RUU FIQAH ‘FAVOUR’ WAHHABI?

RUU FIQAH ‘FAVOUR’ WAHHABI?

Viral RUU (Rang Undang-Undang) berkenaan dengan syariah, yang mengikut Mazhab Syafie.

Sebenarnya pelaksanaan undang-undang ini seakan mengganggu-gugat amalan masyarakat.

Kerana masyarakat umumnya pada malam Jumaat akan baca surah Yasin. Sedangkan menurut imam al-Syafie, beliau menyarankan agar membaca surah al-Kahfi, katanya:

وَأُحِبُّ قِرَاءَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وَيَوْمَهَا لِمَا جاء فيها

Maksudnya: “Aku (Imam al-Syafie) suka membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya bagi siapa yang boleh.” -1-

Kenyataan sama dinukil oleh Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj serta dalam al-Muktamad mazhab al-Syafie.

Secara tidak langsung apabila menerapkan pendapat imam al-Syafie sekaligus mengancam amalan masyarakat yang sudah biasa membaca Yasin pada malam Jumaat.

Banyak kubur di Malaysia terdapat binaan, bahkan sebahagian dinamakan makam yang dibuat seolah-olah seperti rumah. Sedang hal ini dilarang dalam mazhab al-Syafie, al-Nawawi berkata:

قَالَ أَصْحَابُنَا تَجْصِيصُ الْقَبْرِ مَكْرُوهٌ وَالْقُعُودُ عَلَيْهِ حَرَامٌ وَكَذَا الِاسْتِنَادُ إِلَيْهِ وَالِاتِّكَاءُ عَلَيْهِ وَأَمَّا الْبِنَاءُ عَلَيْهِ فَإِنْ كَانَ فِي مِلْكِ الْبَانِي فَمَكْرُوهٌ وَإِنْ كَانَ فِي مَقْبَرَةٍ مُسَبَّلَةٍ فَحَرَامٌ نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ قَالَ الشَّافِعِيُّ فِي الْأُمِّ وَرَأَيْتُ الْأَئِمَّةَ بِمَكَّةَ يَأْمُرُونَ بِهَدْمِ مَا يُبْنَى

Maksudnya: “Kata tokoh-tokoh mazhab kami (Mazhab al-Syafie) perbuatan menyimen (plaster) kubur itu adalah makruh, duduk atas kubur adalah haram.

Demikian (haram) juga bersandar padanya atau menyandar atasnya. Adapun binaan atas kubur, sekiranya (tanah kubur) dalam pemilikan pembina, maka makruh. Sekiranya ia di perkuburan awam maka haram.

Ini telah dinaskan oleh al-Imam al-Syafie dan Ashab (tokoh-tokoh Mazhab Syafie). Berkata (al-Imam) al-Syafie dalam (kitabnya) al-Umm: “Aku melihat para imam di Mekah memerintahkan agar dimusnahkan apa yang dibina.” -2-

Muzik atau lagu sinonim dengan masyarakat kita, bahkan ada ustaz yang main gitar, ada ustaz yang gemar menyanyi lagu-lagu sehingga sebahagian masjid pun seakan telah bertukar menjadi tempat hiburan.

Sedangkan lagu/muzik adalah haram dalam mazhab al-Syafie. Sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Syafie:

“Sesungguhnya nyanyian adalah dibenci menyerupai sesuatu yang batil, dan barang siapa yang banyak melakukannya maka dia seorang yang bodoh dan ditolak kesaksiannya.” -3-

Imam al-Nawawi selaku pakar mazhab al-Syafie berkata: “Para ulama bersepakat atas haramnya upah yang diperoleh oleh penyanyi dalam aktiviti nyanyian.” -4-

Imam Ibn Hajar al-Haitami juga bermazhab al-Syafie, berkata: “Ijmak akan pengharaman alat muzik, bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran).” -5-

Imam al-Suyuti bermazhab al-Syafie turut mengkritik lagu Islamik, dengan katanya:

“Rumah-rumah Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak (dari mengotori masjid), hingus, bawang putih, bawang merah (memakannya kemudian ke masjid tanpa bersugi terlebih dahulu), nasyid-nasyid, sya’ir, nyanyian dan tarian di dalamnya.

Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di dalamnya maka dia adalah pelaku bidaah, sesat dan menyesatkan, dan berhak dikenakan hukuman.” -6-

Tiga contoh ini hanyalah sebahagian kecil contoh amalan masyarakat yang mendarah daging serta para ustaz/ustazah mentekedarah dengan mempromosi amalan-amalan sebegini.

Mungkin kelihatan sarkastik, namun jika masyarakat dan ustaz/ustazah mengaji serta mengkaji mazhab sendiri secara mendalam, pasti banyak bercanggah di luar sana.

Golongan ASWAJA yang menyokong RUU ini, apakah anda tahu kesan akibat pelaksanaan undang-undang ini jika diterapkan?

Atau selamanya anda nak “gila bayang” perasan anda “terpaling syafie” sedangkan anda yang selalu berpaling dari mazhab al-Syafie?

Wallahualam.

_________________________
1. Al-Umm
2. Syarah Sahih Muslim
3. Al-Umm
4. Syarah Sahih Muslim
5. Kaff al-Ri’aa
6. Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘an al-Ibtida’

Editor: Loha
30 Zulhijjah 1445H

Pelawat: 1207
Hari ini: 3
Jumlah: 337007

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X