SAH SOLAT TANPA TELEKUNG

3 Views

Telekung ialah “kain selubung yang dipakai oleh orang perempuan ketika bersembahyang.” -1-

Masyarakat nusantara amat sinonim dengan telekung dan mungkin menganggap bahawa solat wanita hanya sah apabila bertelekung.

Namun, sebenarnya solat sah walau tanpa telekung, kerana syarat sah solat adalah menutup aurat, bukanlah bertelekung.

Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).” -2-

Imam al-Nawawi berkata: “Allah tidak menerima solat perempuan dan lelaki yang akil baligh, melainkan (setelah) kedua-duanya menutup aurat.” -3-

Maksud aurat ialah “apa yang wajib ditutup dan haram melihatnya.” -4-

Aurat wanita ketika solat adalah “seluruh anggota, melainkan wajah dan tapak tangan. Tidak dibenarkan buka walau sedikit pun ketika sedang solat.” -5-

Al-Khatib al-Syarbini menambah: “Bahawa makruh bagi seorang wanita berpakaian ketat (ketika solat)…” -6-

Kita dapat simpulkan bahawa solat sah, sekiranya wanita solat mengenakan pakaian harian (yang menutup aurat) semasa solat. Tiada pakaian khusus (telekung misalnya) untuk solat.

Jangan pula bazirkan masa menunggu giliran untuk menggunakan telekung yang telah dipakai ramai hingga kebersihannya dicurigai, pakai saja apa yang mudah asalkan ia menutup aurat.

Mudahnya, fahamkan bahawa solat tak perlukan telekung tapi hanya perlu tutup aurat. Apakah kita keluar rumah tak menutup aurat, sehingga perlukan telekung ketika solat, bahkan sampai ada yang tidak sanggup solat tanpa telekung?

Wallahualam.

_____________________

1. Kamus Dewan
2. HR Abu Daud
3. Majmu’ Syarh al-Muhadzab
4. Fiqh al-Manhaji
5. Ibid
6. Mughni al-Muhtaj

Editor: Loha
25 Zulkaedah 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *