SAF SOLAT WANITA

SAF SOLAT WANITA

Terdapat beberapa perbezaan solat lelaki dan wanita. Antaranya kedudukan saf. Iaitu saf wanita berada di tempat eksklusif tersendiri.

Hadis Nabi SAW berkaitan saf solat wanita sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا ‏

Maksudnya: “Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf bagi lelaki adalah yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang terakhir dan seburuk-buruk saf bagi wanita adalah saf yang terawal.” -1-

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis ini beliau berkata:

وَكَذَا فِي صُفُوفِ النِّسَاءِ الْمُنْفَرِدَاتِ بِجَمَاعَتِهِنَّ عَنْ جَمَاعَةِ الرِّجَالِ أَمَّا إذَا صَلَّتْ النِّسَاءُ مَعَ الرِّجَالِ جَمَاعَةً وَاحِدَةً وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا حَائِلٌ فَأَفْضَلُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا لِحَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ…والمراد بشر الصفوف في الرجال والنساء أقلها ثوابا وفضلا وأبعدها من مطلوب الشرع وخيرها بعكسه وإنما فضل آخر صفوف النساء الحاضرات مع الرجال لبعدهن من مخالطة الرجال ورؤيتهم وتعلق القلب بهم عند رؤية حركاتهم

“Makna kedudukan saf wanita yang ingin disampaikan dalam hadis berikut adalah ketika mana wanita melaksanakan solat berjemaah di belakang jemaah lelaki tanpa ada suatu pemisah di antara mereka.

Manakala jika wanita menunaikan solat berjemaah sesama kumpulan wanita sahaja atau tiada pemisah di antara jemaah wanita dan jemaah lelaki, maka keutamaan kedudukan saf itu sama seperti keutamaan saf lelaki iaitu saf di bahagian paling hadapan adalah lebih utama daripada saf di bahagian belakang.

Makna “seburuk-buruk saf” adalah paling sedikit pahalanya, kurang fadilatnya dan ia jauh dari kehendak syarak manakala mereka yang dikategorikan dalam “sabaik-baik saf” adalah paling banyak pahalanya, banyak kelebihannya dan juga dekat dengan tuntutan agama.

Antara sebab wanita diutamakan solat di saf bahagian belakang (dalam keadaan berjemaah dengan lelaki tanpa ada penghalang) adalah supaya dapat mengelakkan berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita, jauh dari pandangan lelaki ajnabi serta dapat menjaga hati-hati manusia ketika melihat pergerakan dan mendengar suara ajnabi.” -2-

Adapun sekiranya kedudukan wanita ketika solat berdua bersama lelaki, maka kedudukan wanita yang utama ialah di belakang lelaki (baik suami, ayah, abang, adik, anak atau siapa jua). Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik RA yang berkata:

‎ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “…Kemudian Rasulullah SAW berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.” -3-

Imam al-Nawawi menghuraikan hadis ini dengan katanya:

وفيه أن المرأة تقف خلف الرجال وأنها إذا لم يكن معها امرأة أخرى تقف وحدها متأخرة

Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat petunjuk bahawa kedudukan orang perempuan adalah berdiri di belakang orang lelaki semasa menunaikan solat sekiranya tiada wanita lain dan dia (wanita) itu bersendirian.” -4-

Walaubagaimanapun, sekiranya wanita solat di sisi lelaki (situasi seorang lelaki dan wanita @ suami dan isteri) maka anjuran diatas boleh difleksibelkan, berdasarkan kata imam al-Nawawi:

إذا صلى الرجل وبجنبه امرأة لم تبطل صلاته ولا صلاتها، سواء كان إماماً أو مأموماً،

Maksudnya: “Sekiranya seorang lelaki dan wanita solat dalam posisi berdiri di sisi keduanya mereka, maka tidak batal solat keduanya, sama ada solat imam (lelaki) atau makmum (wanita).” -5-

Ini kerana, posisi-posisi yang disebutkan semuanya adalah sunat. Jika para makmum menyelisihinya maka hukumnya makruh tetapi solat itu sah.

Pun, begitu, sekiranya ada keperluan untuk solat sebelah-menyebelah (antara wanita dan lelaki -suami, adik, abang, ayah, anak dan lain-lain) disebabkan sesuatu keuzuran, hukumnya tidak lagi makruh, ini diistimbat dari kaedah fiqh:

الكَرَاهَةُ تَـزُولُ بِالحَاجَةِ

Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang dengan wujudnya keperluan.”

Saf jemaah wanita juga berbeza apabila hanya jemaah wanita sahaja bersolat. Maka kedudukan saf imam sebagaimana disebutkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan:

وإذا أمت المرأة جمعا من النساء، وقفت المرأة وسط صف بين النساء، وبهذا جاءت الرواية عن عائشة وأم سلمة رضي الله عنهما، وعن ابن عباس

Maksudnya: “Apabila seorang wanita menjadi imam kepada wanita, hendaklah (imam) berdiri bersama wanita lain didalam saf. Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah ra dan Umm Salamah ra.” -6-

Secara kesimpulan, wanita sekiranya solat bersama jemaah lelaki tanpa ada penghadang, maka saf terbaik ialah dibelakang sekali. Namun, jika ada penghadang, saf utama ialah saf pertama di tempat jemaah wanita.

Wanita juga harus menjadi imam kepada wanita lain, dan kedudukan saf adalah selari, (imam tidak kedepan).

Cuma, sebaik-baik tempat solat bagi wanita adalah di rumah serta sekiranya wanita ikuti solat jemaah di masjid, perlulah ikuti juga hukum dan syaratnya, seperti:

-Meluruskan dan rapatkan saf
-Tidak cop tempat
-Tidak biar saf terputus
-Tidak mengganggu jemaah lain

Nabi SAW bersabda mengenai ancaman memutuskan saf, katanya:

أَقِيْمُوا الصُّفُوفَ ، وَحَاذُوا بَيْنَ المَنَاكِبِ ، وَسُدُّوا الخَلَلَ ، وَلِيَنُوا بِأيْدِي إِخْوَانِكُمْ ، وَلاَ تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ ، وَمَنْ وَصَلَ صَفّاً وَصَلَهُ اللهُ ، وَمَنْ قَطَعَ صَفّاً قَطَعَهُ اللهُ

Maksudnya: “Luruskanlah saf kalian, samakan bahu kalian, isilah ruang kosong, bersikap lemah lembutlah terhadap tangan-tangan saudara-saudara kalian, dan jangan kalian biarkan ada ruang kosong untuk diisi oleh syaitan. Barangsiapa yang menyambungkan saf, Allah pasti akan menyambungkannya dan barangsiapa yang memutuskan saf, Allah pasti akan memutuskannya.” -7-

Berkaitan maksud hadis ini, berkata Abu Ath-Thayyib Muhammad Syamsul Haq al-Azhim:

“Maksud sesiapa yang menyambung saf itu adalah datang pada saf tersebut serta memenuhi ruang kosong yang ada padanya. Adapun yang dimaksudkan dengan Allah menyambungnya adalah Allah SWT akan menyambungnya dengan rahmat-Nya.

Barangsiapa yang memotong saf pula bermaksud sesiapa yang tidak datang ke saf tersebut dan tidak memenuhi ruang yang kosong itu atau meletakkan sesuatu benda yang menghalang (daripada dirapatkan saf).

Selain itu juga, Allah akan memotongnya bermaksud terputus daripada rahmat Allah dan penjagaan-Nya yang sempurna.” -8-

Wallahualam

Editor: Loha
16 Ramadan 1445H

1. HR Muslim
2. Manhaj Syarah Sahih Muslim
3. HR Muslim
4. Manhaj Syarah Sahih Muslim
5. Majmu’ Syarh al-Muhadzab
6. Al-Mufasal fi Ahkam al-Mar’ah
7. HR Abu Daud
8. Aun al-Ma’bud

Pelawat: 1351
Hari ini: 1
Jumlah: 212201

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X