PENILAIAN HADIS FADHILAT DOA KETIKA HAID PAHALA 40 ORANG SYAHID

PENILAIAN HADIS FADHILAT DOA KETIKA HAID PAHALA 40 ORANG SYAHID

Tersebar satu amalan doa yang diajarkan untuk dibaca oleh wanita menjelang haid disertai kelebihannya.

Doa itu diriwayatkan Aisyah RA, ia berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada perempuan yang haid, kecuali haidnya boleh menghapus dosa masa lalu dari semua dosanya dan jika pada hari pertama haid dia membaca:

وروي عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما من امرأة تحيض إلا كان حيضها كفارة لما مضى من ذنوبها وإن قالت في أول اليوم
الحمدلله على كل حال وأستغفر الله من كل ذنب
كتب الله لها براءة من النار وجوازا على الصرلط وأمانا من العذاب ورفع الله تعالى لها بكل يوم وليلة درجة أريعين شهيدا إذا كانت ذاكرة الله تعالى في حيضها

Maksudnya: “Alhamdulillah ala kulli halin wa astaghfirullaha min kulli dzanbin”, (Segala puji bagi Allah atas semua keadaan dan aku minta ampun kepada-Mu atas setiap dosa). Apabila wanita haid membaca ini maka dia akan dapat:

1. Bebas dari Neraka
2. Mudah melintasi titian al-Sirath
3. Selamat dari azab
4. Diangkat darjatnya setiap hari haid dengan pahala 40 orang syahid.”

Hadis tersebut diambil dari kitab Durratun Nasihin fi Al-Wa’dz wa Al-Irsyad (Mutiara Para Penasihat: Nasihat dan Petunjuk), sebuah karya Utsman bin Hasan Ahmad Syakir al-Khubawi.

Beliau yakni Utsman al-Khubawi wafat tahun pada 1224 hijrah. Bermakna pengarang (Utsman al-Khubawi) tidak bertemu dengan sahabiyyah Aisyah RA yang wafat pada tahun 57 hijrah.

Kerana jarak perbezaan tahun sekitar 1200 tahun. Maka sanad diperlukan dari Utsman al-Khubawi sehingga Aisyah RA. Malangnya kitab Durratun Nasihin tiada sanad.

Untuk mencari sanad kita perlu rujuk sumber ‘prime’ dalam hadis, seperti kitab sahih al-Bukhari, Sunan al-Tirmidhi dan selainnya.

Namun, hadis doa ketika haid yang dibawa Utsman al-Khubawi ini langsung tiada ditemui walau dalam satu pun kitab sumber ‘prime’ hadis.

Maka hadis ini boleh dihukum sebagai hadis palsu dan tiada asal usulnya, serta haram disandarkan hadis itu kepada Nabi SAW dan agama Islam.

Ciri-ciri hadis palsu juga jelas dari lafaznya, iaitu “Wanita haid baca doa ini akan dapat pahala 40 orang syahid.”

Ibn al-Qayyim berkata: “Ciri-ciri hadis palsu antaranya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah.” -1-

Bahkan terdapat tokoh-tokoh yang membakulkan hadis ini dalam kategori hadis palsu, antaranya ialah Dr. Abdul Hayyi Yusof dari Universiti Khartoum berkata:

فهذا كلام سمج باطل مردود، لا يليق أن يُنسَب إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، وفيه من المجازفات شيء كثير، وأمارات الوضع عليه ظاهرة، ولا يجوز التحديث به ولا روايته إلا لبيان كذبه، والعلم عند الله تعالى

Maksudnya: “(hadis doa haid) Ini merupakan kalam yang sangat hodoh, batil dan tertolak. Ia tidak boleh dinisbahkan kepada Rasulullah SAW. Padanya bahaya yang banyak. Petanda kepalsuannya sangat jelas. Tidak boleh menyampaikannya dan meriwayatkannya kecuali untuk menerangkan kepalsuannya.” -2-

Antara lagi kenyataan membantah hadis doa ketika haid ini:

فهذا الحديث لم نجده بعد التتبع في شيء من كتب السنة لا في الصحاح ولا السنن ولا المسانيد، ولا هو موجود حسب تتبعنا في الكتب التي أفردت للضعيف والموضوع، فلا شك عندنا في أنه حديث باطل لا أصل له، ولا يشك من له أدنى عناية بعلم الحديث في أن أمارات الوضع ومخايله بادية على هذا الحديث، فهو ممّا لا تحل روايته ولا نسبته إلى النبي صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya: “Hadis ini tidak kami temui setelah ditelusuri dalam mana-mana kitab Sunnah, baik dalam Sahih mahupun Sunan mahupun Musnad, dan tidak pula didapati dalam kitab-kitab yang yang menghimpunkan hadis dhaif dan palsu.

Maka kami tidak meragui bahawa ia adalah hadith palsu yang tidak ada asasnya, dan mereka yang mempunyai sedikit kepentingan dalam ilmu hadith tidak meraguinya. Dalam teks jelas ia khayalan rekaan. Haram kita menisbahkan hadis ini kepada Nabi SAW.” -3 –

Berkaitan kitab Durratun Nasihin, ia bukanlah kitab sesuai untuk diambil hadis darinya, melainkan oleh orang yang arif mengenai bidang hadis.

Kerana banyaknya hadis palsu dalamnya sebagaimana kenyataan dari Dr KH Ahmad Lutfi Fathullah “Dalam penelitiannya itu, beliau menyimpulkan bahwa 30% dari total 389 hadis yang ada dalam Kitab Durrot An-Nasihin adalah hadis maudhu’ atau palsu.” -4-

Syaikh Ibn al-Baz turut memberi komentar pada kitab Durratun Nasihi, katanya:

هذا الكتاب لا يعتمد عليه، وهو يشتمل على أحاديث موضوعة وأحاديث ضعيفة لا يعتمد عليها، ومنها هذان الحديثان فإنهما لا أصل لهما، بل هما حديثان موضوعان مكذوبان على النبي ﷺ، فلا ينبغي أن يعتمد على هذا الكتاب وما أشبهه من الكتب التي تجمع الغث والسمين والموضوع والضعيف، فإن أحاديث الرسول عليه الصلاة والسلام قد خدمها العلماء من أئمة السنة وبينوا صحيحها من سقيمها.
فينبغي للمؤمن أن يقتني الكتب الجيدة المفيدة مثل الصحيحين، وكتب السنن الأربع، ومنتقى الأخبار لابن تيمية، ورياض الصالحين للنووي، وبلوغ المرام للحافظ ابن حجر، وعمدة الحديث للحافظ عبدالغني بن عبدالواحد المقدسي، وأمثالها من الكتب المفيدة المعتمدة عند أهل العلم

Maksudnya: “Kitab ini tidak boleh dijadikan pegangan. (Sebab) berisi hadis-hadis maudhu (palsu) dan lemah sehingga tidak sepatutnya buku ini dan buku-buku seperti ini dijadikan sandaran.

Memadai bagi seorang mukmin kitab-kitab seperti Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Sunan Arba’ah. Mumtaqa al-Akhbar karya Majdudin Ibn al-Taimiyah dan kitab Riyadhus Shalihin karya al-Nawawi, Bulughul Marom, dan ‘Umdatul Ahkam, dan kitab-kitab (hadith) semisalnya yang bermanfaat bagi seorang Mukmin.” -5-

Perlu diingatkan bahawa ibadah bukan hanya melakukan perbuatan sahaja, sebaliknya meninggalkan perbuatan juga dikira ibadah.

Seperti wanita yang sedang haid tetap mendapat pahala, walau meninggalkan solat, puasa dan sebagainya kerana wanita itu juga sedang menurut arahan Allah.

Wanita haid juga boleh doa dengan apa saja doa yang dikehendaki, tapi jangan sesekali sandarkan sesuatu ritual atas nama Nabi SAW dan agama kecuali telah sabit kesahihannya.

Wallahuaklam

___________________________________________

NOTA HUJUNG
1. Manar al-Munir
2. semakhadis.com
3. www.islamweb.net
4. https://www.tebuireng.co/hadis-palsu-di-kitab-durratun-nasihin-adakah/
5. binbaz.org.sa

Editor: Loha
18 Rabiulakhir 1445H

Pelawat: 285
Hari ini: 1
Jumlah: 213460

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X