RISALAH RINGKAS BERINTERAKSI DENGAN KHIDIR

44 Views

1. Pengenalan
2. Nabi atau Wali?
3. Masih Hidup atau Telah Wafat?
4. Dalil Telah Wafatnya Khidir
5. Syariat Khidir
6. Ibrah Kisah Khidir
7. Kesimpulan

1. PENGENALAN

Dalam al-Quran tidak disebut secara jelas nama Khidir, sebaliknya hanya disebut hamba Allah.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

{ فَوَجَدَا عَبۡدٗا مِّنۡ عِبَادِنَآ ءَاتَيۡنَٰهُ رَحۡمَةٗ مِّنۡ عِندِنَا وَعَلَّمۡنَٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمٗا }

Maksudnya: “Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.” -1-

Maka dalam kitab tafsir dinyatakan makna
﴿فَوَجَدَا عَبْدًا﴾ هُوَ الخِضْرُ عليه السلام.

Maksudnya: “hamba kami tersebut ialah Khidir A.S.” -2-

Dalam hadis, disebut jelas nama Khidir sekaligus dengan sebab penamaan tersebut. Abu Hurairah R.A berkata:

إِنَّمَا سُمِّيَ الْخَضِرَ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ

Maksudnya: “Dinamakan Khidir, kerana ia biasa duduk di atas pakaian terbuat dari bulu binatang yang berwarna putih. Dan apabila pakaian itu bergerak-gerak (bulunya melambai-lambai) akan nampak dari pantulan itu warna kehijauan (Khadlra’).” -3-

Khidir hanyalah gelaran, nama sebenar beliau A.S diijtihad oleh beberapa para tokoh, tapi menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, “nama sebenar Khidir adalah Balya bin Mulkan…dan ‘kunya’ beliau Abu al-Abbas.” -4-

2. NABI ATAU WALI?

Menjadi pertikaian manusia apakah Khidir Nabi atau wali atau malaikat? Menurut al-Quran, Khidir adalah seorang Nabi. Cuba kita perhatikan firman Allah S.W.T:

(…رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي…)

Maksudnya: “…sebagai rahmat dari Tuhanmu, dan tidaklah aku melakukan dengan kemahuanku sendiri…”-5-

Imam Ibn Katsir menafsirkan ayat ini dengan katanya:

وَفِيهِ دَلَالَةٌ لِمَنْ قَالَ بِنُبُوَّةِ الْخَضِرِ

Maksudnya: “Pada ayat ini terdapat dalil tentang kenabian Khidir.” -6-

Imam al-Qurthubi berkata:

وَالْخَضِرُ نَبِيٌّ عِنْدَ الْجُمْهُورِ…وَالْآيَةُ تَشْهَدُ بِنُبُوَّتِهِ لِأَنَّ بَوَاطِنَ أَفْعَالِهِ لَا تَكُونُ إِلَّا بِوَحْيٍ. وَأَيْضًا فَإِنَّ الْإِنْسَانَ لَا يَتَعَلَّمُ وَلَا يَتَّبِعُ إِلَّا مَنْ فَوْقَهُ، وَلَيْسَ يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ فَوْقَ النَّبِيِّ مَنْ ليس بنبي.

Khidir adalah nabi di sisi majoriti ulama’. Ayat al-Quran menunjukkan bahawa Khidir adalah seorang nabi kerana perbuatan-perbuatannya tidak boleh dilakukan melainkan dengan panduan wahyu…” -7-

Tindakan Khidir yang membunuh, memecahkan dan sebagainya merupakan perkara ghaib.

Perkara ghaib itu hanya diketahui oleh Allah dan pengetahuan ghaib ini hanya diberikan kepada Rasul sahaja menurut al-Quran, firman Allah:

(عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا. إِلاَّ مَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا)

Maksudnya: “Tuhan sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada Rasul yang diredhai-Nya…” -8-

Sarjana kontemperori tempatan Prof. Madya. Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari membahaskan ayat ini dengan katanya:

“…(perkara ganjil dilakukan Khidhir) merupakan perkara ghaib yang hanya diberitahu oleh Allah kepada Rasul/Nabi..” -9-

Khidir adalah Nabi, ini juga menjadi pendapat tokoh sepanjang zaman seperti al-Nawawi, Ibn Katsir, al-Qurthubi, Ibn Hajar dan ramai lagi.

Bahkan Ibn Hajar al-‘Asqalani lebih keras bidasannya kepada mereka yang menganggap Khidir bukan nabi, dengan katanya:

وَكَانَ بَعْضُ أَكَابِر العُلَماءِ يَقُولُ: أَوَّل عَقْدٍ يُحِلُّ مِنْ الزَّنْدَقَةِ اِعْتِقَاد كُونِ الخضر نَبِيًّا لِأَنَّ الزَّنَادِقَةَ يَتَزَرَعُونَ بِكَوْنِهِ غَيْرَ نَبِيٍّ إِلَى أَنَّ الوَلِيَّ أَفْضَلُ مِنْ النَّبِيِّ

Maksudnya: “Sebahagian ulama-ulama besar mengatakan: Ikatan pertama yang dirosakkan oleh orang-orang zindik (orang yang sesat) adalah mengenai status Khidir sebagai seorang nabi. Ini kerana orang-orang zindik memanfaatkan status Khidir sebagai seorang yang bukan nabi untuk beralasan bahawa wali lebih baik daripada nabi.” -10-

3. MASIH HIDUP ATAU TELAH WAFAT?

Antara isu kontrovesi menjadi perdebatan dalam kalangan ilmuan.

Yang pasti, adalah mustahil Khidir hidup dan mati dalam waktu yang sama, maka tentu salah satu pendapat adalah salah.

Walau bagaimanapun terdapat sebuah riwayat yang menceritakan mengenai Dajjal yang membunuh seorang lelaki kemudian dihidupkan semula, dan lelaki tersebut adalah Khidir. Ini teks penuh hadis tersebut:

حَدَّثَنِي عَمْرٌو النَّاقِدُ وَالْحَسَنُ الْحُلْوَانِيُّ وَعَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ وَأَلْفَاظُهُمْ مُتَقَارِبَةٌ وَالسِّيَاقُ لِعَبْدٍ قَالَ حَدَّثَنِي و قَالَ الْآخَرَانِ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ وَهُوَ ابْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ سَعْدٍ حَدَّثَنَا أَبِي عَنْ صَالِحٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَخْبَرَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ أَنَّ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ قَالَ
حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا حَدِيثًا طَوِيلًا عَنْ الدَّجَّالِ …حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَهُ فَيَقُولُ الدَّجَّالُ أَرَأَيْتُمْ إِنْ قَتَلْتُ هَذَا ثُمَّ أَحْيَيْتُهُ أَتَشُكُّونَ فِي الْأَمْرِ فَيَقُولُونَ لَا قَالَ فَيَقْتُلُهُ ثُمَّ يُحْيِيهِ فَيَقُولُ حِينَ يُحْيِيهِ وَاللَّهِ مَا كُنْتُ فِيكَ قَطُّ أَشَدَّ بَصِيرَةً مِنِّي الْآنَ قَالَ فَيُرِيدُ الدَّجَّالُ أَنْ يَقْتُلَهُ فَلَا يُسَلَّطُ عَلَيْهِ
قَالَ أَبُو إِسْحَقَ يُقَالُ إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ هُوَ الْخَضِرُ عَلَيْهِ السَّلَام و حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الدَّارِمِيُّ أَخْبَرَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ فِي هَذَا الْإِسْنَادِ بِمِثْلِهِ-11-

Jika kita perhatikan lafaznya, kenyataan (إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ هُوَ الْخَضِرُ عَلَيْهِ السَّلَام) bukanlah hadis Nabi, sebaliknya hanya kata-kata seorang perawi bernama Abu Ishaq dalam memberi penjelasan. Menolak lafaz ini tidak dikategorikan sebagai menolak hadis dalam sahih Muslim.

Terdapat tokoh yang membantah kenyataan Abu Ishaq tersebut, Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan:

“Al-Qurthubi berkata…dugaanku bahawa Abu Ishaq adalah tidak tepat, kerana dalam sanad hadis tersebut tidak terdapat beliau….” -12-

Ibn al-Arabi, dengan katanya: “Aku dengar orang mengatakan lelaki itu adalah Khidir, namun ia klaim tanpa bukti.” -13-

Jelas hadis tersebut bukanlah hujjah sama sekali untuk klaim Khidir masih hidup. Sesiapa berdalilkan hadis itu, bererti menggunakan hadis tanpa pengetahuan dan mengikut hawa nafsu semata.

Tiada walau satu ayat al-Quran atau hadis sahih yang mensabitkan Khidir masih hidup,

Ibn al-Qayyim berkata: “Kesemua hadis yang menyebut tentang al-Khidhir dan kehidupannya adalah dusta serta tidak ada satu hadis mengenainya menyatakan dia masih hidup.” -14-

Al-Hafiz al-‘Iraqi (guru kepada Ibn Hajar al-‘Asqalani) turut mengulas isu hayat Khidir ini, dengan katanya:

ولم يصح في حديث قط اجتماع الخضر بالنبي صلى الله عليه وسلم ولا عدم اجتماعه ولا حياته ولا موته.

Maksudnya: “Tidak sahih satu pun hadis tentang bertemunya Khidir dengan Nabi SAW, tidak juga bertemu semasa hidupnya beliau ataupun setelah kematiannya.” -15-

Barisan ulama berpendapat al-Khidir telah wafat, seperti; “Imam Bukhari, Muslim, Abu Bakar Ibn al-‘Arabi, Ibrahim bin Harb, al-Qurthubi, Ibn Katsir, Ibn Jauzi dan ramai lagi.” -16-

Ibn al-Munadi mencela siapa kata Khidir masih hidup, beliau berkata:

“Aku mengkaji tentang panjang umurnya al-Khiḍir dan adakah beliau masih hidup atau tidak, maka rupa-rupanya kebanyakan orang-orang yang lalai terpedaya dengan kenyataan bahawa beliau masih hidup kerana riwayat-riwayat mengenainya…

Dan hadis-hadis marfū‘ tentangnya sanadnya rapuh… Riwayat-riwayat selain daripada itu semuanya rapuh depan dan belakang, ia sama ada ditokok tambah pada riwayat tsiqah secara tidak sengaja atau ada yang melakukannya dengan sengaja.” -17-

4. DALIL TELAH WAFATNYA KHIDIR

Kita telah menafikan bahawa Khidir masih hidup, maka tiba masanya mensabitkan bahawa Khidir telah wafat berdasarkan (sekurang-kurangnya) tiga dalil berikut:

Pertama, menyatakan Khidir telah wafat, ialah Firman Allah:

(وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ)

Maksudnya: “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”-18-

Kita tahu Khidir hidup sebelum Nabi Muhammad SAW dan turun ayat al-Quran dari Allah kepada Nabi Muhammad mewahyukan bahawa orang sebelum Nabi Muhammad semuanya telah wafat.

Ibn Katsir berdalilkan ayat ini dan berkata: “…Khidir juga masuk dalam keumuman manusia yang disebutkan dalam ayat al-Quran di atas, dan tidak boleh ada pengkhususan dalam hal itu kecuali disertai dalil yang sahih…” -19-

Kedua, adalah doa baginda Nabi Muhammad -shallallahu’alaihi wa sallam- ketika perang al-Badar, doa tersebut berbunyi:

(اللَّهُمَّ إِنْ شِئْتَ لَمْ تُعْبَدْ بَعْدَ الْيَوْمِ أَبَدًا)

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu akan sumpah dan janjiMu, ya Allah, jika Engkau mahu, maka Engkau tidak akan disembah lagi setelah hari ini.” -20-

Ibn al-Qayyim berdalilkan doa ini dan menyoal bahawa: “ketika itu (perang Badar) terdapat 313 orang yang dikenali nama, keturunan dan kabilahnya. Oleh itu dimanakah Khidir?” -21-

Terdapat 313 orang menyertai peperangan tersebut, yang kesemuanya dikenali. Namun tiada walau seorang bernama Khidir. Dan jelas lafaz doa Nabi (لَمْ تُعْبَدْ بَعْدَ الْيَوْمِ أَبَدً).

Doa Nabi menyatakan, jika tentera ini tewas, maka Allah tidak akan disembah. Oleh itu ada dua kemungkinan, pertama Khidir sudah wafat atau kedua, Khidir tidak sembah Allah?

Jika Khidir sudah wafat, tidak menjadi persoalan. Tapi jika menyatakan Khidir masih hidup, maka tertanya apakah Khidir sembah Allah atau tidak, kerana doa Nabi menyatakan jika tentera Badar tewas, Engkau (Allah) tidak akan disembah lagi? Fikirkan.

Dalam isu ini, mustahil Khidir tidak sembah Allah, melainkan Khidir telah wafat terlebih dahulu.

Ketiga menisbahkan kewafatan Khidir adalah berdasarkan sabda Nabi SAW:

(مَا مِنْ نَفْسٍ مَنْفُوسَةٍ الْيَوْمَ تَأْتِي عَلَيْهَا مِائَةُ سَنَةٍ وَهِيَ حَيَّةٌ يَوْمَئِذٍ)

Maksudnya: “Tidak akan ada jiwa yang hidup pada hari setelah seratus tahun yang akan datang.” -22-

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah memberikan maksud hadis ini dengan katanya:

لا يبقى على رأس مائة سنة ممن هو على وجه الأرض أحد

Maksudnya: “Tidak akan tersisa seorang pun di muka bumi ini pada seratus tahun (semasa hadis ini diucapkan) yang akan datang.” -23-

Kita tahu bahawa sahabat terakhir wafat ialah Abu Thufail pada 110 hijrah.

Jelas dari hadis ini bahawa bermula hari Nabi SAW melafazkan sabdaannya, sesiapa sahaja hidup semasa itu, tidak akan hidup 100 tahun selepas itu.

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Al-Bukhari berdalilkan hadis ini bahawa Khidir juga (telah) meninggal dunia.” -24-

Seandainya Khidir masih hidup, dari zaman Nabi Musa A.S, maka hayatnya terhenti kira-kira 1300 yang lalu, yakni maksimum 100 tahun selepas kewafatan Nabi SAW.

Ibn al-Jauzi yang berkata: “Dalil yang menunjukkan al-Khidir tidak kekal di dunia ini ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma daripada para ulama muktabar yang waras.” -25-

5. SYARIAT KHIDIR.

Kita telah ketahui Khidir telah wafat, namun seandainya dia masih hidup, maka wajib ke atasnya mengikut syariat Nabi Muhammad, berdasarkan firman Allah:

(وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِیثَـٰقَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ لَمَاۤ ءَاتَیۡتُكُم مِّن كِتَـٰبࣲ وَحِكۡمَةࣲ ثُمَّ جَاۤءَكُمۡ رَسُولࣱ مُّصَدِّقࣱ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ إِصۡرِیۖ قَالُوۤا۟ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُوا۟ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِینَ)

Maksud: “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.” -26-

Ibnu Katsir menukil kalam sahabat Nabi selaku manusia paling faham al-Quran iaitu Ibnu Abbas, menafsirkan ayat ini dengan katanya:

“…Jika Muhammad diutus sedang Khidir masih hidup, pasti dia akan beriman dan menolongnya. Jika Muhammad diutus sedang para nabi itu masih hidup, pasti mereka akan beriman dan menolongnya.” -27-

Seandainya Nabi Musa masih hidup maka wajib bagi Nabi Musa ikut agama Muhammad. Kerana setiap Nabi diutus khusus kepada kaumnya sedang Nabi Muhammad diutus untuk semua umat.

لَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ، مَا حَلَّ لَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي

Maksudnya: “Sesungguhnya, andaikan Musa masih hidup di tengah-tengah kalian, tidak halal bagi beliau melainkan beliau perlu mengikuti ku.” -28-

Musa Nabi, Musa Rasul, Musa ada kitab dan ada pengikut, pun begitu wajib bagi Nabi Musa untuk ikut Nabi Muhammad jika Musa masih hidup sekarang.

Al-Syanqiti berkata: “Oleh itu kalau Nabi Khidir masih hidup pada zaman Nabi Muhammad –shallallahu ‘alaihi wa sallam- niscaya ia akan termasuk dari pengikut beliau, dan akan menolongnya, berperang bersamanya; kerana beliau –shallallahu ‘alaihi wa sallam- diutus kepada bangsa manusia dan jin”. -29-

Itu jika Nabi Musa dan Khidir hidup pun perlu ikut Nabi Muhammad, apatah lagi kalau tok guru, habib, syeikh, maulana dan kiayai, lebih wajib semua untuk ikut Nabi bukan selainnya.

6. IBRAH KISAH KHIDIR

Kisah Khidir dan Musa memberi pengajaran kepada kita, kerana itu ia direkod dalam al-Quran.

Antaranya ialah, Nabi Musa tetap lebih mulia dari Nabi Khidir. Kerana walau sehebat mana Khidir, dia tak pernah diangkat oleh Allah sebagai Rasul.

Nabi Musa yang sedia hebat, disulam lagi ilmu dari Khidir menjadikan Musa lebih hebat. Sedang Khidir hanya ditakoknya sahaja.

Nama Khidir bukan hanya tidak disebut dalam al-Quran, bahkan kisahnya juga tak perlu diulang di mana-mana ayat lain. Berbeza dengan Nabi Musa.

Selain itu, dalam kisah Musa dan Khidir, Allah ingin mengajarkan hikmah disebalik takdir bukanlah nak ajar ajaran sesat.

Andai kita cakna, kita akan tahu bahawa dari ketiga-kiga kisah tersebut, terzahir kebaikan disebalik musibah.

Awalnya seakan suatu yang buruk, bila Khidir melakukan tiga hal itu, namun akhirnya ia merupakan suatu yang membawa kebaikan.

Seakan menceritakan kepada kita, bahawa apa menimpa kita yang kita lihat buruk pada hari ini, kelak ia menjadi suatu yang baik untuk kita di kemudian hari.

Dan hendaklah sentiasa bersikap tawadhu kerana mungkin ada ilmu yang belum kita tahu.

Nabi Muhammad SAW tidak langsung agungkan Khidir, termasuk sahabat dan imam 4 mazhab juga tidak agungkan Khidir. Yang kebiasaan mengagungkan hanyalah mereka dari ajaran sesat.

7. KESIMPULAN

Kita tahu bahawa Khidir adalah Nabi dan bukan wali, serta beliau (Khidr) telah wafat. Sekiranya beliau hidup sampai hari ini sekali pun, beliau kena ikut syariat Nabi Muhammad SAW bukannya bertindak sewenang-wenangnya.

Jika kita berjumpa dengan seseorang dan dia dakwa dia Khidir, bagaimana memastikan dia sememangnya Khidir? Sedangkan kita tak pernah lihat serta Nabi tidak ceritakan spesifik ciri-cirinya? Ada kemungkinan dia adalah jelmaan syaitan.

Nabi Isa hidup dan ada matlamat/tujuan dipanjangkan umurnya, sedang Khidir andai hidup, apa fungsinya?

Jika benar Khidir masih hidup, di mana beliau ketika perang Badar? Ketika perang Siffin dan Jamal? Serta apakah kerjanya hanya jalan-jalan seakan sedang bercuti-cuti Malaysia, tanpa ada rasa mahu membantu rakyat Palestin?

Kisah Khidir banyak bertemu orang itu dan orang ini, namun wujud tak walau hanya satu riwayat sahih Khidir bertemu Nabi Muhammad SAW? Jika tidak, apakah ini bermakna wali lebih mulia dari Rasulullah ataukah Khidir enggan beriman dengan syariat Nabi Muhammad yang Nabi Isa sendiri kelak pun akan ikut syariat Nabi Muhammad.

Menyatakan Khidir masih hidup adalah tidak benar dan cerita bertemu Khidir hanyalah mitos belaka.

Wallahualam.

________________________________

1. QS Al-Kahf: 65
2. Tafsir Jalalain
3. HR al-Bukhari: 3150
4. Al-Isobah
5. QS: Al-Kahfi: 82
6. Tafsir al-Quran al-‘Adzhim
7. Al-Jami’ al-Ahkam al-Qur’an
8. QS: Jin: 26-27
9. Beberapa Kepercayaan & Amalan Kontrovesi Dalam Masyarakat Islam
10. Al-Isobah
11. HR Sahih Muslim
12. Fath al-Bari
13. Ibis
14. Al-Manar al-Munif
15. Takhrij Ihya ‘Ulum al-Din
16. Fath al-Bari
17. Al-Isobah
18. QS Al-Anbia’: 34
19. Kisah Para Nabi
20. Raheeq al-Makhtum
21. Manar al-Munif
22. HR Muslim
23. Majmu’ al-Fatawa
24. Fath al-Bari
25. Manar al-Munir
26. QS Ali Imran:56
27. Kisah Para Nabi
28. HR Ahmad
29. Adhwa al-Bayan

Editor: Loha
8 Muharram 1446H

 

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *