QASIDAH BUKAN SELAWAT
- 17/02/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Ibadah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sunnah
Menurut kamus dewan makna qasidah ialah “Syair Arab yang dilagukan (dinyanyikan)”.
Apa beza qasidah dengan pop yeh yeh? Apa beza antara qasidah dengan lagu ‘heavy metal’? Selain irama dan pakaian, kesemua ini bukan ibadah, bukan zikir, sebaliknya semua ini dikategorikan sebagai lagu.
Imam al-Syafie membenci qasidah sehingga beliau meninggalkan Baghdad. Berkata Imam al-Syafie:
خلفت ببغداد شيئاً أحدثته الزنادقة يسمونه التغبير يصدون به الناس عن القرآن
Maksudnya: “Di Baghdad, aku meninggalkan sesuatu yang dinamakan “taghbir”. (Iaitu) perkara baru yang diada-adakan oleh Zanadiqah (orang-orang zindiq; menyimpang), mereka menghalangi manusia dari al-Quran.” (Talbis Iblis).
Abu Mansur al-Azhari menyebut tentang makna “al-taghbir”, iaitu suatu kaum yang mendendangkan zikir dan doa dalam bentuk merendahkan diri kepada Allah. Mereka melaungkan syair-syair ini untuk mengingati Allah. Yang mereka dendangkan itulah namanya al-taghbir.” (ibid)
Ibn al-Taimiyah turut menjelaskan lagi makna perkataan imam al-Syafie:
وما ذكره الشافعي… فإن هذا السماع لم يرغب فيه ويدعو إليه في الأصل إلا من هو متهم بالزندقة…”
Maksudnya: “Apa yang disebutkan oleh Imam al-Syafie (bahawa perbuatan tersebut merupakan hasil rekaan para zindiq)… Kerana pada dasarnya, tidak ada yang menggalak dan menganjurkan nyanyian melainkan orang-orang zindiq…” (Majmu’ al-Fatawa).
Ibn al-Jauzi turut menukilkan bahawa “Imam Ahmad pernah ditanya mengenai mendengar qasidah, lalu imam Ahmad menjawab; ‘Saya (Ahmad bin Hanbal) tidak menyukai dan hal itu adalah bidaah. Tidak boleh duduk bersama mereka (penyanyi qasidah).” (Talbis Iblis)
Tiada zikir atau selawat dalam bentuk dendangan lagu. Bahkan azan pun menurut mazhab al-Syafie adalah makruh jika dilagukan.
Jika azan pun dihukum makruh sekiranya dilagukan, bagaimana lagu yang dibungkus atas nama selawat? Imam al-Suyuti turut mengkritik lagu Islamik, katanya:
“Rumah-rumah Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak (dari mengotori masjid), hingus, bawang putih, bawang merah (memakannya kemudian ke masjid tanpa bersugi terlebih dahulu), nasyid-nasyid, syair, nyanyian dan tarian di dalamnya.
Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di dalamnya maka dia adalah pelaku bidaah, sesat dan menyesatkan, dan berhak dikenakan hukuman.” (Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’)
Bahkan dari sumber JAKIM: “…jika majlis atau amalan berzikir tersebut dilakukan dengan penggunaan alat-alat muzik yang dilarang sehingga melalaikan dan menghilangkan tujuan sebenar berzikir atau dilakukan di tempat ibadah seperti surau atau masjid sehingga mengganggu urusan ibadah orang lain atau majlis yang bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, maka perbuatan zikir sedemikian adalah dilarang oleh Islam.” (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106)
Janganlah penuhi hati yang kosong dengan berqasidah, sebaliknya isilah hati dengan al-Quran dan zikir yang sunah lagi sahih. Pada masa yang sama, isi minda dengan ilmu, bukan sebatas ceramah ustaz-ustaz selebriti.
Zaman Nabi SAW ada para sahabat yang pandai syair, namun tiada pula mereka lakukan majlis qasidah.
Qasidah seperti dilakukan kini juga tidak pernah dilakukan oleh mana-mana imam 4 mazhab.
Maka timbul persoalan, golongan yang menganjurkan qasidah menggantikan zikir atau selawat ini, mereka sebenarnya ikut siapa? Ikut Nabi atau ikut nafsu atau ulama su’? Fikir-fikirkan.
Editor: Loha
7 Syaaban 1445H