SEEKOR LEMBU KORBAN DITUNGGANG 21 ORANG?
- 23/06/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Fiqh, Hadis, Ibadah, Kisah Inspirasi, Pendidikan Agama, Sunnah
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata:
من تكلم في غير فنه أتى بالعجائب
Maksudnya: “Barangsiapa yang bercakap (sesuatu perkara) yang bukan bidangnya nescaya dia akan mendatangkan perkara-perkara yang pelik.” -1-
Contoh-contoh pelik yang muncul dewasa ini seperti:
1. Menyatakan bahawa Bani Tamim merujuk kepada Tanah Melayu.
2. Biawak Mengucap.
3. Ucapan akhir Nabi ketika wafat ialah “ummati”.
4. Air mandian Nabi naik ke atas kemudian menitis pada lokasi masjid bakal dibina.
5. Telaga zam-zam dan telaga barahut boleh menjadi penghubung penghuni syurga/nereka dengan penduduk dunia.
6. Capal Nabi lebih mulia dari ayah dan bonda kita.
7. Pinangan Nabi ditolak 3 kali.
8. Cemuih (jemu) selawat ganti qasidah.
9. Hawwa punca Nabi Adam makan buah.
10. Allah lihat buku amalan catatan kita, jika awal dan akhir baik maka diampunkan antara keduanya.
11. Berselawat ketika berjabat tangan akan diampunkan dosa.
Jika dikira secara teliti akan lebih panjang senarai kisah pelik yang disebar tanpa tanggungjawab ini, bahkan mungkin wajar dibukukan “400 kisah ajaib nusantara oleh ustaz dan habib.”
Sesetengah orang ada kepakaran tersendiri, tapi bila bab tajwid pun banyak ditegur, bab hadis banyak silap, bab fiqh tidak tepat dengan mazhab, ini adalah sangat ajaib!
Antara fiqh yang agak janggal ialah menyatakan bahawa seekor lembu/unta yang boleh dibahagi 7 bahagian itu, boleh pula dibahagi lagi 3 bahagian setiap dari 7 bahagian tersebut.
Ini bermakna, seekor unta atau lembu mempunyai 21 bahagian. Ditambah pula dengan sepotong hadis kita akan menunggang haiwan korban di akhirat kelak. Maka seekor lembu akan ditunggangi oleh 21 orang.
Ada dua bahagian, pertama; isu lebih dari 7 penama korban dan kedua; ialah kedudukan hadis yang dinukil.
Bagi seekor haiwan badanah (unta dan lembu) dibahagi sebanyak tujuh orang (satu bahagian seorang) berpandukan hadis Jabir RA katanya:
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُهِلِّينَ بِالْحَجِّ: «فَأَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْتَرِكَ فِي الْإِبِلِ وَالْبَقَرِ، كُلُّ سَبْعَةٍ مِنَّا فِي بَدَنَةٍ
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji, lalu Baginda menyuruh kami bersekutu dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.” -2-
Sebagai akses mudah memahami hadis berdasarkan konteks, kita lihat huraian dari jabatan mufti:
“Satu bahagian hanyalah untuk seorang. Jika satu bahagian itu hasil dari duit kutipan atau tabung orang ramai maka itu bukanlah bahagian korban yang disyariatkan.
Seekor lembu atau unta untuk tujuh bahagian. Seseorang boleh mengambil lebih dari satu bahagian, tetapi seekor lembu atau unta tidak dibolehkan untuk dikongsi lebih dari tujuh orang.
Jika menggunakan tabung kutipan untuk korban yang diberikan oleh lebih dari tujuh orang, maka itu juga tidak dikira korban yang disyariatkan. Korban pula memerlukan niat untuk korban ketika wang itu diberikan.” -3-
Jelas di sini hukum serta perinciannya. Sedang hadis yang dimaksudkan iaitu lafaz:
عظموا ضحاياكم فإنها على الصراط مطاياكم
Maksudnya: “Pilihlah haiwan korban kamu yang besar, kerana sesungguhnya ianya menjadi tunggangan kamu atas titian Shirat.”
Ataupun lafaz kedua:
استفرهوا ضحاياكم فإنها مطاياكم على الصراط.
Maksudnya: “Carilah haiwan yang cerdas sebagai binatang korbanmu, kerana sesungguhnya ia menjadi tunggangan kamu di atas titian Shirat.”
Lafaz hadis yang pertama, tiada asal usul. Berkata imam Ibn al-Solah:
هذا الحديث غير معروف ولا ثابت فيما علمناه
Maksudnya: “Hadis ini tidak dikenali dan tidak tsabit sejauh pengetahuan kami.” -4-
Adapun lafaz kedua terlalu dhaif (dhaif jiddan), menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani -5-. Bagus untuk kita renungkan perkataan Ibn al-‘Arabi, katanya:
ليس في فضل الأضحية حديث صحيح. وقد روى الناس فيها عجائب لم تصح.
Maksudnya: “Tidak ada satu pun hadis sahih berkenaan kelebihan korban. Telah diriwayatkan oleh ramai orang riwayat-riwayat yang pelik berkenaannya lagi tidak sahih.” -6-
Andai ada pemandu yang bermasalah, kerajaan boleh menggantung lesennya, maka penceramah yang bermasalah lebih wajar digantung tauliah dan pengajarannya. Kerana dia menunggangi agama melanggar masyarakat dengannya!
Wallahualam.
________________________
1. Fath al-Bari
2. HR Muslim
3. https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/359-kesilapan-dan-salah-faham-dalam-ibadah-korban
4. Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Talkhis al-Habir
5. Ibid
6. ‘Aridhah al-Ahwazi
Editor: Loha
17 Zulhijjah 1445H