QUNUT NAZILAH HANYA SEBULAN?
- 09/12/2023
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Fiqh, Hadis, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sunnah
Tersebar pula gambar surat ini. Ramai yang sudah berkongsi kandungannya di media sosial dan bertanya mengenai kesahihan dakwaannya. Ada 2 isu yang terkait dengan surat ini:
1. Kesahihan nisbah surat.
Saya tidak pasti adakah ia ditulis oleh Jabatan Mufti Pahang.
Mohon sahabat yang ada maklumat berkaitan surat ini untuk kongsikannya di ruangan komen.
2. Dakwaan qunut nazilah hanya sebulan.
Fokus tulisan saya adalah untuk isu ini. Benarkah qunut nazilah hanya sebulan dan tidak boleh lebih dari itu walaupun musibah masih berlaku? Berdasarkan kajian dan pembacaan saya, saya rumuskan:
i. Sememangnya ada riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi sallallah alaih wasallam membaca qunut nazilah selama sebulan. Ia adalah riwayat al-Bukhari, Muslim , Abu Daud dan Ibn Khuzaimah. Namun had sebulan itu adalah disebabkan golongan sahabat yang dizalimi itu telah bebas dari tawanan puak kafir yang zalim waktu itu. Di hujung riwayat Abu Daud dan Ibn Khuzaimah itu dijelaskan sebab baginda menghentikan qunut nazilah:
قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَأَصْبَحَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَلَمْ يَدْعُ لَهُمْ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: “أَوَ مَا تَرَاهُمْ قَدْ قَدِمُوا”
Abu Hurairah berkata: Pada satu hari Rasulullah berpagi-pagian lalu tidak berdoa (dalam qunut nazilah) untuk mereka lagi. Aku bertanya baginda tentang perkara itu. Baginda menjawab: Adakah kamu tidak melihat mereka sudah Kembali?
Ini bermakna baginda berhenti qunut nazilah bukan kerana ia ada tempoh tertentu sebaliknya kerana sebab yang menjadi faktor qunut nazilah itu dibaca sudah tidak ada. Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan:
أي خلصوا من أسر الكفار بمكة وقدموا إلى رسول الله عليه السلام، وإنما كان عليه السلام يقنت لأجلهم، فلما خلصوا وقدموا ترك الدعاء
Maksudnya: Maksudnya mereka (sahabat Nabi yang dulunya ditawan) telah lepas dari tawanan kafir dan kembali kepada Rasulullah alaihissalam. Sesungguhnya baginda alaihisslam berqunut untuk mereka. Maka apabila mereka lepas bebas dan kembali (ke Madinah) baginda tinggalkan doa (qunut) untuk mereka. (Nakhb al-Afkar, jil. 4, hal. 315)
Ibn Khuzaimah juga menjelaskan hakikat ini di tajuk bab ketika meriwayatkan hadis qunut nazilah:
بَابُ تَرْكِ الْقُنُوتِ عِنْدَ زَوَالِ الْحَادِثَةِ الَّتِي لَهَا يَقْنُتُ، وَالدَّلِيلِ عَلَى أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم إِنَّمَا تَرَكَ الْقُنُوتَ بَعْدَ شَهْرٍ لِزَوَالِ تِلْكَ الْحَادِثَةِ الَّتِي كَانَ لَهَا يَقْنُتُ، لَا نَسْخًا لِلْقُنُوتِ، وَلَا كَمَا تَوَهَّمَ مَنْ قَالَ: إِنَّهُ لَا يَقْنُتُ أَكْثَرَ مِنْ شَهْرٍ
Maksudnya: Bab meninggalkan qunut ketika hilangnya peristiwa yang menjadi faktor baginda berqunut. Dan dalil ini (hadis ini) yang menunjukkan bahawa Nabi sallallah alih wasallam meninggalkan bacaan qunut selepas sebulan adalah kerana tamatnya peristiwa yang menjadi sebab baginda berqunut bukannya sebagai pemansuhan qunut dan bukan juga seperti yang disangka oleh orang yang berkata: baginda tidak berqunut lebih dari sebulan. (Sahih Ibn Khuzaimah, jil. 1, hal. 338)
ii. Jika diteliti dalam Sahih al-Bukhari sendiri, terdapat riwayat yang menunjukkan Nabi sallallah alaih wasallam berqunut nazilah lebih dari sebulan. Berikut sebahagian lafaznya:
فَدَعَا عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا، عَلَى رِعْلٍ، وَذَكْوَانَ، وَبَنِي لَحْيَانَ، وَبَنِي عُصَيَّةَ، الَّذِينَ عَصَوْا اللَّهَ تعالى وَرَسُولَهُ صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: Lalu baginda berdoa selama 40 pagi ke atas kabilah Ri’l, Zakwan, Bani Lahyan dan Bani ‘Usaiyyah yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya sallallah alaih wasallam. (Sahih al-Bukhari, no hadis: 2647)
Riwayat ini jelas menunjukkan baginda berqunut lebih dari sebulan. Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi sendiri menyatakan perbezaan tempoh ini menunjukkan bahawa yang menjadi fokus perawi bukannya tempoh tetapi qunut itu disyariatkan dibaca selagi musibah masih berlaku.
iii. Mungkin ada yang menganggap lafaz baginda berdoa selama 40 pagi itu bukan qunut sebaliknya ia hanya doa biasa. Saya katakan ulama hadis tidak faham begitu. Demikian yang difahami oleh al-‘Aini dalam ‘Umdat al-Qari (jil. 14, hal. 99) dan al-Qastallani dalam Irshad al-Sari (jil. 5, hal. 43).
Jelas di sini Qunut Nazilah masih disyariatkan jika musibah ke atas umat Islam masih berterusan walau melebihi satu bulan.
Maka dengan ini saya agak kurang bersetuju dengan isi kandungan surat Jabatan Mufti Negeri Pahang ini.
Jika ada sahabat yang mempunyai pandangan berbeza boleh kongsikan di sini.
Moga Allah memberi kemenangan kepada saudara Islam kita di sana.
Dr Rozaimi Ramle