QUNUT NAZILAH (MAKSUD, SEJARAH DAN TATACARA)
- 17/11/2023
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Fiqh, Hadis, Ibadah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sunnah
PENDAHULUAN
Terdapat 4 waktu disunatkan kita melakukan doa qunut. Pertama, untuk solat witir, kedua ketika solat subuh (pendapat mazhab al-Syafie). Ketiga, qunut separuh akhir Ramadan dan keempat qunut apabila kaum muslimin ditimpa musibah.
Dalam tulisan ini kita akan fokus pada qunut nazilah. Dari segi maksud, sejarah disyariatkan dan tatacara melaksanakannya.
DEFINISI QUNUT NAZILAH
Qunut menurut kamus dewan membawa maksud “doa supaya dijauhkan sesuatu bala atau memohon sesuatu pertolongan daripada Allah yang dibaca pada waktu tertentu.” (Kamus Dewam)
Nazilah pula jamaknya nawazil (نوازِلُ), maksudnya “musibah yang dasyat”. (Mu’jam al-Ma’ani)
Qunut nazilah pula dibaca bila kaum muslimin ditimpa musibah, ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi, katanya:
ان نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ كَخَوْفٍ أَوْ قَحْطٍ أَوْ وَبَاءٍ أَوْ جَرَادٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِي جَمِيعِهَا وَإِلَّا فَلَا
Maksudnya: “Sekiranya ditimpa ke atas muslimin musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut”. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab)
HUKUM PENSYARIATAN
Pengarang Ibanah al-Ahkam mengatakan: “Disyariatkan membaca doa qunut setiap kali mengerjakan solat fardu apabila kaum muslimin sedang dilanda musibah atau malapetaka.
Lafaz doa tersebut hendaklah disesuaikan dengan musibah atau malapetaka yang sedang menimpa mereka.” (Ibanah al Ahkam Syarah Bulugh al-Maram)
Namunkita tidak boleh memaksa orang melakukan atau meninggalkan, sebagaimana Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim berkata:
“Mereka (ahlul hadith) juga berpendapat bahawa mengerjakannya adalah sunnah dan meninggalkan juga sunnah.
Maka, seseorang tidak boleh menyalahkan orang yang selalu melakukan qunut, atau melarang orang yang melakukannya.
Juga tidak boleh menganggapnya sebagai perbuatan bid’ah dan menganggap orang yang mengerjakannya telah berpaling dari sunah.” (Shahih Fikih Sunnah)
SEJARAH PENSYARIATAN
Pelaksanaan qunut nazilah masyur dengan tragedi Bi’r Maunah yang berlaku pada tahun ke-4 hijrah. Ringkasnya dari karya Sofiyy al-Rahman al-Mubarakfuri bahawasanya:
“Peristiwa Bi’r (telaga) Maunah bermula daripada kedatangan Abu Barra Amir bin Malik, menemui Rasulullah SAW di Madinah. Lalu Rasulullah SAW mendakwahnya untuk memeluk Islam, tetapi dia tidak memeluk Islam dan tidak juga pergi dari situ.
Dia berkata, “Wahai Rasulullah SAW, jikalau engkau mengutus beberapa sahabatmu menuju ke penduduk Nejed untuk mendakwah mereka kepada agamamu, ada harapan penduduk Nejed akan menyambut seruan para utusanmu.”
Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya aku khuatir mereka akan disakiti oleh penduduk Nejed.” Maka Abu Barra’ berkata, “Aku akan menjamin keamanan mereka.”
Oleh itu, Rasulullah SAW mengutuskan 70 orang untuk pergi bersamanya. Baginda mengarahkan Mundzir bin Amru, salah seorang anggota Bani Saidah untuk memimpin perjalanan mereka.
Mereka yang berangkat merupakan antara Muslimin terpilih, orang yang terkenal, pembimbing kaum, bahkan penghafal dan mahir membaca al-Quran.
Mereka berangkat sambil mengumpulkan kayu pembakar pada siang hari. Dengan kayu bakar itu, mereka dapat membeli makanan. Sehingga mereka sampai di Bi’r Maunah, di sinilah mereka berhenti sebentar.
Mereka mengutuskan Haram bin Milhan, saudara lelaki Ummu Sulaim untuk membawa pesan bertulis daripada Rasulullah SAW kepada Amir bin Thufail.
Namun Amir bin Thufail sama sekali tidak mahu membaca isi pesanan tersebut. Kemudian Amir bin Thufail memberi perintah pada seseorang hingga orang itu menikam Haram bin Milhan.
Ketika itu juga musuh Allah ini mengajak Bani Amir untuk memerangi pendakwah Muslimin yang masih terdapat di Bi’r Maunah. Kabilah Ushayyah, Rial dan Dzakwan.
Mereka pun berangkat hingga dapat mengepung sahabat Rasulullah SAW. Mereka melancarkan serangan sehingga semua Muslimin mati kecuali Kaab bin Zaid bin Najjar yang terluka di tengah-tengah para korban.
Nabi Muhammad sangat terpukul dengan Tragedi Bi’r Maunah dan Tragedi Raji’, yang terjadi hanya dalam lingkungan beberapa hari sahaja.
Hati baginda diselubungi kesedihan dan kegoncangan hingga baginda mendoakan keburukan ke atas kaum dan kabilah yang melakukan pengkhianatan dan pembunuhan terhadap sahabat baginda.
Dalam Sahih al-Bukhari disebutkan, Anas berkata, “Nabi Muhammad mendoakan keburukan bagi mereka yang membunuh para sahabat di Bi’r Maunah sebanyak tiga kali pada waktu subuh. Baginda berdoa pada solat subuh untuk kabilah Rial, Dzakwan, Lihyan dan Ushayyah.” (Raheeq al-Makhtum)
Selain itu menurut al-Baihaqi “Nabi SAW juga pernah membaca qunut nazilah selepas perang Uhud yang berlaku pada 3 hijrah.” (Magrifah al-Sunah wa al-Atsar)
Kemudian Nabi membaca qunut nazilah selepas tahun 7 hijrah, mendoakan keselamatan kepada Walid bin Walid, Salmah bin Hisyam, Ayyasy bin Abu Rabiah, orang-orang yang tertindas dari orang-orang mukmin. Dan kebinasaan buat Mudharr dengan jadikan untuk mereka tahun-tahun kemarau sebagaimana tahun-tahun kemarau zaman Yusuf. (Diringkaskan dari hadis riwayat Muslim. Kitab: Masjid, Bab: Qunut Solat Fardhu, Hadis No: 1083/ 675)
Selain itu, diriwayatkan para sahabat membaca qunut nazilah. Mulla Ali al-Qari, diriwayatkan bahawa “Saidina Abu Bakar R.A membaca qunut ketika memerangi Musailamah al-Kazzab dan ketika memerangi ahli kitab.” (Mirqah al-Mafatih).
Juga dirkwayatkan oleh Ibn al-‘Allan bahawa “Saidina Umar RA, ketika memerangi orang Nasrani membaca doa Qunut Nazilah di dalam solatnya.” (Futuhat Rabbaniyah)
KEPERLUAN DOA QUNUT
Ibn al-Qayyim berkata: “Hanyasanya, Baginda SAW berqunut ketika berlaku musibah untuk berdoa meminta kebaikan kepada kaum muslimin yang ditimpa musibah, dan memohon dikenakan balasan ke atas kaum yang zalim.
Kemudian baginda meninggalkannya apabila mereka yang baginda doakan telah pulang dan bebas dari tawanan, mereka yang baginda mohon dikenakan balasan pula memeluk Islam dan datang kepada
Nabi SAW dalam keadaan bertaubat.
Dan qunut yang baginda baca disebabkan ada perkara yang mendatang, apabila perkara itu tiada lagi baginda meninggalkan bacaan qunut.” (Zaad al-Ma’ad)
SIFAT QUNUT NABI SAW
Terdapat beberapa hadis menerangkan sifat atau tatacara Nabi SAW berqunut. Antaranya ialah hadis dari Abu Hurairah berkata, “Aku akan tunjukkan solatnya (qunut) Nabi ﷺ.”
فَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقْنُتُ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ صَلَاةِ الظُّهْرِ وَصَلَاةِ الْعِشَاءِ وَصَلَاةِ الصُّبْحِ بَعْدَ مَا يَقُولُ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَيَدْعُو لِلْمُؤْمِنِينَ وَيَلْعَنُ الْكُفَّارَ
“Abu Hurairah radhiallahu’anhu membaca doa qunut pada rakaat terakhir dalam solat Zuhur, solat Isya dan solat Subuh setelah mengucapkan ‘SAMI’ALLAHU LIMAN HAMIDAH (semoga Allah mendengar pujian orang yang memuji-Nya).'” Maka dia mendoakan kaum mukminin dan melaknat orang-orang kafir.” (HR al-Bukhari)
Hadis dari Abdullah bin Umar R.Anhuma:
أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}
Maksudnya: “Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].”
(HR al-Bukhari)
Hadis dari Ibn al-Abbas radhiyallahu anhu yang berkata:
قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلَاةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَه
Maksudnya: “Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam pernah membaca doa qunut satu bulan berturut-turut pada solat Dzuhur, Ashar, Maghrib, dan Isya pada (rakaat) terakhir dari setiap solat. Apabila telah mengucapkan “sami’allahu liman hamidah” pada rakaat terakhir, beliau mendoakan (kehancuran) atas beberapa suku dari Bani Sulaim, yaitu Ri’l, Dzakwan, dan ‘Ushaiyyah. Sedangkan (para makmum) di belakang beliau MENGUCAPKAN AMIN.” (HR. Ahmad, dishahihkan oleh Ahmad Syakir dan Syu’aib Arnauth serta dihasankan oleh al-Albani).
Hadis riwayat Anas bin Malik R.A, katanya:
لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى الْغَدَاةَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ يَدْعُو عَلَيْهِمْ يَعْنِي عَلَى الَّذِينَ قَتَلُوهُمْ
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW setiap kali melakukan solat Subuh, Baginda SAW akan mengangkat tangan dan berdoa ke atas mereka iaitu orang yang telah membunuh para sahabat yang menghafal al-Quran.” (HR al-Baihaqi)
Dan hadis yang diriwayatkan dari Abi Rafi’ berkata:
“صليت خلف عمر بن الخطاب رضي الله عنه فقنت بعد الركوع، ورفع يديه، وجهر بالدعاء”.
Maksudnya: “Aku pernah solat belakang Umar, dan Umar membaca qunut selepas rukuk, sambil mengangkat kedua tangannya dan doa dibaca dengan suara yang nyaring.” (HR al-Baihaqi. Sanad sahih menurut al-Baihaqi)
DOA QUNUT DIBACA DENGAN NYARING
Sayyid Sabiq berkata: “Disyariatkan membaca qunut (nazilah) dengan suara yang nyaring dalam solat lima waktu ketika ada bencana.” (Fiqh Sunah)
Doa qunut dibaca dengan suara yang nyaring (jahr) walau pun solat sirr (Zohor dan Asar). Ini kerana hadis-hadis meriwayatkan apa Nabi SAW baca, ini bererti sahabat mendengar bacaan Nabi, sekaligus menjadi dalil Nabi baca dengan kuat.
Imam An-Nawawi berkata: “Hadis tentang qunut Nabi SAW saat terbunuhnya para pembaca al-Qur’an adalah dengan suara nyaring pada setiap solat. Inilah pendapat yang kuat.” (Al Majmu’ Syarh al-Muhadzab)
Shaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin berkata: “Dibuktikan dalam Sunnah bahawa Rasulullah SAW membaca qunut dan orang ramai mengaminkan di belakangnya, dan mereka tidak mungkin boleh mengaminkan bacaan doa qunut itu melainkan doa qunut itu didengarkan dengan lantang.” (Syarh al-Mumti’)
WAKTU MEMBACA QUNUT
Waktu tepat untuk membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah.” (Al-Fiqh al-Manhaji)
Walaubagaimanapun wujud perbezaan, apakah qunut dibaca sebelum atau selepas rukuk, sebagaimana Imam al-Bukhari membawa bab “Membaca Qunut Sebelum dan Sesudah Rukuk”
“Tarjamah” bab al-Bukhari ini mengisyaratkan wujud khilaf dalam waktu membaca qunut. Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
“Pelaksanaan qunut kerana suatu keperluan dilakukan setelah rukuk. Apabila tiada keperluan khusus tertentu, maka dilakukan sebelum rukuk. Tapi para sahabat berbeza pendapat dalam hal ini, namun perbezaan ini diperbolehkan.” (Fath al-Bari)
“Sepertimana pendapat imam Malik, menyatakan qunut dilakukan sebelum rukuk yang kedua dan pendapat imam Abu Hanifah, yang menyatakan qunut dilakukan pada rakaat ganjil sebelum rukuk.
Imam al-Syafie pula berpendapat bahawa qunut dilakukan pada rakaat terakhir selepas rukuk (semasa iktidal), juga pendapat imam Ahmad bin Hambal bahawa qunut dilakukan selepas iktidal namun dilakukan pada rakaat ganjil.” (Ibanah al-Ahkam Syarah Bulugh al-Maram)
Pendapat lebih tepat adalah membaca qunut selepas dari rukuk iaitu sewaktu iktidal.
MAKMUM MENGAMINKAN DOA IMAM
Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
وظهر لي أن الحكمة في جعل قنوت النازلة في الاعتدال دون السجود مع أن السجود مظنة الإجابة أن المطلوب من قنوت النازلة أن يشارك المأمومُ الإمام في الدعاء ولو بالتأمين ومن ثم اتفقوا على أن يجهرَ به
Maksudnya: “Hikmah dilaksanakannya qunut nazilah pada saat i’tidal dan bukan pada waktu sujud…supaya makmun dapat ikut bersama imam membaca doa (qunut), walaupun hanya dengan mengucapkan amin. Oleh karena itu, para ulama sepakat untuk mengeraskan bacaan pada saat membaca qunut nazilah.” (Fath al-Bari)
Abu Kamal Malik bin al-Sayyid Salim berkata: “Makmum mengucapkan “Amin” di belakang imam seperti yang telah disebutkan dalam hadis Ibn al-Abbas, (وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَه) “… dan orang yang di belakangnya mengucapkan ‘Amin’.” Dalam hal ini Ibnu Qudamah berkata, “Kita memandang tidak ada perbezaan dalam hal ini.” (Shahih Fikih Sunnah)
Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Orang yang solat di belakang imam hendaklah menguatkan suara pada lima tempat: Empat tempat dengan mengucapkan ‘Amin’ iaitu:
1. Mengucapkan ‘Amin’ bersama imam (iaitu selepas bacaan al-Fatihah);
2. Semasa doa apabila imam membaca Qunut Subuh;
3. Semasa Qunut Witir pada separuh kedua Ramadhan;
4. Semasa dalam Qunut Nazilah dalam solat lima waktu;
5. Dan jika imam melakukan kesalahan dalam bacaannya dan orang yang solat di belakangnya membetulkannya.” (Mughni al-Mughtaj)
MENGANGKAT TANGAN SEMASA QUNUT
Menjadi perbahasan sarjana tentang tatacara angkat tangan semasa qunut ini kepada tiga pendapat, sebagaimana dinyatakan oleh al-Nawawi, katanya:
اختلف أصحابنا في رفع اليدين في دعاء القنوت ومسح الوجه بهما على ثلاثة أوجه: أصحها أنه يستحب رفعهما ولا يمسح الوجه، والثاني يرفع ويمسحه، والثالث لا يمسح ولا يرفع. واتفقوا على أنه لا يمسح غير الوجه من الصدر ونحوه
Maksudnya: “Ulama mazhab al-Syafi’i berbeza pendapat soal hukum mengangkat tangan ketika qunut dan menyapu kedua tangan ke wajah. Perbezaan itu dapat dibagi menjadi tiga pendapat.
Pertama, pendapat paling sahih, dianjurkan mengangkat kedua tangan dan tidak dianjurkan menyapu wajah dengan kedua tangan setelah berdoa.
Kedua, dianjurkan mengangkat dan menyapu wajah.
Ketiga, tidak dianjurkan mengangkat tangan dan menyapu wajah.
Tetapi seluruhnya sepakat bahawa tidak boleh menyapu selain wajah, semisal dada dan lain-lain.” (Al-Azkar)
Seperti pendapat al-Nawawi bahawa yang sahih adalah mengangkat tangan semasa qunut.
Bahkan mengangkat tangan semasa qunut merupakan pendapat jumhur ulama, di antaranya Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq berpendapat mengangkat tangan semasa berqunut adalah pendapat yang paling sahih di antara dua pandangan. Menurut Asy-Syafi’i bahwa mereka mengangkat kedua tangannya ketika qunut. (Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim. Shahih Fikih Sunnah)
CARA MENGANGKAT KEDUA TANGAN
Paras diangkat tangan yang tepat dihuraikan oleh Syaikh Muhammad bin Shâlih al-‘Utasimîn, katanya:
“Para ulama menyatakan, mengangkat kedua telapak tangan ke dada dan tidak mengangkatnya terlalu tinggi…Dan kedua telapak tangan dan bagian dalamnya dibuka ke arah langit…serta kedua tangan dikumpulkan seperti keadaan orang yang memerlukan dari orang lain agar memberinya sesuatu”. (Syarhu al-Mumti’)
TIDAK PERLU USAP KE WAJAH SELEPAS DOA
Imam al-Baihaqi berkata:
فأما مسح اليدين بالوجه عند الفراغ من الدعاء فلست أحفظه عن أحد من السلف في دعاء القنوت
Maksudnya: “Tidak diriwayatkan seorang dari kalangan salaf yang menyapu tangan di muka selepas selesai doa qunut.” (Sunan al-Baihaqi)
Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim menukil pendapat Ibn al-Taimiyyah yang berkata: “Adapun mengusap ke wajah dengan kedua tangan bukanlah sunnah Rasul, kecuali satu atau dua hadis yang tidak boleh dijadikan dalil (kerana tidak sahih dan sebagainya).” (Shahih Fikih Sunnah)
LAFAZ DOA QUNUT
Lafaz doa qunut yang ada hanyalah lafaz doa qunut solat witir iaitu:
اللَّهمَّ اهدِني فيمن هديت، وعافِني فيمن عافيتَ، وتولَّني فيمن تولَّيتَ، وبارِك لي فيما أعطيتَ، وقني شرَّ ما قضيتَ، إنَّكَ تقضي ولا يقضى عليْكَ، وإنَّهُ لا يذلُّ من واليتَ، ولا يعزُّ من عاديتَ، تبارَكتَ ربَّنا وتعاليتَ
Namun bagi qunut nazilah, tiada penetapan khusus, kerana qunut nazilah dibaca kerana musibah dan musibah itu berbeza-beza, maka selarikan doa dengan musibah yang menimpah, itulah baru sesuai sunah.
Terdapat khilaf apakah boleh berselawat diakhir doa qunut atau tidak. “Disunatkan untuk menambah selawat ke atas Nabi SAW diakhir doa qunut berdasarkan beberapa hadith sahih tentang tambah selawat ke atas Nabi SAW selepas doa dan zikir.” (Fiqh al-Manhaji)
Berkata Ibn al-Qayyim: “Disunatkkan membaca selawat ke atas Nabi SAW pada akhir bacaan qunut. Imam al-Syafi‘i dan ulama yang sependapat dengannya menyebutkan, hukumnya adalah sunat berdasarkan kepada riwayat daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, yang telah dilaporkan oleh al-Nasa’ie. Malah, membaca selawat selepas doa dalam qunut juga disunatkan menurut mazhab Hanbali sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mardawi al-Hanbali.” (Jalal al-Afham)
KESIMPULAN
Qunut nazilah disunatkan kita untuk membaca apabila wujud musibah yang umum atau khusus menimpa kaum muslim ataupun Negara.
Qunut nazilah tiada lafaz spesifik sebaliknya anjal mengikut bencana semasa. Ia dibaca pada seluruh solat fardhu yang 5 di rakaat terakhir semasa iktidal dengan suara yang nyaring dan makmum boleh mengaminkan doa itu. Dan dihentikan bila musibah telah hilang.
Ingatlah, setiap doa yang dihantar walau tidak kelihatan sampai kepada dihajati, tapi telah sampai kepada Allah yang sentiasa merahmati.
Pasti doa kita akan dikurniakan dengan kemustajaban, atau diganti suatu yang lebih baik atau dijauhkan bencana yang lebih besar.
Doa itu sendiri adalah ibadah, maka teruskan berdoa agar ditambah mizan pahala kita.
Wallahuaklam
Editor: Loha
3 Jamadilawwal 1445H