RAMADAN PENJARA SYAITAN
- 12/03/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Hadis, Ibadah, Pendidikan Agama
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (HR al-Bukhari)
Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini, beliau menukil perkataan al-Qadhi yang berkata:
وَيَحْتَمِلُ أَنْ يَكُونَ فَتْح أَبْوَابِ الْجَنَّةِ عِبَارَة عَمَّا يَفْتَحُهُ اللَّهُ لِعِبَادِهِ مِنْ الطَّاعَاتِ وَذَلِكَ أَسْبَاب لِدُخُولِ الْجَنَّةِ , وَغَلْق أَبْوَاب النَّارِ عِبَارَة عَنْ صَرْفِ الْهِمَمِ عَنْ الْمَعَاصِي الْآيِلَةِ بِأَصْحَابِهَا إِلَى النَّارِ , وَتَصْفِيد الشَّيَاطِين عِبَارَة عَنْ تَعْجِيزِهِمْ عَنْ الْإِغْوَاءِ وَتَزْيِين الشَّهَوَات
Maksunya: “Yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga kerana Allah memudahkan berbagai ketaatan pada hamba-Nya di bulan Ramadan seperti puasa dan solat malam.
Hal ini berbeza dengan bulan-bulan lainnya. Di bulan Ramadan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan dari melakukan maksiat.
Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dari pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang mengakibatkan seseorang mudah menjauhi maksiat ketika itu.” (Syarh Shahih Muslim)
Apa yang dimaksudkan hadis ini dengan ‘syaitan dibelenggu’ telah dijelaskan secara ringkas oleh Ibn al-Khuzaimah, katanya:
مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ
Maksudnya: “Bukan merujuk kepada seluruh syaitan, kerana apabila sebutan syaitan-syaitan maka dimaksudkan untuk sebahagian dari mereka (syaitan).” (Sahih Ibn al-Khuzaimah)
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “…Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka (syaitan) yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan).” (Fath al-Bari)
Selanjutnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani menukil perkataan imam al-Qurtubi memberi penjelasan dengan katanya:
أنها إنما تغل عن الصائمين، الصوم الذي حوفظ على شروطه، وروعيت آدابه، أو المصفد بعض الشياطين، وهم المردة، لا كلهم، أو المقصود تقليل الشرور فيه، وهذا أمر محسوس؛ فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره، إذ لا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية؛ لأن لذلك أسبابا غير الشياطين، كالنفوس الخبيثة، والعادات القبيحة، والشياطين الإنسية
“Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya.
Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat.
Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya…” (ibid)
Dapatlah gambaran bahawa syaitan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah khusus untuk syaitan yang ganas sahaja, bukan semua syaitan secara amnya.
Cumanya, janganlah kita ambil alih tugasan syaitan, iaitu mengganggu ketenteraman orang dengan jeritan dan pekikan atas nama selawat semasa solat tarawih di pembesar suara, seakan-akan syaitan terpenjara di pembesar suara.
Wallahualam
Editor: Loha
2 Ramadan 1445H