MENGURUS URI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
- 03/11/2023
- admin
- Comment: 0
- Aqidah, Dakwah, Ibadah, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama, Sunnah
Uri, tembuni atau plasenta, dalam bahasa Arab disebut al-masyimah (المشيمة) atau al-khalas (الخلاص).
Ini semua merujuk kepada satu “organ dalam rahim yang membekalkan makanan dan oksigen pada bayi dalam kandungan, dan keluar sesudah (atau bersama) bayi dilahirkan.” -1-
Di nusantara terdapat pelbagai ritual pelik menguruskan uri ini dengan kepercayaan khurafat.
Menangguk di air keruh, itulah sikap sebahagian manusia yang mengeksploitasi kepercayaan mitos masyarakat dengan menjual set mengurus uri dan sebagainya.
Perkara ini turut disuarakan oleh Dr Fitri Haris dari Universiti Utara Malaysia, yang berkata:
“Ada juga segelintir daripada masyarakat Islam menggunakan uri untuk membuat perkara-perkara khurafat contohnya tanam uri dengan letak garam, letak buku dan rebus serta sebagainya supaya anak pandai. Itu semua khurafat. Jangan buat perkara-perkara yang tidak berfaedah.” -2-
Hadis berkaitan uri iaitu apa diriwayatkan oleh Aisyah RA, ia berkata bahawa:
كان يأمر بدفن سبعة أشياء من الإنسان الشعر والظفر والدم والحيضة والسن والعلقة والمشيمة
Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan untuk mengubur tujuh perkara dari potongan badan manusia, iaitu; rambut, kuku, darah, haid, gigi, gumpalan darah, dan uri.”
Hadis ini disebutkan dalam Kanzul Ummal dan al-Suyuthi dalam al-Jami al-Shagir dari al-Mustadrak al-Hakim.
Mengenai kedudukan hadis ini, al-Munawi dalam syarahnya memberi komentar terhadap hadis ini dengan katanya:
وظاهر صنيع المصنف أن الحكيم خرجه بسنده كعادة المحدثين، وليس كذلك، بل قال: وعن عائشة، فساقه بدون سند كما رأيته في كتابه ” النوادر “، فلينظر
Maksudnya: “Secara zahirnya yang dilakukan penulis (al-Suyuthi) bahwa al-Hakim meriwayatkan hadis ini dengan sanadnya sebagaimana kebiasaan ahli hadis. Namun kenyataannya tidak demikian. Sebaliknya, beliau hanya mengatakan, “..dari Aisyah”, kemudian al-Hakim membawakannya tanpa sanad.” -3 –
Ini bererti hadis tersebut tidak memenuhi syarat hadis sahih, bahkan hadis ini dihukum dhaif dan mungkar oleh al-Albani, yang berkata:
“Para ulama menilai hadis ini sebagai hadis dhaif, sehingga tidak boleh dijadikan sebagai dalil.” -4-
Hadis dhaif tidak dijadikan landasan hukum, sebagaimana dikatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili:
“Wajib mematuhi Rasulullah SAW pada sunnahnya, dan sunnah itu perlu sahih, maka wajib mentaatinya, tidak perlu taat pada sunnah yang tidak sahih.” -5-
Andai hadis tersebut sahih sekalipun, ia bukanlah arahan wajib dan tiada pula tatacara mencucinya dengan air asam atau menanam dengan paku atau sebagainya.
Dan jika masih hendak berdalilkan hadis itu, maka darah haid juga wajar ditanam, maka apakah tuala wanita ditanam atau hanya dibuang? Ternyata setiap bulan kita tidak amalkan hadis terbabit, oleh itu tak wajar hanya amal ketika kelahiran.
Dalam lembaran sirah, kita dapati bahawa Nabi Muhammad memiliki 7 orang anak, para sahabat ramai juga melahirkan anak di Mekkah atau di Madinah.
Dan antara sahabat Nabi yang ramai anak ialah Anas bin Malik, zuriatnya mencapai 120 orang. Namun tiada walau satu rekod Anas bin Malik mencuci dan menanam uri.
Seandainya menguburkan uri, mandikan uri adalah penting, tentu amalan itu hal itu diriwayatkan dalam amalan Nabi SAW atau sahabat radiallahu anhum, namun tiada walau satu.
Sebahagian kitab fiqh menyatakan hukum berkaitan uri, seperti apa disebut oleh Khatib al-Syarbini, katanya:
( وَالْجُزْءُ الْمُنْفَصِلُ مِنْ ) الْحَيَوَانِ ( الْحَيِّ ) وَمَشِيمَتِهِ ( كَمَيْتَتِهِ ) أَيْ ذَلِكَ الْحَيِّ : إنْ طَاهِرًا فَطَاهِرٌ ، وَإِنْ نَجِسًا فَنَجِسٌ ، لِخَبَرِ { مَا قُطِعَ مِنْ حَيٍّ فَهُوَ مَيْتَةٌ }…، فَالْمُنْفَصِلُ مِنْ الْآدَمِيِّ أَوْ السَّمَكِ أَوْ الْجَرَادِ طَاهِرٌ ، وَمِنْ غَيْرِهَا نَجِسٌ ، وَسَوَاءٌ فِي الْمَشِيمَةِ وَهِيَ غِلَافُ الْوَلَدِ ، مَشِيمَةُ الْآدَمِيِّ وَغَيْرِهِ .
وَيُسَنُّ دَفْنُ مَا انْفَصَلَ مِنْ حَيٍّ لَمْ يَمُتْ حَالاًّ أَوْ مِمَّنْ شَكَّ فِي مَوْتِهِ كَيَدِ سَارِقٍ وَظُفْرٍ وَشَعْرٍ وَعَلَقَةٍ ، وَدَمِ نَحْوِ فَصْدٍ إكْرَامًا لِصَاحِبِهَا.
Maksudnya: “Dan bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup dan uri hukumnya sama seperti matinya iaitu jika haiwan tersebut suci waktu hidupnya maka ia dihukum suci, manakala sekiranya ia najis maka dihukumkan sebagai najis… Sama juga hukumnya dengan uri manusia… adapun anggota yang terpisah daripadanya setelah mati maka hukumnya adalah mengikut hukum matinya dengan tiada syak.
Dan dianjurkan mengubur anggota badan yang terpisah dari orang yang masih hidup dan tidak akan segera mati, atau dari orang yang masih diragukan kematiannya, seperti tangan pencuri, kuku, rambut, ‘alaqah (gumpalan darah), dan darah akibat goresan, demi menghormati orangnya.” -6-
Maksud dari kenyataan tersebut, uri haiwan adalah harus dan halal dimakan, sekiranya haiwan itu termasuk jenis yang halal dimakan. Sebaliknya jika ia haiwan haram dimakan, maka hukum makan urinya juga haram.
Adapun uri manusia, ia dihukum sama seperti tangan atau anggota manusia yang terpisah (putus atau sebagainya).
Imam al-Nawawi menghukum uri manusia adalah suci, namun uri bukanlah salah satu menu hidangan. Sama seperti tangan atau kaki manusia yang terpisah, ia ditanam atas dasar menghormati sahaja bukan kerana najis dan bukan pula untuk dijamu.
Adapun hukum makan uri adalah dilarang, Ibn Hajar al-Haitami yang berkata:
“Dan apa yang keluar dari bahagian batin faraj yang lebih dalam maka ia adalah najis (kecuali janin) secara pasti, seperti setiap apa yang keluar daripada batin seperti air yang keluar bersama dengan anak yang dilahir.” -7-
Sarjana Islam dan tokoh sains senada, “Kajian dilakukan Universiti Northwestern, England pada 2015 membuktikan bahawa perbuatan memakan uri tidak mendatangkan sebarang manfaat dari segi saintifik, namun trend itu terus popular.” -8-
Fatwa lebih jelas berkaitan hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Mufti Wilayah pada tahun 2019:
“Melakukan rawatan kosmetik dengan menggunakan plasenta manusia adalah diharamkan bagi mengelakkan amalan eksploitasi yang mencabul kemuliaan tubuh badan manusia.
Namun jika terdapat keperluan perubatan seperti bagi merawat penyakit, maka hukum merawat dengan menggunakan plasenta manusia adalah diharuskan kerana terdapat darurat dan hajat.” -9-
Sebagai rumusan dapat kita katakan bahawa tiada hadis sahih berkaitan pengurusan uri, dan tiada sahabat Nabi memberi tunjuk ajar dalam hal ini.
Maka urusan keduniaan ini kembali pada kita mengikut zaman tanpa melanggar syarak dan tidak pula terikat dengan mitos dan khurafat.
“Kepercayaan bahawa tidak membasuh uri boleh menyebabkan bayi mendapat jangkitan kudis adalah terkeluar daripada konsep tauhid dalam Islam. Malah, seseorang itu boleh terjerumus kepada mensyirikkan Allah kerana mempercayai perbuatan tersebut memberi mudarat kepada bayi.
Perbuatan membasuh uri merupakan sesuatu yang harus dalam Syarak kerana selari dengan tuntutan agar menjaga kebersihan. Namun, mempercayai bahawa bayi akan ditimpa mudarat akibat urinya tidak dibasuh adalah haram.
Kepercayaan bahawa menanam uri dengan asam dan garam menghindarkan bayi daripada gangguan makhluk halus yang menyebabkan bayi meragam dan terkena sawan juga bercanggah dengan parameter aqidah Islam. Malahan, kepercayaan ini mempunyai elemen khurafat yang ditolak dalam Islam.
Hal yang sama juga pada kepercayaan menanam uri dengan paku akan memberi semangat dan menjauhkan bayi daripada gangguan makhluk halus.
Kepercayaan terhadap paku semata-mata tanpa menghubungkan dengan hakikat bahawa yang melindungi bayi atau yang menyembuhkan ialah Allah dapat menjejaskan aqidah dan menjebakkan kepada dosa mensyirikkan Allah.
Begitu juga halnya dalam konteks menanam uri dengan pensel, kertas dan buku agar bayi menjadi insan yang pandai kelak.
Kepandaian, kecerdikan dan kecerdasan terbit daripada proses belajar, membaca dan sebagainya. Kepercayaan seperti ini adalah bertentangan dengan logik dan hukum adat, maka ia boleh dikira sebagai perbuatan yang kolot dan sia-sia.
Selain itu, perbuatan menghidupkan unggun api di atas tempat uri ditanam ketika senja dengan kepercayaan ia dapat menghindarkan bayi daripada kembung perut dan meragam adalah bertentangan dengan doktrin aqidah tauhid.
Hal yang sama boleh dikatakan kepada amalan menyimpan baki tali pusat yang tertanggal bersama tali pusat anak yang lain atau diasah dan diberi makan kepada semua anak-anak agar mereka bersatu hati dan tidak berkelahi.
Ini kerana ia dikatakan menjadi pengikat tali persaudaraan antara adik-beradik. Namun, sekiranya baki tali pusat disimpan hanya sebagai kenangan, ia adalah makruh kerana termasuk dengan perkara yang sia-sia.” -10-
Ramai manusia berjaya, seperti Bill Gates, The Rock @ Dwayne Johnson dan ramai lagi dari kalangan bukan Islam.
Pernah atau tidak kita terfikir, bagaimana uri mereka diuruskan, sehingga menjadi manusia terkaya dan terkenal? Apakah uri mereka ditanam dengan i-phone sehingga popular dan kaya serta berjaya dalam kerjayanya?
Dalam pakaian dan budaya kita mengikuti mereka tanpa hirau baik atau buruk. Sebaliknya bab logik dan relevan tidak pula mereka diikuti, sebaliknya mitos juga yang dituruti.
Kesimpulan dari tulisan ini, uri boleh ditanam atau dibuang, haiwan buang menjadikannya sebagai makanan tidaklah berdosa dan tidak pula menyakitkan bayi.
Kepercayaan khurafat seharusnya telah terhapus dengan modenisasi namun sebahagian manusia masih belum bertamadun sepenuhnya. Diharapkan adanya wacana atau ia diterangkan dalam kursus kawin.
Amalan mencuci dengan limau, asam dan seumpamanya adalah suatu pembaziran, kerana uri itu bukanlah hendak dimasak rendang tapi hendak ditanam atau dibuang.
Cara terbaik melupuskan uri dengan tanam atau dibuang sahaja tanpa perlu sebarang ritual atau teknik khusus.
Wallahuaklam
Editor: Loha
19 Rabiulakhir 1445H
_______________________________________
NOTA HUJUNG:
1. Kamus Dewan
2. https://www.sinarharian.com.my/article/70589/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Bolehkah-buang-uri-di-tempat-pembuangan-sampah
3. Faidh al-Qadir
4. Silsilah Ahadits Dhaifah
5. Al-Wajiz Fi Usul Al-Fiqh. Fasal Pertama: Dalil Kedua- As-Sunnah Dalam Syariat. Halaman: 40. Cetakan Dar El-FIkr
6. Mughni al-Muhtaj
7. Tuhfah al-Muhtaj
8. https://www.kosmo.com.my/2021/02/02/ibu-masak-makan-uri-bayi-sendiri/
9. Irsyad Al-fatwa Siri Ke-281 : Hukum Suntikan Kosmetik Menggunakan Plasenta
10. Nur Kamilah Kamaruddini, Mohd Anuar Ramliii & Raihana Abdul Wahabiii. Amalan Pengurusan Uri Pasca Kelahiran Dalam Masyarakat Melayu Menurut Perspektif Hukum Islam