PENILAIAN AMALAN NISFU SYAABAN

26 Views

Nisfu Syaaban ialah separuh akhir atau disebut malam ke 15 pada bulan Syaaban. Sebahagian masyarakat kita akan baca surah Yasin tiga kali dan sebagainya.

Sebagaimana sebelum beli kenderaan kita akan bertanya, begitu juga perlu sebelum beramal kita pastikan ia benar dari ajaran Nabi SAW.

Tidak pernah Nabi SAW atau sahabat melakukan sebarang amalan tertentu pada malam nisfu Syaaban. Bahkan tiada kelebihan amalan pada malam itu. Ini sebagaimana dikatakan oleh Ibn al-Rejab:

“Tidak ada satu dalil pun yang sahih dari Nabi SAW dan para sahabat. Dan dalil yang ada hanyalah dari beberapa tabi’in yang merupakan fuqaha negeri Syam.” (Lathoif Al Ma’arif)

Ibn al-Qayyim turut berkata: “Semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi SAW.

Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah tidak sahih). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam.” (Al-Manar al-Munif).

Yang menjadi dalil hanyalah sebuah hadis yang disalah erti, iaitu sabda Nabi SAW:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Sahih Ibn Hibban)

Walaupun hadis ini sahih namun tidak terdapat sebarang amalan khusus diajarkan oleh Nabi SAW atau dilakukan oleh para sahabat. Abu ‘Utsman al-Shobuni menukilkan bahawa:

‘Abdullah ibn al-Mubarak pernah ditanya mengenai turunnya Allah pada malam Nisfu Syaaban, lantas beliau pun memberi jawapan pada si penanya:

“Wahai orang yang lemah! Yang engkau maksudkan adalah malam Nisfu Syaaban?! Perlu engkau tahu bahawa Allah turun pada setiap malam (bukan pada malam Nisfu Syaaban saja).” (I’tiqod Ahlis Sunnah).

Maka hadis keampunan malam Nisfu Syaaban tidaklah difahami sebagai saranan melakukan amalan khusus. Bahkan melakukan amalan khusus pada malam itu dihukum makruh dan bidaah oleh sebahagian tokoh, seperti kata Al-Qastalani:

أنه يكره الاجتماع في المساجد للصلاة والقصص والدعاء ولا يكره أن يصلي الرجل فيها لخاصَّة نفسه، وهذا قول الأوزاعي إمام أهل الشام وفقيههم وعالمهم

Maksudnya: “Adalah makruh berkumpul di masjid-masjid bagi melakukan solat, bercerita (ceramah) dan berdoa beramai-ramai. Namun tidak makruh jika dilakukan secara sendiri. Inilah pendapat al-Auzaie, imam Syiria, dan alim serta orang faqih di kalangan mereka.” (Mawahib al-Ladduni).

Walaupun Imam Ibn al-Rejab membawa riwayat menyokong amalan Nisfu Syaaban, beliau turut menukil tokoh yang melarang amalan malam Nisfu Syaaban, berkata Ibn al-Rejab:

“Majoriti ulama, antaranya ialah ‘Atho, Ibnu Abi Mulaikah, para fuqaha penduduk Madinah, dan ulama Malikiyah mengatakan bahawa amalan pada malam Nisfu Syaaban tersebut adalah sesuatu yang tidak ada tuntunannya.” (Lathoif Al Ma’arif)

Secara lebih terperinci, Sayyid Umar bin Muhammad Barakat al-Biqai al-Syami berkata:

وكذلك ما يفعل ليلة نصف شعبان من صلاة ركعتين عقب قراءة سورة يس ثلاث مرات، فكذلك لم يرد فى ذلك حديث، والله أعلم،

Maksudnya: “Dan demikian juga seperti apa yang dilakukan oleh orang ramai pada malam Nisfu Syaaban solat dua rakaat setelah membaca Yasin 3 kali, maka yang demikian solat itu juga tidak terdapat dalam hadis, wallahualam.” (Faidhul Ilah al-Malik Fii Halfazh Umdah al-Salik)

Dapat kita simpulkan bahawa tiada walau satu hadis sahih menganjurkan amalan tertentu untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban. Yang ada hanyalah sebuah hadis umum, cara faham hadis itu yang perlu diperbetulkan, sebagaimana ditegaskan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan katanya:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi’in).

Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggah dan bertentangan pula isi kandungannya.

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan.

Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diada-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.” (Fatawa Mu`asara).

Tulisan ini bukanlah mahu ajak orang supaya jangan beramal, sebaliknya bertujuan hendak membetulkan apa yang dilaksanakan.

Jangan sesekali mereka suatu amalam baru atau tatacara bervariasi yang tidak pernah diwariskan Nabi SAW.

Andai agama memadai menggunakan akal, tiada guna Nabi diutus dan kitab diturun.

Wallahualam

Editor: Loha
14 Syaaban 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *