG WAJAH GURU LEBIH BAIK DARI SEDEKAH SERIBU KUDA?

MEMANDANG WAJAH GURU LEBIH BAIK DARI SEDEKAH SERIBU KUDA?

Sebahagian ustaz/ustazah selebriti bukan wajar direhatkan, tapi lebih aman jika “ditidurkan.” Agar tidak diwarisi nista terhadap Rasul yang dikasihi.

Hadis-hadis palsu direka atas pelbagai tujuan, peniaga buah mungkin reka hadis kelebihan buah agar laris jualannya.

Penjual agama mungkin reka hadis agar dirinya sentiasa disanjungi dan mudah memperolok-olokkan anak muridnya.

Antara lafaz hadis mengagungkan guru yang melampau ialah:

ونظرك إلى وجه العالم خير لك من ألف فرس تصدقت بها فى سبيل الله

Maksudnya: “Memandangmu kepada orang alim itu lebih baik bagimu daripada 1000 kuda yang engkau sedekahkan di jalan Allah.”

Hadis ini ada beberapa lafaz yang mirip dan ada yang panjang.

Di Nusantara, mungkin rujukan masyhur hadis ini adalah dari kitab Tanqihul Qaul al-Hadis, karya al-Nawawi al-Bantani.

Dan sumber asal hadis ini adalah dari kitab al-Lubab al-Hadis, kitab ini disandarkan kepada imam al-Suyuthi. Namun ia dinukil tanpa sanad serta musykil apakah benar ia karya al-Suyuthi atau tidak.

Selain ia tiada sanad, hadis berkenaan juga tidak terdapat dalam mana-mana kitab himpunan hadis yang masyhur.

Bahkan sebahagian sarjana menghukum hadis tersebut adalah palsu. Syeikh Abdul Latif bin Abdur Rahman Alu Syaikh berkata:

فهذه الآثار ونحوها ليست بشيء عند أهل العلم بالحديث، ولا يحتج بها ويعول عليها من له أدنى تمييز وممارسة; وإنما يلتفت إليها، ويحكيها أهل الجهالة والسفاهة، من القصاصين والكذابين; وأما أهل العلم والدين، فبمجرد النظر إليها، والوقوف عليها، يعرفون أنها من الأخبار الموضوعة المكذوبة، التي لا تروج إلا على سفهاء الأحلام، وأشباه الأنعام. (الإتحاف فى الرد على الصحاف)

Maksudnya: “Maka riwayat-riwayat ini dan yang seumpamanya bukanlah sesuatu yang diterima oleh ahli ilmu hadis, dan tidak dijadikan hujjah dan sandaran oleh sesiapa yang mempunyai sedikit pengetahuan dan pengalaman.

Sebaliknya, hanya diambil dan diceritakan oleh orang-orang jahil dan bodoh, dari kalangan pencerita dan pendusta.

Adapun ahli ilmu dan agama, dengan sekadar melihatnya, dan memperhatikannya, mereka mengetahui bahawa ia adalah dari berita-berita palsu yang direka-reka, yang tidak diterima kecuali oleh orang-orang yang lemah akal seumpama haiwan ternak.”

Bahkan lafaznya juga telah berbau palsu. Kerana menganjurkan pahala yang berlebihan pada perkara yang tidak seberapa. Ini sebagaimana keadah digariskan mengenal pasti hadis palsu oleh Ibn al-Qayyim dalam Manar al-Munir.

Jika pahala memandang wajah guru lebih baik dari sedekah, rugilah sedekah para sahabat, lebih baik mereka tatap wajah Nabi SAW sahaja.

Ini tidak lain hanyalah ingin mengangkat guru lebih dari kadar yang sepatutnya. Dari belajar kepada “ala-ala menyembah”, barulah mudah anak murid “diperkuda” oleh guru.

Andai anda ingin meriwayatkan juga hadis berkenaan atau masih ingin tegakkan benang basah menyatakan hadis itu sahih, anda perlu kemukakan sanad dan rujukan lengkap. Jika tiada, maka lebih baik adakan taubat buat diri sendiri.

Mungkinkah selebriti yang menukilkan hadis berkenaan telah habis baca, amal dan sebar semua hadis sahih, sebab itu mencari hadis yang tidak sahih pula?

Jika cari guru, janganlah cari yang kencing berdiri. Contohnya guru yang sebut “Nabi buat kenduri dengan roti jala cicah kuah kari”, maka bagaimana diharap anak murid itu kencing? Tentulah lebih kencang bohongnya pada Nabi SAW. Mana mungkin ketam ajar anaknya jalan lurus!

Wallahualam.

Editor: Loha
7 Zulhijjah 1445H

Pelawat: 114
Hari ini: 2
Jumlah: 336560

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X