RAMAINYA “MUJTAHID MUTLAK”
- 15/08/2024
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Aqidah, Dakwah, Fiqh, Hadis, Ibadah, Kemasyarakatan, Pendidikan Agama, Sastrawan Islam, Sejarah Islam, Sunnah, Tafsir Al-Quran
Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah terjemahan paling tepat buat golongan yang selalu mengata orang, tapi merekalah golongan yang lebih sudu dari kuah.
Kerap kali kita dengar tuduhan bahawa golongan wahhabi enggan rujuk ulama, hanya baca hadis kemudian terus keluar fatwa dan seumpamanya. Tapi yang kita lihat secara realiti, golongan membawa panji ASWAJA-lah yang bersikap sebegitu.
Antara sebahagian contoh-contoh fatwa “mujtahid mutlak” seperti berikut:
1. Dalil Sambut Maulid:
Abu Qatadah berkata, bahawasanya Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, lalu beliau menjawab:
ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ
Maksudnya: “Pada hari itu aku dilahirkan, diutus menjadi Rasul dan diturunkan wahyu.” -1-
Membawa hadis Nabi berpuasa pada hari kelahirannya sebagai dalil menyambut maulid. Amat jauh meyimpang dari nas.
Imam Muslim yang merekodkan hadis tersebut pun tak berijtihad begitu, imam 4 mazhab bukan sahaja tak guna hadis tersebut sebagai prasarana sambut maulid, bahkan tak pernah imam 4 mazhab sambut maulid pun.
Imam al-Syaukani ada ulasan menarik berkaitan dalil sambutan maulid, katanya:
م أجد إلى الآن دليلا على ثبوته من كتاب ولا سنة ولا إجماع ولا قياس ولا استدلال بل أجمع المسلمون أنه لم يوجد في عصر خير القرون ولا الذين يلونهم ولا الذين يلونهم
Maksudnya: “Hingga saat ini saya tidak mendapatkan satu dalil pun yang menunjukkan adanya perayaan maulid Nabi, baik dari dalil dari al-Quran, al-Sunnah, atau Ijma’ (kesepakatan ulama), Qiyas (analogi), maupun kesimpulan suatu hukum. Bahkan kaum muslimin telah bersepakat bahwa perayaan tersebut tidak ada pada zaman generasi terbaik (sahabat), generasi setelahnya (tabi’in) dan generasi setelahnya (tabiut tabi’in).” -2-
2. Dalil Zikir Mufrod (Allah Allah):
Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه
Maksudnya: “Tidak berlaku kiamat ke atas seseorang yang menyebut: tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.” -3-
Maka berkata golongan terlebih mutlak dalam ijtihad bahawa boleh zikir mufrod (Allah…Allah). Sedangkan tidak pernah direkodkan Imam Ahmad ajar zikir sebegitu sepanjang hayatnya.
Mari kita perhatikan hadis ini dengan lensa ulama, al-Munawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata beliau:
وليس المراد أن لا يتلفظ بهذه الكلمة ، بل أنه لا يذكر الله ذكرا حقيقيا ، فكأنه لا تقوم الساعة وفي الأرض إنسان كامل ، أو التكرار كناية عن أن لا يقع إنكار قلبي على منكر ؛ لأن من أنكر منكرا يقول عادة متعجبا من قبحه ” الله الله ” فالمعنى : لا تقوم الساعة حتى لا يبقى من ينكر المنكر
Maksudnya: “Bukanlah hadis ini bermaksud lafaz Allah tidak disebut langsung, tetapi ia tidak disebut secara hakiki, seolah-olah maksudnya tidak berlaku kiamat sedangkan dalam dunia insan yang sempurna imanya. Ataupun, makna sebutan lafaz Allah merupakan kiasan mengenai manusia yang enggan mencegah kemungkaran bila melihatnya.” -4-
Nah, kita dapat lihat golongan mana yang enggan rujuk para ulama, sebaliknya buat ‘palatau’?
3. Dalil Zikir Menari:
Firman Allah SWT:
{ ٱلَّذِینَ یَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِیَـٰمࣰا وَقُعُودࣰا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَیَتَفَكَّرُونَ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلࣰا سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ }
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” -5-
Berdasarkan ayat ini, maka boleh zikr sambil menari? Sedangkan, menurut para mufassir, ayat tersebut tidak difahami begitu.
Imam Ibn al-Katsir yang lebih cenderung berakidah salafi, namun direbut oleh al-Asyairah telah menafsirkan ayat tersebut dengan katanya:
كَمَا ثَبَتَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ عَنْ عِمْران بْنِ حُصَين، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: “صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَم تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبِكَ.
Maksudnya: “Ia sebagaimana sabit dalam Sahih al-Bukhari daripada Imran bin Husain bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Solatlah dalam keadaan kamu berdiri, jika tidak mampu maka duduk dan jika tidak mampu maka secara berbaring.” -6-
Selain Imam Ibn al-Katsir, ramai sarjana seperti Imam al-Thabari Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di, menyatakan bahawa ayat tersebut menceritakan perihal solat, bukan zikir dalam keadaan menari.
Tokoh lain seperti Ibn al-Qudamah serta Izz Izuddin Abd al-Salam mengharamkan zikir sambil menari. Bahkan JAKIM sendiri menyatakan:
“Bahawa budaya berzikir sambil menari itu merupakan ajaran yang menyeleweng dan bertentangan dengan budaya masyarakat Islam.” -7-
Semua pendalilan seperti ini bukanlah mujtahid mutlak, tetapi lebih sesuai dengan gelaran “mujtahid mutanajjis”, kerana mereka hanya menajiskan institusi agama dan keahlian ulama.
Selain 3 contoh yang disebutkan, terdapat terlalu banyak amalan rekaan dari ijtihad sambil membelakangi imam 4 mazhab yang diasaskan oleh kebanyakan “ustaz/ustazah” dari kelompok yang menisbahkan diri pada aliran ASWAJA.
Maka diharapkan, masyarakat akan lebih cakna dan bertanya dalil serta ambil tahu apakah amalan itu pernah dilakukan oleh Nabi atau ada tak sahabat faham sebegitu atau ada atau tidak dalam fatwa imam mazhab. Andai tiada, maka amalan itu bukanlah dari ajaran Islam walaupun disampaikan oleh sang serban berjubah mengajar dalam masjid.
_________________
1. HR Muslim
2. Fath al-Rabbani
3. HR Ahmad
4. Faidh al-Qadir
5. QS Āli-ʿImrān: 191
6. Tafsir al-Quran al-‘Adzhim
7. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-48 pada 3 April 2000
Editor: Loha
12 Safar 1446H