PANDUAN RINGKAS BERISTINJAK

PANDUAN RINGKAS BERISTINJAK

Salman al-Farisi R.A berkata, bahawasanya ada (orang musyrikin) yang bertanya kepadanya:

قَدْ عَلَّمَكُمْ نَبِيُّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَةَ قَالَ فَقَالَ أَجَلْ لَقَدْ نَهَانَا أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ لِغَائِطٍ أَوْ بَوْلٍ أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِالْيَمِينِ أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِأَقَلَّ مِنْ ثَلَاثَةِ أَحْجَارٍ أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِرَجِيعٍ أَوْ بِعَظْمٍ

Maksudnya: ‘(Apakah) Nabi kalian telah mengajarkan segala sesuatu hingga adab beristinjak?’ Salman menjawab, ‘Ya. Sungguh beliau melarang kami buang air besar, buang air kecil dengan menghadap kiblat, bersuci dengan tangan kanan, bersuci dengan batu kurang dari tiga biji, atau bersuci dengan najis haiwan atau tulang.'” (HR Muslim)

Istinjak berasal dari kata (النجاء) yang bermaksud selamat dari hal yang menyakitkan. (Fiqh al-Manhaji)

Adapun secara istilah, istinjak ertinya “perbuatan membersihkan kemaluan (kerana membuang air besar atau air kecil) dengan menggunakan air, batu, atau tanah keras; beristinjak membersihkan atau menyucikan dubur dan kemaluan sebelum wuduk atau sesudah buang air.” (Kamus Dewan)

“Harus beristinjak dengan air mutlak…dan harus juga beristinjak menggunakan semua benda yang keras lagi kesat yang boleh menghilangkan najis seperti batu, daun dan seumpamanya.

Cara yang paling afdal ialah beristinjak dengan batu dan seumpamanya terlebih dahulu kemudian menggunakan air.

Sekiranya ia hanya ingin menggunakan salah satu daripada keduanya, maka menggunakan air sahaja adalah lebih afdal (utama).

Sekiranya ia hanya menggunakan batu atau seumpamanya maka disyaratkan benda yang digunakan itu adalah kering dan ia digunakan sebelum najis yang keluar daripada qubul dan dubur itu menjadi kering.

Begitu juga disyaratkan bilangan batu atau benda-benda lain yang boleh dibuat istinjak tidak kurang daripada tiga biji dan sekiranya masih belum bersih maka ditambah bilangannya dan disunatkan menggunakannya dengan bilangan yang ganjil seperti lima, tujuh dan seumpamanya.” (Fiqh al-Manhaji. Dengan diringkaskan)

Boleh juga istinjak menggunakan tisu, ini berdasarkan kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata:

“Kami berpendapat bahawa boleh menggunakan tisu sebagai alat untuk berintinjak dengan syarat-syaratnya sekalipun ada air, dan jika dia mendirikan solat selepas itu, solatnya adalah sah.” (Maktabah al-Bakri 1650).

“Tidak sah istinjak dengan benda najis. Dan haram beristinjak dengan makanan anak Adam seperti roti juga makanan jin seperti tulang.

Juga haram beristinjak dengan sesuatu yang dihormati seperti anggota haiwan yang bersambung dengannya seumpama ekor burung, lebih-lebih lagi anggota badan manusia.” (Ibid)

“Orang yang qada’ hajat hendaklah menggunakan tangan kirinya untuk membersihkan tempat najis sama ada dengan air atau batu dan seumpamanya kerana itulah yang lebih layak dilakukan.

Sekiranya ia menggunakan tangan kanan maka hukumnya adalah makruh sebagaimana makruh ia menyentuh zakarnya dengan tangan kanan.

Sekiranya ia perlu kepada memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu dan seumpamanya (benda-benda yang beku/pejal), maka ia hendaklah memegang batu tersebut tanpa menggerakkannya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang zakar dan menggerak-gerakkanya untuk membersihkan tempat yang najis tersebut.” (Ibid)

Dapat dirumuskan, bahawa sah beristinjak dengan menggunakan air mutlak dan musta’mal yang tidak berubah warna, bau dan rasa.

Selain itu benda kesat seperti batu, daun, tisu dan selainnya (kecuali makanan, anggota yang bersambung) dapat juga dibuat istijmar.

Sekiranya tidak mendapat 3 biji batu, maka satu biji batu digunakan tiga bahagian dengan syarat tidak menambah najis di tempat keluar atau tangan.

Tidak kira teknologi apa yang ada, asal ia dapat menghilangkan najis dari sudut, warna, bau dan rasa, maka sahlah istinjak tersebut.

Wallahuaklam

Editor: Loha
29 Jamadilakhir 1445H

Pelawat: 205
Hari ini: 1
Jumlah: 213478

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X