PANDUAN RINGKAS BERWUDUK

PANDUAN RINGKAS BERWUDUK

Wuduk ialah (استعمال الماء في أعضاء معينة مع النية) ertinya “Perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat.” (Fiqh al-Manhaji)

Dalil wuduk berdasarkan firman Allah S.W.T:

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُوا۟ وُجُوهَكُمۡ وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَیۡنِۚ…}

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” [Surah Al-Māʾidah: 6]

“Rukun wuduk ada 6, iaitu:
1. Niat,
2. Membasuh muka (melintang: dari cuping telinga ke cuping telinga. Memanjang dari umbun-umbun ke bawah dagu),
3. Membasuh kedua tangan sehingga siku,
4. Menyapu kepala,
5. Membasuh kedua kaki hingga ke buku lali dan tertib.” (Ibid)

Selain itu seperti berkumur, istinsyaq (masukkkan air dalam hidung) dan istintsar (menghembus air keluar dari hidung), mencuci kedua telinga adalah sunat.

Hadis terbaik dalam bab wuduk ialah hadis Humran, iaitu maula (hamba) kepada Uthman bin `Affan R.A. Humran berkata bahawa dia pernah melihat Uthman R.A memintanya bawakan air untuk berwuduk:

فأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِن إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، وَيَدَيْهِ إِلى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلاَثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كلْتَا رِجْلَيْهِ ثَلاثًا، ثُمَّ قالَ: رَأَيْتُ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هذا، وقَالَ مَن تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هذَا، ثُمَّ صلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Lalu beliau menuangkan air ke atas tangannya daripada bekasnya maka dia membasuh kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, kemudian beliau mencelupkan tangan kanan ke dalam bekas air wuduk tersebut, kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidungnya dan mengeluarkannya, kemudian beliau membasuh mukanya sebanyak tiga kali, dan tangannya hingga ke siku sebanyak tiga kali, kemudian dia menyapu kepalanya, kemudian dia membasuh kedua-dua kakinya sebanyak tiga kali, kemudian beliau berkata: Aku telah melihat Nabi ﷺ berwuduk seperti wudukku ini, dan baginda bersabda: “Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian dia solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk dalam kedua-dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.” (HR al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani mensyarahkan hadis di atas dengan katanya:

“Adapun tentang pensyaratan niat ightiraf (mencebok) maka tidak ada dalilnya dalam hadis ini, mahupun dalil menafikannya. Abu Uwanah berdalilkan hadis ini dalam Sahih-nya tentang keharusan bersuci dengan air musta`mal, kerana dia memandang daripada sudut bahawa niat tertentu tidak disebutkan dalam hadis ini.” (Fath al-Bari)

Di tempat lain, Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: “Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa mencedok dalam air yang sedikit tidak mengubah air itu menjadi air musta`mal, kerana bekas-bekas mereka dahulu bersaiz kecil, seperti mana yang disebut secara jelas oleh al-Syafie dalam al-Umm di beberapa tempat.” (Ibid)

Dapat kita ketahui bahawa sahnya wuduk dengan satu cebok hatta air yang digunakan itu ialah air musta’mal.

Dan sah berwuduk sekali setiap anggota dan sunat tiga kali, serta makruh jika lebih dari tiga kali bagi setiap anggota.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

تَوَضَّأَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً مَرَّةً

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berwuduk dengan membasuh setiap anggota wuduknya sekali demi sekali sahaja.” (HR al-Bukhari)

Al-Syaukani katanya: “Hadis ini menunjukkan wajibnya wuduk adalah sekali membasuh atau mengusap, dan oleh kerana itu Nabi SAW mencukupkan sekali saja. Seandainya dua atau tiga kali itu wajib, maka tentu Nabi SAW tidak akan mencukupkan dengan sekali saja.” (Nail al-Authar)

Adapun dalil berwuduk dua kali setiap anggota, sebagaimana diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid RA, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW berwuduk dua kali dua kali (dalam membasuh setiap anggota wuduk).” (HR al-Bukhari)

Dan, wuduk yang paling sempurna ialah hadis dari Uthman bin Affan RA:

أَنَّهُ دَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ عِنْدَ الْمَقَاعِدِ، فَتَوَضَّأَ ثَلاثًا ثَلاثًا، ثُمَّ قَالَ لِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هَلْ رَأَيْتُمْ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَ هَذَا ؟ قَالُوا : نَعَمْ

Maksudnya: “Beliau (Uthman) telah meminta air dan berwuduk berdekatan tempat duduk. Beliau telah berwuduk sebanyak tiga kali, tiga kali. Kemudian berkata kepada para sahabat Nabi SAW: Adakah kamu semua telah melihat Rasulullah SAW melakukan begini? Mereka menjawab: Ya.” (HR Ahmad Ahmad)

Walaupun sunat membasuh semua anggota wuduk tiga kali, namun pada basuhan kepala hanya sekali sahaja. Ibn al-Qayyim berkata:

“Nabi SAW membasuh (menyapu) kepalanya seluruh dan terkadang beliau membasuh ke depan kemudian ke belakang…membasuh kepala cukup sekali (tanpa diulang). Untuk anggota wuduk lain boleh diulang. Namun untuk kepala, cukup dibasuh sekali.” (Zaad al-Ma’ad)

Imam al-Nawawi berkata: “Batasan minimum mengusap sebahagian kepala adalah sampainya basah air ke sebahagian kecil kepala atau sehelai rambut yang tumbuh di kepala.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab)

Teknik paling sempurna untuk mengusap kepala ketika wuduk ialah apa diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid RA katanya:

وَصَفَ وُضُوْءَ النَّبِيّ ﷺ ( . . ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ بِيَدَيْهِ فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ، بَدَأَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ حَتَّى ذَهَبَ بِهِمَا إِلَى قَفَاهُ، ثُمَّ رَدَّهُمَا إِلَى الْمَكَانِ الَّذِي بَدَأَ مِنْهُ ) .

Maksudnya: “…kemudian beliau mengusap kepalanya dengan kedua-dua tangannya, bermula dari bahagian hadapan kepala digerakkan ke belakang kepala, kemudian digerakkan kembali ke tempat ia bermula…” (HR al-Bukhari)

Itu cara yang pertama, tatacara kedua: mengusap semua kepalanya akan tetapi searah dengan rambut. Di mana tidak menyebabkan terubahnya posisi. Tatacara ini sesuai bagi yang mempunyai rambut panjang, baik lelaki mahupun perempuan, kerana dikhuatiri rambut akan jadi kusut. Dalilnya seperti berikut, Robi’ binti Muawid bin ‘Afra’ R.A berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ عِنْدَهَا ، فَمَسَحَ الرَّأْسَ كُلَّهُ مِنْ قَرْنِ الشَّعْرِ ، كُلَّ نَاحِيَةٍ لِمُنْصَبِّ الشَّعْرِ ، لا يُحَرِّكُ الشَّعْرَ عَنْ هَيْئَتِهِ .

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berwuduk di sisinya. Kemudian mengusap seluruh kepalanya dari atas kepala, terus ke arah rambutnya menjuntai. Tidak mengkusutkan rambut dari posisinya.” (HR Abu Daud)

Dilarang berwuduk melebihi 3 kali, Abdullah bin Amr ada menceritakan bahawa:

جاءَ أعرابيٌّ إلى النَّبيِّ -ﷺ- يسألُهُ عنِ الوُضوءِ؟ فأراهُ الوُضوءَ ثلاثًا، ثمَّ قالَ : هكَذا الوُضوءُ فمَن زادَ على هذا فقَد أساءَ وتعدّى، وظلمَ

Maksudnya: “Seorang Arab Badwi telah datang bertemu Nabi SAW, bertanyakan mengenai (cara) wuduk? Baginda telah mengajarkannya supaya berwuduk dengan tiga kali basuhan (bagi setiap anggota). Kemudian, baginda bersabda: Beginilah cara berwuduk (yang benar), sesiapa yang menambah daripada ini (melebihi 3 kali basuhan), maka dia telah melakukan keburukan, melampaui batas dan berlaku zalim.” (HR al-Nasaie)

Sebahagian mengharamkan sekiranya melebihkan wuduk melebihi tiga kali. Namun al-Nawawi berkata:

وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى كَرَاهَةِ الزِّيَادَةِ عَلَى الثَّلَاثِ وَالْمُرَادُ بِالثَّلَاثِ الْمُسْتَوْعِبَةِ لِلْعُضْوِ وَأَمَّا إِذَا لَمْ تَسْتَوْعِبِ الْعُضْوَ إِلَّا بِغَرْفَتَيْنِ فَهِيَ غَسْلَةٌ وَاحِدَةٌ

Maksudnya: “Para ulama telah bersepakat (Ijma’) bahawa hukumnya adalah makruh (membasuh anggota wuduk) melebihi tiga kali. Dan yang dimaksudkan dengan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan.” (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim)

Di sini dapat kita belajar, bahawa bukan semua perkara lebih banyak lebih baik, sebaliknya beramal tepat dengan sunnah adalah lebih baik.

Maka wuduklah dengan sekali atau dua atau tiga, mengikut keadaan, terutama jika kekurangan air atau terhad sumber air dan ramai menunggu giliran, bolehlah fleksibelkan hukum keadaan semasa dan pastikan bersesuaian dengan sunnah Nabi SAW.

Wallahuaklam

Editor: Loha
29 Jamadilakhir 1445H

Pelawat: 189
Hari ini: 1
Jumlah: 210326

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X