PANDUAN RINGKAS TAYAMUM

28 Views

Tayamum dari segi istilah bermaksud “menyampaikan tanah yang suci ke muka dan tangan dengan niat dan cara tertentu.” (Fiqh al-Manhaji)

“Tayamum adalah ganti kepada wuduk dan mandi (hadas) ketika tiada air atau wujud keuzuran sehingga tidak boleh menggunakan air.” (Shahih Fikih Sunnah)

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, hadis sahih bab tayamum ialah hadis Ammar bin Yasir R.A, yang berkata:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutusku untuk suatu keperluan, kemudian aku mengalami junub dan aku tidak menemukan air. Maka aku berguling-guling di tanah sebagaimana haiwan yang berguling-guling di tanah.

Kemudian aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Lantas beliau mengatakan:

إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا » . فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الأَرْضِ ثُمَّ نَفَضَهَا ، ثُمَّ مَسَحَ بِهَا ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ ، أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

“Sesungguhnya cukuplah engkau melakukannya seperti ini”. Seraya beliau memukulkan telapak tangannya ke permukaan bumi sekali pukulan lalu meniupnya. Kemudian beliau mengusap belakang telapak tangan (kanan)nya dengan tangan kirinya dan mengusap belakang telapak tangan (kiri)nya dengan tangan kanannya, lalu beliau mengusap wajahnya dengan kedua tangannya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Tayamum dapat menggantikan wuduk dan mandi (hadas). Sekiranya insan berada dalam keadaan junub dan tidak boleh menggunakan air, sama ada sebab ketiadaan atau sebab kesukaran, mandi hadas boleh diganti dengan tayamum. Di mana dalam keadaan junub, bila masuk waktu cukup bertayamum dan terus solat.

Dalil bertayamum berdasarkan firman Allah S.W.T:

…وَإِن كُنتُم مَّرۡضَىٰۤ أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوۡ جَاۤءَ أَحَدࣱ مِّنكُم مِّنَ ٱلۡغَاۤىِٕطِ أَوۡ لَـٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَاۤءَ فَلَمۡ تَجِدُوا۟ مَاۤءࣰ فَتَیَمَّمُوا۟ صَعِیدࣰا طَیِّبࣰا فَٱمۡسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمۡ وَأَیۡدِیكُم مِّنۡهُۚ…

Maksudnya: “…dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu…” [Surah Al-Māʾidah: 6]

Imam Ibn Katsir menafsirkan perkataan (صَعِیدࣰا) dengan luaskan skop alat bertayamum, katanya:

“As-Sa’id menurut pendapat yang lain adalah segala sesuatu yang muncul di permukaan bumi. Dengan demikian, termasuk juga ke dalam pengertiannya debu, pasir, pepohonan, bebatuan, dan tumbuh-tumbuhan.” (Tafsir al-Quran al-Adzhim)

Wujudnya syariat tayamum adalah untuk mudahkan urusan, maka usahlah rigid sampai tayamum hanya sekadar silibus sekolah tapi sukar bila dibuat amali harian.

Syarat-syarat dibenarkan tayamum adalah seperti berikut:

“Ketiadaan air, air terlalu jauh (jarak dikira musafir), tidak boleh guna air kerana dikawal musuh atau tidak boleh guna air kerana faktor kesihatan dan tidak boleh guna air kerana cuaca yang terlalu sejuk.” (Fiqh al-Manhaji)

Cara bertayamum secara mudah adalah niat (hendak solat), kemudian tepuk tanah dengan jari jemari direnggangkan sedikit, kemudian dikurangkan debu yang melekat di tangan, kemudian menyapu seluruh wajah dan diusap diseluruh pergelangan tangan.

Tiada sebarang hadis sahih mensyaratkan tayamum mesti sampai ke siku, bahkan ayat al-Quran dan hadis sahih hanya mensyaratkan sampai pergelangan tangan sahaja. Ibn al-Qayyim berkata:

“Tidak sah dari Nabi SAW bahawa beliau bertayamum dengan dua tepukan dan tidak juga mengusap hingga siku.” (Zaad al-Ma’ad)

Tambahan, jika kita perhatikan ayat wuduk menyebut basuhan sehingga ke siku (وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ). Berbeza intonasi ayat bila menceritakan mengenai tayamum yang hanya menyebut tangan tanpa menyebut sehingga ke siku (وَأَیۡدِیكُم مِّنۡهُۚ).

Dan dalam al-Quran bila disebut tangan (يد) ia difahami pergelangan, sebagaimana ayat hudud (Surah Al-Māʾidah: 38), di mana pencuri dipotong tangan hanya sehingga batas pergelangan sahaja. Dan intonasi sama antara ayat tayamum dan hudud iaitu hanya menyebut tangan (يد).

Perkara yang perlu diperhatikan untuk tayamum, ialah:

“1. Mesti selepas masuk waktu
2. Satu tayamum untuk satu solat fardhu dan seberapa pun banyak solat sunat
3. Tayamum juga menggantikan mandi hadas” (ibid)

Hal-hal yang membatalkan tayamum; “semua perkara membatalkan wuduk juga membatalkan tayamum. Telah ada sumber air atau telah mampu menggunakan air dan murtad.” (Ibid)

Boleh kita rumuskan bahawa tayamum dapat mengantikan wuduk dan mandi hadas sekaligus.

Tayamum juga tidak terhad hanya pada debu semata, sebaliknya lebih luas skopnya iaitu setiap apa saja berasal dari bumi boleh dijadikan tayamum.

Cara tayamum adalah sekali tepukkan untuk sapuan pada wajah dan kedua pergelangan tangan.

Wallahuaklam

Editor: Loha
29 Jamadilakhir 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *