SAH SOLAT DENGAN ATAR BERALKOHOL

27 Views

Ramai beranggapan bahawa minyak wangi yang mengandungi alkohol tidak boleh dipakai untuk solat.

Ketidaktahuan akal manusia dalam hal ini dimanipulasi secukupnya oleh para penjual atar.

Namun tanggapan bahawa atar mengandungi alkohol tidak boleh ‘dibawa’ untuk solat adalah meleset dari kebenaran.

Alkohol selain bermaksud “minuman keras”, ia juga bererti “cecair tidak berwarna dan mudah terbakar yang diperoleh daripada peraman gula (digunakan sebagai pelarut dalam perusahaan ubat-ubatan dan lain-lain.” -1-

Arak dihukum sebagai najis dalam mazhab al-Syafie, sebagaimana dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَیۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسࣱ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ }

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” -2-

Namun begitu, perkataan (رِجۡسࣱ) “najis” tidak selamanya bermakna najis zahir. Adakalanya ia merujuk pada hukum.

Ibn al-Abbas, menafsirkan rijsun dengan maksud “perbuatan yang dimurkai (Allah) dan termasuk perbuatan syaitan.” -3- Said bin Jubir pula menafsirkan “rijsun dengan makna dosa.” -4-

Amat cantik, huraian Imam al-Syaukani bahawa alkohol itu suci. Ada pun makna “rijsun” adalah haram bukan najis, dengan katanya:

ليس في نجاسة المسكر دليل يصلح للتمسك به اما الآية وهو قوله: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (90) فليس المراد بالرجس نجس بل الحرام

Maksudnya: “Tidak ada dalil yang kuat untuk menyokong pendapat yang menyatakan kenajisan sesuatu yang memabukkan. Adapun ayat “Sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji yang termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maidah, ayat 90). Kata “rijsun” di sini bukan bermakna najis melainkan bermakna haram.” -5-

Berdasarkan peristiwa arak diharamkan, maka Abu Talhah berkata kepada Anas bin Malik yang bertandang ke rumahnya dengan:

اخْرُجْ فَأَهْرِقْهَا فَخَرَجْتُ فَهَرَقْتُهَا فَجَرَتْ فِي سِكَكِ الْمَدِينَةِ

Maksudnya: “Keluar dan tumpahkanlah.” Maka aku keluar lalu aku tumpahkan. Maka khamar mengalir di jalan-jalan kota Madinah.” -6-

Andai kata arak adalah najis, pasti perlu dicuci pula jalan-jalan di kota Madinah kerana dicemari arak. Dan mereka pasti tidak memecahkan tempayan, sebaliknya menuangkannya di suatu tempat yang lain. Tapi tidak begitu, maka ini menunjukkan bahawa arak bukan najis ain, sebaliknya hanyalah najis hukmi sahaja. Iaitu najis dari sudut hukumnya (haram minum).

Bahkan, ulama besar mazhab al-Syafie iaitu Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata berkaitan alkohol:

مادة الكحول غير نجسة شرعاً، بناء على ماسبق تقريره من أن الأصل في الأشياء الطهارة، سواء كان الكحول صرفاً أم مخففاً بالماء ترجيحاً للقول بأن نجاسة الخمر وسائر المسكرات معنوية غير حسية، لاعتبارها رجساً من عمل الشيطان.

Maksudnya: “Zat alkohol tidak najis menurut hukum Islam, berdasarkan kaedah fikih yang telah dinyatakan sebelumnya, bahawa prinsip dasar dalam sesuatu adalah suci…” -7-

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Kita juga perlu faham asas, bahawa alkohol yang terkandung dalam minumam dan alkohol yang terdapat dalam pewangi adalah berbeza. Alkohol yang ada dalam minyak wangi itu bukan etanol dan ia tidak memabukkan, maka tidak haram untuk dipakai.

Wallahualam.

____________________________
1. Kamus Dewan
2. QS Al-Māʾidah: 90
3. Tafsir al-Quran al-‘Adzhim
4. Ibid
5. Al-Sail al-Jarar
6. HR Sahih al-Bukhari
7. Fiqh al-Islam wa al-Dillatuha

Editor: Loha
23 Safar 1446H

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *